Rabu, 3 Februari 2010

Teknologi nano bersihkan pakaian

Oleh JULIA ISMAIL

Nano teknologi bukan lagi asing bagi masyarakat dunia termasuklah Malaysia, sementelah ia digunakan dalam pelbagai produk komersial.

Bagi yang tidak mengetahui apa itu Nanoteknologi , ia sebenarnya merupakan pembangunan atau pembentukan sistem yang digunakan dalam skala molekul bersaiz nano.

Mohd. Ihsan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tokai, Jepun individu yang pertama mengaplikasikan teknologi tersebut dalam perkhidmatan dobi dan penyelenggaraan.

Nano Wash Laundry yang diilhamkan oleh seorang anak muda dari Kedah itu merupakan satu revolusi dalam perkhidmatan dobi. Dengan menggunakan teknologi terkini, baju yang dibasuh itu anti kotoran selama lima kali basuhan.

Bukan setakat itu sahaja, Mohd. Ihsan juga menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan. Fungsinya lebih kurang sama, menjanjikan penjagaan kebersihan yang melibatkan bangunan, jalan raya, artifak, papan tanda dan tandas.

RUANG pelanggan menunggu sebelum mengambil pakaian mereka di Nano Wash Laundry.

Menurut Ihsan, sebelum berjaya membangunkan perniagaannya itu terutama Nano Wash, dia telah menempuh pelbagai liku sehingga terpaksa tidur di masjid selama empat bulan.

"Saya sering ditipu terutama oleh rakan kongsi sehingga memaksa saya bergerak sendiri. Kini segala usaha sudah mula menampakkan hasilnya.

"Saya memulakan syarikat Miresco Integrated Sdn Bhd sejak lima tahun lalu. Miresco banyak melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama institusi dari Jepun. Kini kami mengeluarkan produk dan perkhidmatan cucian menggunakan Nanoteknologi, selain beberapa produk lain," katanya.

Bebas bakteria

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah keistimewaan perkhidmatan dobi Nano Wash berteknologi nano itu. Ia merupakan sistem cucian dobi yang menggunakan teknologi moden dan terkini dalam bentuk alatan mesin, bahan cucian serta unsur kimia. Harus tahu bahawa Nano Wash merupakan dobi berteknologi nano pertama di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Dengan mengaplikasikan Nanoteknologi, baju atau fabrik yang dicuci adalah bebas bakteria, kotoran dan melindungi tubuh pemakainya. Sekali gus menghilangkan bau dan mampu bertindak menyegarkan udara.

Bagi cucian bebas bakteria, ia amat sesuai bagi mereka yang mementingkan kebersihan terutama untuk pakaian bayi. Mereka yang mempunyai masalah badan berbau juga boleh diselesaikan dengan menggunakan teknologi berkenaan.

SEORANG kakitangan Nano Wash, Shamsinar Jamaludin (kanan) melayan pelanggan.

Teknologi itu juga boleh menggantikan pergantungan ke atas alat-alat penyegar udara. Ini kerana, teknologi nano untuk cucian yang diciptanya adalah yang pertama di dunia ia tidak akan dijual di pasaran terbuka.

"Hanya Nano Wash Laundry sahaja yang menggunakan teknologi ini. Saya mahu pelanggan menikmati teknologi ini pada fabrik dan menikmati faedah daripadanya.

"Ia sesuai untuk kanak-kanak sekolah bagi mengelakkan baju mereka terkena kotoran degil seperti sisa makanan. Ia juga wajar diaplikasikan oleh mereka yang sibuk dan mementingkan kebersihan baju," katanya.

Perkhidmatan itu tidaklah terlalu mahal. Cuma tambah RM5 pada harga cucian kering mengikut saiz.

Azam anak muda itu telah membuahkan hasil yang boleh dinikmati bersama oleh rakyat Malaysia. Beliau juga boleh dijadikan contoh terbaik kepada anak muda supaya tidak takut untuk mencuba cabang perniagaan baru.

Mohd. Ihsan kini ingin membantu seramai mungkin bumiputera yang berminat untuk membuka cawangan perniagaan dobi Nano Wash. Impiannya adalah untuk melihat banyak Nano Laundry Wash yang dimiliki oleh bumiputra di seluruh negara. Pelaburannya tidak seberapa, tetapi hasilnya memberangsangkan.

Pakaian lebih lembut

Setakat ini terdapat tujuh cawangan Nano Wash di seluruh negara. Dengan harga pakej menarik RM88,000 sehingga RM150,000 peniaga boleh memiliki perniagaan dobi mereka sendiri.

"Kedai dobi Nano Wash sama seperti kedai dobi lain yang memberi perkhidmatan cucian biasa, cucian kering dan seterika. Namun, ada juga tambahan pendapatan melalui cucian nano.

"Pakaian atau fabrik yang telah melalui proses cucian nano, permukaannya juga menjadi lebih lembut. Saya ingin memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mencuba nasib dalam perniagaan," katanya.

Mohd Ihsan menunjukkan titisan air yang tidak meresap kedalam baju selepas dicuci mengunakan teknologi nano di Nano Wash.

Demonstrasi yang ditunjukkan Mohd. Ihsan kepada GenK menunjukkan cecair berupa air coklat yang dituangkan kepada sehelai pakaian yang telah dirawat dengan Nanoteknologi, ia tidak serap ke dalam kain seperti daun keladi.

Ia juga berkesan bagi kotoran seperti kari, kopi atau apa sahaja kotoran yang sukar dihilangkan.

Nano Wash juga membuka keahlian kepada pelanggannya pada harga RM19.90 dan mereka boleh mendapat potongan sebanyak 10 peratus. Ahli juga boleh menambah wang saku melalui sistem 'multi level' sama ada menarik pelanggan baru atau pun dengan jualan produk syarikat.

Antara produk yang bakal dikeluarkan ialah sabun cuci kereta Nanoteknologi yang tidak memerlukan air untuk membasuh. Ia akan melindungi kereta selama seminggu dan produk yang boleh menjaga kebersihan tayar selama setahun.

Buat masa ini, syarikatnya sedang berusaha untuk menjalin kerjasama dalam mendapatkan bantuan kewangan daripada agensi kerajaan dan bank. Ini bagi memberi kemudahan pinjaman kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

"Kami sedang mengadakan perbincangan bagi mendapatkan khidmat pinjaman bagi bumiputera memulakan perniagaan," katanya.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 12 Januari 2010

Tiada ulasan: