Rabu, 3 Februari 2010

Pakaian terpakai di Internet

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Kebiasaannya kita mendengar orang menjual barangan terpakai di kedai-kedai, bazar atau pasar malam, agaknya apa perbezaan apabila pakaian terpakai dijual menerusi Internet?

IRYANTI bersama sebahagian daripada produk barangan terpakai yang dijual di blog precious--junk.

GAYA fesyen tidak semestinya lahir melalui sesuatu yang baru tetapi pakaian terpakai juga boleh menjadi trend terkini dan menyegarkan pandangan.

Menyedari potensi pakaian terpakai dalam pasaran negara ini khususnya golongan muda, seorang pereka dalaman nekad membuka blog http://precious--junk.blogspot.com/ untuk memenuhi permintaan tersebut.

Pengendali blog precious--junk, Iryanti Abdul Rahman, 24, berkata, penerimaan gaya pakaian terpakai lebih terarah kepada golongan muda kerana ia lebih murah dan mampu dimiliki.

"Sentuhan kreativiti tersendiri oleh golongan muda ini dalam menggayakan pakaian terpakai membuatkan ia tampak segar dan moden.

"Bahkan pakaian terpakai juga mempunyai pengikut tersendiri yang inginkan sesuatu yang berlainan berbanding pakaian sedia ada di pasaran," katanya.

Iryanti menambah, idea untuk menjual pakaian terpakai itu diilhamkan kira-kira setahun yang lalu apabila beliau dan kakaknya mengemas bilik. Mereka mendapati terdapat banyak pakaian yang tidak dipakai ketika itu.

"Disebabkan saya mempunyai cita-cita untuk membuka butik sendiri pada satu hari nanti, saya terfikir lebih baik saya menjual pakaian yang tidak dipakai tersebut di Internet.

Jaminan kualiti

"Ia boleh dijadikan sebagai batu loncatan sebelum menceburi bidang fesyen dengan lebih serius malah saya juga boleh mendapat sumber pendapatan sampingan," ujarnya.

Beliau menambah, produk terpakai dalam blognya hanya dijual pada harga RM5 hingga RM25 sahaja dan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Katanya, beliau akan memastikan kualiti dan corak pakaian yang akan dijual untuk kepuasan pelanggannya.

LAYARI blog precious--junk untuk mendapatkan pakaian dan item fesyen terpakai pada harga berpatutan.

"Saya tidak akan menjual pakaian lusuh dan tidak boleh dipakai kerana kepuasan pelanggan amat diutamakan malah terdapat juga pakaian berjenama seperti Guess, Seed, East India, Padini dan lain-lain dalam koleksi.

"Bagaimanapun, barangan ini terhad dan saya mengamalkan konsep siapa cepat dia dapat untuk tidak mengecewakan pelanggan," ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Produk dalam blog precious--junk tidak hanya terhad menjual pakaian terpakai bahkan pengguna juga mendapatkan tas tangan dan kasut untuk dipadankan dengan pakaian.

Dari manakah barangan terpakai itu diperoleh? Iryanti hanya tersenyum dan menjawab ringkas, golongan wanita suka membeli-belah.

"Golongan wanita yang suka membeli-belah kadangkala terlupa terdapat pakaian, beg atau kasut baru dalam almari mereka dan hanya menyedarinya ketika mereka mengemas bilik.

"Kebanyakan barangan terpakai dalam blog merupakan milik saya dan kakak. Ada juga yang diberikan oleh saudara- mara dalam usaha membantu memajukan lagi jualan saya.

"Saya juga ada membeli barangan daripada orang ramai yang hendak menjual barangan mereka tetapi perlu dalam keadaan baik dan berkualiti," katanya.

Tambah beliau, konsep membeli barangan daripada orang ramai dilakukan bertujuan untuk menjadikan blog berkenaan sebagai platform kepada mereka untuk mahu menjual barangan terpakai yang merimaskan di dalam almari.

Katanya, ia adalah satu langkah menang-menang bagi kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Iryanti menambah, pelanggan-pelanggan yang berminat untuk mendapatkan barangan terpakainya boleh membuat tempahan melalui Internet.

"Bagi mereka yang menetap di Petaling Jaya saya akan menghantar barangan sendiri tetapi dalam urusan wang tunai sahaja untuk memudahkan kedua-dua belah pihak berurusan," katanya.

Sementara itu, pelanggan-pelanggan juga boleh mengunjungi beberapa bazar iaitu bazar bijou, bazar threadzoo di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan barangan terpakai Iryanti.

Pelanggan-pelanggan boleh melayari blog Iryanti untuk mengetahui lokasi perniagaannya di bazar-bazar terpilih.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

2 ulasan:

diana berkata...

saya ingin bertanya adakah awak menerima atau membeli pakaian seperti baju kurung yang masih elok x tidak pernah memaikainya...

Zairul Salleh berkata...

Saya rasa soalan ini diajukan pada pengendali blog precious--junk, sila layari precious--junk.blogspot.com.