Rabu, 3 Februari 2010

Kalsium air kecil angkasawan punca rosak

GAMBAR fail menunjukkan tiga angkasawan minum minuman air yang dikitar semula di Stesen Angkasa Lepas Kebangsaan pada Mei tahun lalu.

CAPE CANAVERA, Florida - Jurutera-jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan sistem kitar semula air kencing menjadi air minuman berharga AS$250 juta (RM836.8 juta) di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) tersumbat disebabkan oleh galian kalsium dalam air kecil angkasawan yang menjadi keladak.

Setakat ini, saintis-saintis NASA tidak pasti sama ada pengumpulan kalsium itu berpunca daripada kehilangan jisim tulang akibat kesan persekitaran graviti sifar atau disebabkan oleh beberapa faktor lain.

"Kami mengetahui mengenai kandungan air kencing yang masuk ke dalam mesin tersebut tetapi perubahan kimia yang berlaku apabila bahan itu diproses tidak selalunya boleh difahami," kata saintis program ISS, Julie Robinson.

Kumpulan jurutera di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall di Huntsville, Alabama, Amerika Syarikat (AS), berharap beberapa alat ganti bagi membaiki kerosakan tersebut akan dihantar dengan menggunakan kapal angkasa Endeavour yang dijadual berlepas ke angkasa lepas pada 7 Februari depan. - Reuters

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 14 Januari 2010

Tiada ulasan: