KEHADIRANNYA dalam kediaman menjadikan segalanya kelihatan bergaya.
PENGALAMAN baru dunia televisyen berskrin cecair kristal yang menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (TV LCD LED) boleh dirasai pada paparan TV LCD LED Digital SL90.
Model SL90 keluaran LG Electronic menampilkan reka bentuk moden dengan menggunakan teknik Injection Compression Molding (ICM) merupakan salah satu televisyen ternipis di dunia.
Teknik ICM itu menghasilkan permukaan berupa kaca, hampir-hampir menyingkirkan ruang antara skrin dan permukaan tepi sekali gus amat sesuai dengan gaya hidup moden rakyat Malaysia.
Televisyen moden nipis ini juga dilengkapi dengan lampu sorot LED untuk menghasilkan nisbah kontras dinamik tinggi sebanyak 3,000,000:1 bagi kualiti gambar yang sempurna dan meningkatkan piksel warna halus.
Ia adalah untuk memastikan pengguna yang menonton televisyen tersebut seolah-olah mengalami pengalaman sebenar ketika menyaksikan rancangan serta filem kegemaran mereka.
PANDANGAN sisi yang mempesonakan
Selain itu, skrin antisilau 1080 berdefinisi tinggi penuh yang terdapat pada televisyen ini mampu mengurangkan bayangan kerana ia diterap dengan teknologi TruMotion 100Hz untuk menawarkan kejelasan mengagumkan.
Bagi penggemar muzik dan ingin melihat gambar dari telefon bimbit melalui skrin lebih besar kemudahan canggih Bluetooth juga disediakan untuk mereka. Sistem audio SL90 membantu keterujaan tontonan kerana dilengkapi speaker 'halimunan' khas berkualiti tinggi.
Tidak perlu lagi bimbang tentang aspek tenaga. Model ini lebih mesra alam dengan menggunakan teknologi penjimatan tambahan tenaga pintar (Smart Energy Saving) yang mampu menjimatkan sehingga 70 peratus penggunaan tenaga.
Pengurus Besar Jualan LG Electronic, Chee Khay Huat berkata, beliau yakin dengan prospek pasaran TV LCD LED di Malaysia pada 2010 lantaran trend itu sejajar dengan peningkatan gaya hidup moden di kalangan rakyat negara ini.
BIARPUN nipis, SL90 dilengkapi pembesar suara tersembunyi dengan kualiti audio memuaskan
"Kita juga mengambil kira peningkatan permintaan bagi kediaman apartmen dan kondominium, sudah tentu pemilik kediaman ini mahukan transformasi bagi hiburan rumah. LG Electronic kini menguasai 22 peratus TV LCD dan menyumbang 10 peratus kepada jualan hiburan di rumah," katanya.
Beliau juga menambah, LG Electronic akan memperkenalkan tujuh lagi TV LCD LED pada tahun ini bagi memastikan setiap isi rumah di Malaysia berpeluang menggunakannya. Katanya, dua lagi TV terbaru itu akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini termasuk TV bersaiz 72 inci.
"Kepelbagaian siri bagi TV LCD LED ini adalah strategi pemasaran LG Electronic untuk memastikan produk kami mampu dibeli oleh semua golongan termasuk pelanggan yang berpendapatan rendah," ujar beliau.
Pengenalan produk itu dijangka membantu LG Electronic mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak RM800 juta pada tahun ini berbanding RM600 juta pada 2009.
Selain itu, tambah Chee, ia juga bakal memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama utama hiburan di rumah di kalangan pengguna Malaysia. Ia sekali gus membolehkan LG Electronic melonjakkan kedudukannya di tempat kedua utama dalam menguasai pasaran tersebut.
Model TV LCD LED Digital SL90 ditawarkan pada dua saiz iaitu 42 dan 47 inci, masing-masing pada harga RM7,499 dan RM10,999.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk terbaru ini pengguna boleh melayari laman sesawang http://www.lge.com.my, http://www.lgblog.com.my atau www.lgborderless.com - NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan