Rabu, 3 Februari 2010

Pelihara ekosistem tumbuhan

Oleh JULIA ISMAIL

BUNGA yang digunakan mesti berbau harum dan berwarna putih serta terdiri daripada tujuh jenis bunga berbeza.

JIKA disebut mengenai biodiversiti, sudah pasti ia merupakan bidang ilmu yang meliputi kepelbagaian spesies hidupan termasuk daripada ekosistem darat, akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks.

Biodiversiti amat penting kerana ia menunjukkan setiap spesies mempunyai nilai tersendiri dan hak untuk hidup di muka bumi tanpa mengira kira haiwan, tumbuhan dan manusia.

Untuk itu, Unit Biodiversiti Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah ditubuhkan bagi memastikan ekosistem terutama spesies tumbuhan lebih terpelihara.

Unit itu yang dilengkapi dengan peralatan dan sistem canggih menjadi penyokong utama kepada IBS untuk menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam bidang biodiversiti tumbuhan.

Ia menawarkan perkhidmatan penyelidikan dalam bidang sains tumbuhan dengan disokong oleh kemudahan teknologi tinggi yang dimiliki institut tersebut. Selain itu, ia bertanggungjawab menyediakan pangkalan data dan sumber hutan bagi membantu penyelidikan berasaskan tumbuhan.

Unit yang menyediakan kemudahan R&D bertaraf dunia itu juga berperanan menghasilkan produk herba berasaskan penyelidikan, selain menjadikan pusat pemuliharaan 'ex situ' iaitu penanaman pokok di luar kawasan pokok sebenar serta pengembangan untuk penyelidikan, pembelajaran dan pendidikan.

Antara kemudahan yang disediakan ialah Makmal Kultur Tisu untuk kerja-kerja pensterilan dan pengkulturan tisu. Herbarium Etnobotani pula digunakan untuk mengumpul dan mengenalpasti identiti tumbuhan herba untuk dijadikan rujukan. Ladang nurseri berfungsi untuk menyediakan plot tanaman, penjualan tumbuhan herba dan daun mandian herba.

Makmal Kultur Tisu menghasilkan kultur tisu bagi menyediakan anak pokok yang lebih berkualiti, homogenus dan akan bertunas lebih cepat, antara dua minggu hingga satu bulan selepas dikulturkan.

Tanaman daripada keluarga halia (zingiberaceae) merupakan antara sebab kewujudan makmal kultur tisu di IBS. Penyelidikan dijalankan sebanyak enam peringkat sehingga proses akhir ke dalam polibeg.

PROSES pemindahan eksplan kultur tisu.

Pegawai Sains Kanan, Unit Biodiversiti UPM, Julia Abdul Aziz berkata, sebanyak 23 spesies termasuk orkid liar telah dijadikan kultur tisu.

"Kegunaan kultur tisu seperti halia ini boleh dijadikan penambah selera makanan, baik untuk ibu baru bersalin dan mengubati demam," katanya.

Herbarium Etnobotani pula terdiri daripada koleksi spesimen tumbuhan yang mempunyai nilai 'etnobotani'. Istilah etnobotani merujuk kepada hubungan antara tumbuhan dengan masyarakat sama ada dari segi perubatan, binaan bangunan, kepercayaan, makanan, pewarna dan sebagainya.

Taman Konservatori Pertanian, UPM berada di bawah jagaan dan seliaan unit berkenaan. Ia dibina di atas kawasan ladang penanaman getah seluas dua hektar.

Penubuhannya adalah cetusan idea Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah pada awal tahun 2006.

IBS dipertanggungjawab untuk membangunkan taman yang berfungsi sebagai lokasi penyelidikan, pembelajaran, rujukan dan rekreasi alam sekitar.

Terdapat lebih daripada 500 spesies koleksi yang terdapat di dalam Taman Konservatori Pertanian yang merangkumi tumbuhan asli dan eksotik.

Taman tersebut dibahagikan kepada 11 zon mengikut fungsi, kegunaan dan jenis tumbuhan. Antaranya, tumbuhan wangian lebih kurang 50 spesies, herba (100), halia dan kunyit (200), periuk kera (anggaran tiga), orkid liar (900 ), paku pakis (20), ulam-ulaman (70), buah-buahan liar (10), keladi (20), tumbuhan akuatik (15) dan rempah ratus kira-kira 15 spesies.

Pengarah IBS, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff dan Timbalan Pendaftarnya, Anuar Ahmad memberi sokongan pengurusan tidak berbelah bahagi kepada taman terbabit.

Di samping itu, Unit Biodiversiti turut menghasilkan bahan mandian terapi herba dan sabun herba yang digunakan bagi tujuan perubatan serta penjagaan kesihatan.

Mandian terapi herba yang menggunakan beberapa spesies tumbuhan mempunyai khasiat untuk mengembalikan kesegaran badan, menaikkan seri muka dan meredakan penyakit tertentu.

STAF Unit Biodiversiti IBS, UPM bergambar di hadapan gerbang Taman Konservatori.

Beberapa jenis mandian juga boleh diamalkan.

Misalnya mandi herba, mandi bunga, mandi wap, bertangas dan mandi limau.

Produk sabun pula dikenali sebagai Haruman Herba yang boleh didapati dalam pelbagai jenis seperti sabun resdung, jeragat, jerawat, limau, pandan, serai wangi, kenanga, mandian herba, bunga dan mandian limau.

Setiap sabun dipercayai mempunyai khasiat tersendiri seperti menghilangkan bau dan menyegarkan badan.

Selain itu, ia juga dikatakan mampu merawat resdung, memulihkan urat saraf, membuang toksik yang menyebabkan angin badan serta memelihara kesihatan badan.

Dalam pada itu, Koordinator Unit Biodiversiti UPM, Prof. Madya Dr. Faridah Qamaruz Zaman berkata, setiap sabun dibuat berdasarkan warna dan bau mengikut permintaan .

"Pemahaman terhadap tanaman herba dapat dipupuk melalui bau sabun dan lakaran imej pada kotaknya," katanya.

Permintaan tinggi bagi produk-produk herba pada masa sekarang merupakan salah satu faktor penghasilan sabun perlu dipertingkatkan dengan lebih banyak.

Kesedaran tentang penjagaan ekosistem kehidupan terutama tumbuhan adalah penting agar generasi masa akan datang dapat terus bernafas dalam udara yang segar.

Di samping menikmati pemandangan yang nyaman sehijau daun, secantik bunga dan khasiat perubatan seperti herba.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 12 Januari 2010

Tiada ulasan: