Rabu, 3 Februari 2010

Ovi Plus untuk Nokia E72

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Cekap merangkaikan aplikasi komunikasi pesanan segera dan aplikasi pejabat, model ini menjanjikan prestasi profesional.

RANGKAIAN model Nokia semakin cekap merangkaikan perkhidmatan komunikasi pesanan segera.

MENAWAN, ringan dan penuh dengan maklumat. Begitulah gambaran model terbaru telefon bimbit pintar Nokia E72 yang memiliki reka bentuk hampir sama dengan E71.

Bagaimanapun, model yang disasarkan kepada pengguna produktif ini telah mengalami fasa pembaharuan. Selari dengan keperluan pengguna yang mahukan keseimbangan aplikasi pejabat dan hiburan harian, E72 menunjukkan aspek perkakasan dan perisian yang dinaik taraf.

MODEL E72 didatangkan dengan kamera fokus auto 5.0 megapiksel.

Ciri utama E72 ialah sokongannya ke atas Ovi Plus yang merangkaikan perkhidmatan komunikasi pesanan segera seperti Yahoo!, MSN dan Google Talk dengan satu kaedah daftar masuk (login). Selain itu, ia dilengkapi senarai hubungan penuh, penyeragaman status, emotikon, permulaan pantas dan perbualan boleh disimpan.

Capaian e-mel menggunakan Nokia E72 juga dibuat begitu mudah bagi membolehkan pengguna memasuki laman servis pihak ketiga seperti Yahoo!, Gmail dan seumpamanya.

Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan aplikasi Microsoft Office serta masih mengekalkan Microsoft Exchange yang hanya memerlukan satu sentuhan untuk mengakses e-mel, baik bagi kegunaan peribadi mahupun tujuan profesional.

Selain e-mel, pengguna juga boleh memeriksa kalendar, kontak kenalan atau memuat turun lampiran dokumen seperti Word, Powerpoint, Excel mahupun fail-fail PDF ke dalam gajet mereka.

Bagi memudahkan pengguna menggunakan pelbagai aplikasi Internet, gajet ini turut mempunyai pad kekunci QWERTY dan kekunci navigasi peka sentuhan.

Nokia E72 juga didatangkan dengan sebuah kamera fokus auto 5.0 megapiksel serta disokong memori microSD yang kapasitinya boleh mencecah sehingga 16 gigabait (GB).

Kerangkanya masih berasaskan keluli tahan karat yang menawan untuk menjadikannya mantap ketika dipegang dan boleh diperoleh dalam warna hitam zodium, kelabu metal atau perang topaz. Kemasan berwarna metalik pula dipadankan dengan antara muka pengguna yang ringkas.

Banyak lagi kemudahan yang terdapat pada Nokia E72 antaranya ialah aplikasi pemetaan Sistem Kedudukan Global Berpembantu (A-GPS), peta mini Nokia, kompas digital dan lain-lain lagi.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Tiada ulasan: