Rabu, 3 Februari 2010

Awasi premis dari jauh

Masih tercari-cari sistem keselamatan yang sesuai untuk rumah atau premis perniagaan anda? IRIX 123 keluaran Greenpacket mungkin mampu memenuhi kriteria yang anda tetapkan.

IRIX merupakan sistem pengawasan berasaskan Protokol Internet (IP) bagi rumah atau pejabat kecil.


GREEN Packet Berhad (Greenpacket), sebuah syarikat pemaju peranti dan pembekal rangkaian jalur lebar tanpa wayar, telah melancarkan satu produk baru iaitu IRIX 123 (IRIX) baru-baru ini.

IRIX merupakan sistem pengawasan berasaskan Protokol Internet (IP) bagi rumah atau pejabat kecil. Ia membolehkan pengguna mengawasi premis mereka dari jauh melalui portal laman web menggunakan komputer riba mahupun telefon bimbit 3G.

Pengurus Besar Kanan Greenpacket, Kelvin Lee berkata, IRIX123 menawarkan keselesaan bagi mereka yang sentiasa berada di luar tetapi ingin mengetahui keselamatan di rumah atau pejabat.

"Selagi pengguna mempunyai sambungan Internet melalui komputer, telefon mudah alih 3G atau WiFi, produk ini boleh digunakan.

"IRIX direka khas untuk dipasang dengan tiga langkah mudah. Pasang kamera, sambungkan router tanpa wayar, daftar masuk ke www.irix.com.my dan anda boleh lihat apa yang berlaku di rumah atau pejabat dari seluruh dunia," katanya.

KELVIN Lee percaya IRIX123 menawarkan keselesaan kepada mereka yang sentiasa berada di luar rumah.


Tambahnya, Greenpacket membangunkan IRIX123 sebagai sistem pengawasan yang paling mesra pengguna, berpatutan dan fleksibel, sesuai bagi kegunaan di rumah atau perniagaan kecil.

Hasil kajian yang melibatkan pengguna sewaktu pembangunan produk, syarikat itu mendapati kebanyakan pengguna inginkan sebuah sistem pengawasan yang tidak memerlukan banyak wayar dan kabel, pemasangan mudah dan kurang konfigurasi.

Selain itu, Greenpacket juga telah mengambil kira kriteria pembelian pengguna sewaktu mereka mencipta IRIX123.

GREENPACKET membangunkan IRIX123 sebagai sistem pengawasan yang paling mesra pengguna, berpatutan dan fleksibel.


Antara yang dikenal pasti termasuk keperluan terhadap sistem yang mampu dimiliki dan mesra pengguna tanpa mengetepikan ciri-ciri keselamatan.

"Ia adalah inspirasi bagi pelancaran sistem pengawasan DIY. Kamera IP dalam sistem IRIX123 adalah tanpa wayar yang tidak memerlukan banyak penggerudian dan pemasangan kabel," jelas Lee.

IRIX menjadikan pengaturan dan pemasangan lebih mudah dan selesa walaupun bagi mereka yang kurang mahir dalam teknologi. Tiada konfigurasi diperlukan bagi kamera IRIX kerana ia hanya memerlukan pendaftaran mudah di portal www.irix.com.my.

Tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) atau pengawasan lain yang mempunyai kemudahan dan ciri-ciri dimiliki IRIX123.

"Dengan IRIX123, pengguna tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak memiliki sistem pengawasan mereka sendiri," katanya.

IRIX123 Greenpacket pada harga belian terbaik di pasaran merupakan peralatan yang paling mudah dipasang. Greenpacket akan mula memasarkan IRIX123 melalui pengedar jalur lebar pada harga RM1,588 untuk dua kamera.

Sempena pelancaran produk itu, kad memori 2 gigabit (GB) dan perisian pengurusan video akan diberikan secara percuma sebagai hadiah.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! 6 Januari 2010

Tiada ulasan: