Khamis, 18 Februari 2010

Menyejuk tanpa membazir tenaga

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR

Bersediakan kita mengikut arus kempen yang menggalak penggunaan barangan elektrik dengan teknologi hijau?

BERAPA ramai rakyat negara ini sanggup berubah kepada peti sejuk yang menggunakan teknologi penyongsang (inverter) kerana cintakan alam sekitar? Teknologi itu dibuktikan mampu memberi penjimatan tenaga sehingga dua kali ganda.

Pastinya persoalan ini dianggap remeh bagi sesetengah orang. Apatah lagi, peti sejuk bukan barangan elektrik murah yang boleh ditukar ganti dengan kerap, terutama bagi mereka yang berhemat dalam berbelanja.

Walaupun pengeluaran peti sejuk yang mengandungi gas klorofluorokarbon (CFC) dihentikan, pasti masih ada pengguna yang sayang membuangnya lebih-lebih lagi jika ia masih elok dan boleh digunakan.

Hakikatnya pelepasan gas CFC, walaupun tidak banyak, mampu memberikan kesan buruk kepada lapisan ozon. Kesan itu sekali gus menyumbang kepada pemanasan global.

KESEIMBANGAN aturan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Maka, penghasilan teknologi baru perlu seiring dengan usaha tersebut.

Tetapi, seiring peredaran masa, masyarakat dilihat semakin menyedari kepentingan memulihara alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila impaknya mula terasa.

Banyak kempen kesedaran mengenai pemanasan global dijalankan di seluruh dunia. Setiap orang sebenarnya mampu untuk menyumbang sedikit perubahan dengan beralih kepada teknologi mesra alam atau kini dipanggil sebagai teknologi hijau.

Seumpama trend, syarikat-syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik terutamanya peti sejuk mula sedar akan permintaan masyarakat hari ini yang mahukan produk-produk mesra alam.

KONSEP peti sejuk mesra alam sekitar sudah menjadi trend dalam strategi pemasaran syarikat pengeluar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Rosnani Ibrahim berkata, peralihan kepada teknologi hijau memerlukan sokongan ramai tetapi ia mesti dilakukan secara sukarela.

"Sesiapa sahaja yang prihatin dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar pasti akan secara sukarela beralih kepada produk mesra alam dan menjadikannya sebagai amalan hidup.

"Bagus sekiranya masyarakat sedar akan kepentingan mesej tersebut dan kita mesti sokong penggunaan teknologi hijau," katanya.

Teknologi baik

Sesuatu teknologi baru itu adalah teknologi yang baik sekiranya ia mampu menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, teknologi hijau memang membantu pemuliharaan alam sekitar tetapi pelaksanannya terletak pada sikap kepenggunaan.

Ini kerana, penggunaan yang berlebihan tidak membantu usaha penambahbaikan teknologi kerana hasilnya masih mencemarkan alam sekitar.

"Dasar yang menghalang penggunaan CFC dalam sistem peti sejuk amat bagus. Ditambah pula dengan teknologi yang mampu menjimatkan tenaga, ia dapat memberi sedikit sumbangan ke arah tersebut.

"Tetapi, penggunaan mestilah berhemah. Tidak guna sesuatu teknologi itu sekiranya kadar penggunaan meningkat berganda-ganda sehingga menyebabkan lebih banyak pembaziran tenaga," jelasnya.

Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi hijau tidak sepenuhnya menyelesaikan masalah pembaziran tenaga. Sebaliknya, ia melambatkan proses itu.

BERSEDIAKAH rakyat Malaysia untuk bertukar kepada peti sejuk baru yang mesra alam sekitar?


"Cara yang paling baik adalah dengan mengurangkan penggunaan barangan elektrik yang menjadi punca pencemaran kerana ini jauh lebih baik daripada inovasi teknologi.

"Selain itu, kerajaan mungkin boleh wujudkan satu dasar yang melarang penggunaan barangan elektrik yang membazirkan tenaga," katanya.

Sokongan industri

Peti sejuk yang tidak menggunakan bahan CFC mempunyai impak paling minimum ke atas pemanasan global seterusnya tidak menyebabkan penipisan lapisan ozon.

Menurut kenyataan Panasonic Malaysia, peti sejuk dengan penyejuk CFC mempunyai 400 kali ganda potensi kepada kenaikan suhu dunia.

PENYEJUKAN tanpa bahan klorofluorokarbon (CFC) tetap memelihara kualiti dan kesegaran barang makanan yang disimpan di dalamnya.

"Dengan penggunaan peti sejuk tanpa CFC dan menggunakan teknologi inverter, penggunaan tenaga dapat dikurangkan sehingga 40 peratus.

"Teknologi ini menetapkan penggunaan tenaga yang diperlukan, terutama pada waktu malam. Ia menyumbang kepada penjimatan tenaga sehingga 40 peratus dalam jangka masa panjang," terang sumber tersebut.

Peti sejuk dengan inverter pintar daripada Panasonic mampu membantu usaha pemuliharaan alam sekitar kerana teknologi itu menggunakan pemproses mikro yang dapat mengesan suhu dalam peti sejuk tersebut.

KESAN pemanasan global berkait rapat dengan sikap pengguna dunia

Sementara itu, Samsung juga adalah jenama yang turut mengeluarkan peti sejuk mesra alam yang tidak memberi kesan rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.

Menurut kenyataannya, Samsung menggunakan penyejuk semula jadi R-600 yang mengurangkan kesan pencemaran secara drastik.

"Samsung menyedari tentang harapan dalam pemeliharaan alam sekitar dan sasaran persekitaran yang sihat untuk generasi hari ini dan akan datang.

"Selain itu, usaha signifikan lain adalah dengan menjalankan amalan kitar semula barangan elektrik dan elektronik untuk setiap negara," katanya.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Februari 2010

Tiada ulasan: