Khamis, 4 Februari 2010

Bahaya plastik disahkan

MANUSIA perlu mengehadkan pergantungan kepada sumber plastik untuk kepentingan jangka masa panjang.

BAHAN kimia yang terkandung dalam bekas plastik dikaitkan dengan penyakit jantung, demikian saintis melaporkan baru-baru ini. Ia sekali gus mengesahkan penemuan terdahulu dan meningkatkan tekanan kempen agar bekas plastik diharamkan daripada digunakan sebagai botol dan bungkusan makanan.

Pengkaji-pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) dan Britain telah mengkaji kesan kimia bisphenol A berasaskan satu tinjauan nutrisi kebangsaan pada tahun 2006. Mereka mendapati bahawa paras bisphenol A yang tinggi pada sampel-sampel urin dikaitkan dengan penyakit jantung.

Bisphenol A dikenali sebagai BPA digunakan secara meluas pada plastik dan perhatian saintis di banyak negara seperti Britain, Kanada dan AS semakin meningkat berhubung isu ini.

David Melzer, profesor epidemiologi dan kesihatan awam di Peninsula Medical School di Exeter, Britain yang mengetuai kajian tersebut berkata, ia mengesahkan penemuan terdahulu tentang hubungan antara BPA dan masalah jantung.

Analisis itu juga mengesahkan bahawa BPA memainkan peranan dalam penyakit diabetes dan beberapa bentuk penyakit hati, kata kumpulan Melzer. Mereka mengkaji data melibatkan 1,493 orang yang berusia 18 hingga 74 tahun.

"Analisis terbaru kami sangat mengesahkan analisis pertama," katanya dalam satu kenyataan.

BPA yang digunakan untuk mengeraskan botol plastik berasal daripada satu kelas kompaun yang kadangkala dinamakan pengganggu endokrin.

Jun lalu, Persatuan Endokrin AS menggesa agar kajian yang lebih terperinci dilakukan tentang BPA. Mereka membentangkan kajian yang menunjukkan bahan kimia itu boleh memberi kesan kepada jantung wanita dan merosakkan DNA tikus secara tetap.

"Risiko yang mengaitkannya dengan pendedahan BPA mungkin kecil, tetap ia relevan bagi sejumlah besar manusia. Informasi ini amat penting," kata Tamara Galloway yang terlibat dalam kajian itu.

Hasil penyelidikan itu disiarkan dalam jurnal sains dalam talian Public Library of Science, PLoS One.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Tiada ulasan: