Selasa, 2 Februari 2010

Suai padan buah pinggang

PERASAAN gembira menyambut kedatangan tahun 2010 pasti sangat bermakna buat 13 orang penerima organ di seluruh Amerika Syarikat (AS). Tidak sukar untuk mereka mengungkapkan betapa diri mereka sangat bertuah dan bersyukur kerana penantian mendapatkan organ baru selama ini akhirnya termakbul.

Terima kasih kepada satu idea ringkas cetusan Pengarah Transplan Buah Pinggang dari Hospital Universiti Georgetown, Washington, Dr. Keith Melancon.

Segalanya bermula apabila isteri kepada seorang pegawai polis, Tom Otten gagal mencari seorang penderma yang sesuai. Pelbagai ujian menunjukkan isteri Otten, Irene, tidak mampu bertoleransi dengan buah pinggang daripada 95 peratus populasi. Keadaan pelik yang sama turut dihadapi oleh Roxanne Boyd Williams, 30, seorang ibu dari Washington.

Berikutan nasib malang kedua-dua pesakit itu, Dr. Keith menawarkan satu cadangan. Cadangan tersebut mengesyorkan jika Roxanna dan Irene dapat memperoleh satu buah pinggang hampir sesuai, Dr. Keith boleh melakukan prosedur penapisan darah yang dikenali sebagai plasmaferesis.

Tindakan itu penting bagi membolehkan satu kuantiti antibodi diperoleh daripada darah yang ditapis bagi memastikan survival buah pinggang tersebut.

Setiap kali berlakunya pertukaran buah pinggang, bilangan penderma yang berpotensi akan bertambah. Sebabnya, para pesakit boleh mendapatkan rakan-rakan atau saudara-mara yang sanggup menderma organ bagi pihak mereka biarpun organ tersebut belum tentu sesuai. Menerusi kaedah itu, suai padan buah pinggang boleh dilakukan.


ROXANNE BOYD WILLIAMS (kiri) gembira berjumpa dengan penderma buah pinggang untuknya, Tom Otten di Hospital Universiti Georgetown di Washington.


Hasil daripada cetusan idea itu, satu sesi pembedahan besar-besaran yang melibatkan 13 orang penderma dan 13 penerima termasuk Irene serta Roxanne berlangsung.

Seakan-akan satu keajaiban, buah pinggang Otten disahkan sesuai untuk Roxanne. Irene pula menemui buah pinggang barunya daripada seorang penderma lain. Menariknya, pendermaan organ bapa Roxanne turut berjaya menyelamatkan seorang nenek yang lain.

"Satu sinar harapan baru telah dibuka," ujar Otten yang berasal dari sebuah bandar kecil di St. Louis, AS.

Segala perancangan untuk merealisasikan sesi pembedahan itu memakan masa berminggu-minggu. Sebabnya, ia melibatkan kerumitan dan kepayahan menyesuaipadankan organ penderma dengan penerima.

Satu kumpulan pakar bedah berpengalaman telah ditugaskan untuk sesi pembedahan terbesar pernah direkodkan di negara itu. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukan organ baru tetapi tidak layak.

Lima daripada 13 penerima itu hanya mendapat buah pinggang berikutan prosedur penapisan darah tersebut. Pembedahan yang berlangsung di Hospital Universiti Georgetown itu juga cukup signifikan memandangkan 10 daripada penerima itu merupakan pesakit Hispanik, berkulit hitam atau warga Asia. Di AS, golongan minoriti amat jarang berpeluang memperoleh pemindahan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup.

Biarpun terdapat sejumlah 88,000 pesakit sedang menunggu organ buah pinggang baru di negara itu, namun hanya satu pertiga daripadanya adalah warga berkulit hitam. Golongan itu hanya mendapat 13 peratus daripada buah pinggang penderma masih hidup memandangkan mereka lebih cenderung memperoleh tekanan darah tinggi dan diabetes.

Hanya sekitar atau kurang daripada 17,000 pemindahan buah pinggang yang dijalankan di hospital setiap tahun. Pesakit perlu menunggu purata lima tahun untuk mendapat satu buah pinggang yang sesuai.

Malah, Dr. Keith pernah berkata, pesakit akan mati lebih awal sewaktu menjalani dialisis berbanding jika mendapat organ untuk transplan.

Bagi seorang lagi penerima buah pinggang, Renee Patterson, memperoleh organ tersebut bagaikan mendapat kehidupan kali kedua. Dia yang mendiami Upper Marlboro di Maryland didiagnosis dengan penyakit buah pinggang kira-kira sembilan tahun lalu.


DR. KEITH (kanan) dan pasukannya sedang melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang seorang penderma, Tom Otten.


Ketika fungsi salah satu buah pinggangnya mulai merosot, dia mula menghadiri sesi dialisis secara kerap. Apabila percubaan berkali-kali untuk memperoleh organ yang sesuai menemui jalan buntu, doktornya mengesyorkan Patterson agar mencuba program pendermaan buah pinggang di Pusat Hospital Washington.

Justeru, Patterson menjadi sebahagian daripada usaha mendapatkan organ transplan suai padan di AS.

"Apabila saya beritahu orang bagaimana buah pinggang ini diperoleh, reaksi mereka hanyalah 'Wow!'. Saya sendiri pun cukup kagum dengan keajaiban itu," katanya.

Berdasarkan statistik United Network for Organ Sharing, setakat Disember lalu sekurang-kurangnya 84,000 orang direkodkan menunggu untuk pendermaan organ buah pinggang.

Menurut Alliance for Paired Donation, kebanyakan pesakit hampa apabila tisu dan darah penderma daripada keluarga mereka sendiri tidak sesuai untuk pesakit.

Justeru, program pendermaan buah pinggang suai padan seperti yang ditawarkan oleh hospital-hospital tertentu itu mampu memberi sinar baru kepada pesakit. Malah, pilihan pendermaan seumpama itu dipercayai mampu membenarkan tambahan 3,000 transplan buah pinggang oleh penderma masih hidup dijalankan setiap tahun di AS.

Patterson nyata sangat gembira selepas pembedahan berlangsung. Katanya, lebih penting, dia tidak lagi memerlukan dialisis.

"Ia berlaku begitu pantas. Saya telah berada dalam senarai menunggu transplan terlalu lama... lebih setahun setengah.

"Kemudian, tiba-tiba sahaja saya dapat buah pinggang baru," katanya dalam nada teruja.

Seorang doktor yang menguruskan program penjagaan utama di Hospital St. Vincent, Dr. Blanca Sckell pula tidak menolak kebenaran bahawa transplan organ mengubah kehidupan seseorang pesakit secara dramatik.


PAKAR bedah sedang melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang Roxanne.


Pesakit terpaksa bergantung kepada ubatan yang menyekat sistem ketahanan tubuh seumur hidup. Ia mengambil masa hampir setahun sebelum seseorang penerima kembali normal seperti sedia kala. Malah, ada juga pesakit yang berdepan dengan kebarangkalian tubuh gagal menerima organ tersebut.

"Walaupun begitu, kecanggihan teknologi termasuk suai padan DNA yang tepat, soal tolakan (rejection) sangat jarang berlaku. Anda tidak perlu lagi bergantung kepada mesin. Jadi, transplan sebenarnya telah menyelamatkan nyawa anda," jelasnya.

Tambahnya, signifikan transplan bagi pesakit seperti Roxanne lebih tinggi maknanya. Transplan membolehkan dia hidup seperti biasa dan mempunyai kekuatan untuk menjaga sepasang anak kembar serta seorang bayi berusia tujuh bulan.

Seminggu selepas pembedahan bersejarah itu berlangsung, Roxanne bertemu dengan Otten.

Sambil memegang tangannya, dia berkata: "Ia (buah pinggang) sememangnya satu hadiah amat besar untuk diberikan kepada orang lain. Ia satu tindakan yang sangat tidak mementingkan diri. Semoga Tuhan memberkati anda!" - AFP

Dicuplik daripada akhbar Kosmo! 1 Januari 2010

Tiada ulasan: