Kad pintar untuk perkhidmatan lif biasanya digunakan di kediaman kondominium atas faktor keselamatan yang lebih ketat dan privasi. Nampaknya ia menjadi cara baru untuk mengatasi masalah penduduk yang liat membayar khidmat penyelenggaraan.
Akibat sikap segelintir penghuninya yang liat menjelaskan bayaran, kantung pihak pengurusan rumah pangsa yang terletak dekat Sungai Nibong itu pernah tertunggak sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.
Mesyuarat demi mesyuarat bersama jawatankuasa penduduk kerap menemui jalan buntu akibat sikap beberapa penghuninya yang kerap memekakkan teling apabila perkara itu dibangkitkan. Malah, berkeping-keping surat amaran yang dilayangkan hanya sekadar memenuhkan peti surat sahaja.
Mana tidaknya, tunggakan berbulan-bulan itu menyebabkan ada penghuni rumah yang berhutang sehingga RM23,000.
Malangnya apabila lif yang rosak dan tidak dibaiki akibat kekeringan dana, penduduk mula menuding jari menyalahkan kegagalan pihak pengurusan pangsapuri tersebut.
Tetapi bagi penghuni yang melunaskan tanggungjawab membayar wang penyelenggaraan bulanan, mereka turut terkena tempiasnya. Lalu jalan penyelesaian dicari sesama mereka dengan duduk semeja bersama pihak pengurusan pangsapuri.
Bagi penghuni rumah pangsapuri, lif adalah kemudahan asas yang cukup penting selain bekalan air dan elektrik. Hasilnya, timbullah idea memperkenalkan penggunaan kad pintar sebagai akses untuk menggunakan kemudahan itu.
Mencontohi konsep serupa di kondominium mewah, kad pintar itu bagi membolehkan penghuni menggunakan kemudahan lif. Tetapi apa yang lebih penting kad tersebut hanya diberikan kepada mereka yang menjelaskan bayaran penyelenggaraan bulanan sahaja.
Dengan menyentuh kad pintar sebaik memasuki ke dalam lif, Sistem Kad Sentuh (SKS) akan beroperasi di mana lif akan berhenti secara terus di aras kediaman masing-masing mengikut alamat yang didaftar kepada pihak pengurusan pangsapuri itu.
Menurut pengerusi penduduknya, N. Baratharajan, kad yang diperkenalkan di rumah bertingkat yang dihuni sejak 23 tahun lalu itu adalah hasil inisiatif badan pengurusan pangsapuri tersebut bagi melancarkan urusan pembayaran penyelenggaraan.
DENGAN kos sekitar RM6,000 untuk memasang papan kekunci sesentuh, paparan elektronik dan kamera rakaman litar tertutup, penggunaan kad pintar mungkin dapat mengatasi masalah penghuni yang enggan membayar caj penyelenggaraan pangsapuri.
"Sebelum ini ada penghuni yang tertunggak bayaran antara RM5,000 hingga RM23,000 sedangkan kos penyelenggaraan semakin meningkat.
"Bayaran penyelenggaraan penting kerana perkhidmatan yang diberi seperti pembersihan, pengindahan landskap dan penyelenggaraan lif adalah untuk penghuni. Jika tidak diselesaikan, ia akan menjadi serius.
"Malah ketika mula-mula diperkenalkan ada juga yang membantah tetapi kami yakin ini sahaja cara terbaik demi memastikan penghuni-penghuni yang degil berubah sikap.
"Tapi belum sebulan beroperasi, hampir 80 peratus masalah melibatkan penyelengaraan dapat diselesaikan malah semua penduduk menyambut baik perkhidmatan yang diketengahkan ini," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Buat permulaan, dua daripada lima blok kediaman di situ menggunakan kaedah tersebut sebagai percubaan selama tiga bulan bagi melihat keberkesanannya manakala dua kediaman lagi akan bermula penghujung bulan Februari ini.
Ia melibatkan perbelanjaan kira-kira RM6,000 bagi sebuah lif bagi pemasangan papan kekunci sesentuh selain paparan elektronik serta kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan terus ke pejabat pengawal.
Mengulas lanjut katanya, selain membantu menyelesaikan masalah tersebut, ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya kes jenayah di dalam rumah.
"Kad ini hanya mampu dimiliki oleh pemilik kediaman itu sahaja selain anak-anak, manakala pelawat pula mestilah menghubungi tuan rumah terlebih dahulu untuk mendapatkan kad berkenaan.
"Ia juga meningkatkan lagi kawalan keselamatan di sini dan setiap pengawal akan memantau kawasan tersebut dengan menyiasat sesiapa yang menggunakan kemudahan itu pada setiap hari," jelasnya.
Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 8 Februari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan