Rabu, 24 Februari 2010

Elak jangkitan dan pembaziran

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

RAMAI yang maklum betapa perlunya penyediaan tempat mengambil wuduk yang selesa, lebih-lebih lagi jika kekerapan ia digunakan digandakan lagi dengan bilangan orang yang menggunakannya.

Mungkin apa yang difikirkan paling sempurna bagi seseorang pengguna adalah aspek keberkesanan fungsi. Lebih penting, ketika berwuduk, perkara yang perlu dijaga selain adab adalah soal kesucian kawasan atau tempatnya serta cara mengelakkan pembaziran air kerana itu menyumbang kepada kekhusyukan dalam beribadah.

Apabila memikirkan perkara-perkara tersebut, ilham boleh datang kepada sesiapa pun melalui pemerhatian. Sama seperti yang dialami seorang ahli perniagaan, Anthony Gomez, dalam satu kejadian pada tahun 2006.

Pengalaman hendak menggunakan tandas di dalam sebuah feri dalam perjalanan dari Pelabuhan Aqaba, Jordan ke Pelabuhan Taba, Mesir telah membuka Anthony untuk mencipta satu inovasi terkini bagi membantu umat Islam mengambil wuduk.

Ketua Pegawai Eksekutif AACE Technologies Sdn. Bhd., (AACE Technologies) itu berasa terkejut apabila melihat keadaan tandas sempit yang dipenuhi kira-kira 40 jemaah haji. Mereka dilihat sedang mengambil wuduk dengan menggunakan besen.

Anthony seperti terpanggil untuk melakukan sesuatu demi membantu sekali gus mengatasi masalah keselesaan para jemaah di dalam feri itu.

Sistem praktikal

Dia yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan mula memikirkan tentang suatu ciptaan berteknologi tinggi namun mudah, ergonomik dan praktikal.

MESIN Auto Wudu Washer tercipta selepas mengambil kira beberapa faktor dan sebab.

“Saya telah mengambil masa kira-kira dua tahun dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan mesin automatik Auto Wudu Washer. Ia adalah mesin wuduk pertama di dunia yang dihasilkan syarikat tempatan.

“Hampir semua bahan yang digunakan untuk membangunkan produk ini adalah bahan tempatan. Kos bagi penyelidikan dan pembangunan bagi Auto Wudu Washer pula mencecah AS$1 juta (RM3.4 juta) dan keseluruhan pelaburan untuk projek membabitkan kira-kira AS$2.5 juta (RM8.5 juta),” katanya.

Beliau menambah, terdapat dua model dalam proses pengeluaran AACE Technologies iaitu model 707 dan model 708 dijangka akan memasuki pasaran pada bulan Julai ini.

Perbezaan mengenai dua model ini ialah model 707 disasarkan untuk kegunaan di pejabat dan rumah.

Ia mempunyai ketinggian 190 sentimeter (sm) dan lebar 110 sm manakala model 708 dibina khusus bagi kegunaan seperti masjid, lapangan terbang, hotel serta pusat membeli-belah dengan ketinggian 150 sm serta lebar 86 sm.

Ujar Anthony, antara keistimewaan mesin ciptaannya adalah ia tidak menggunakan air yang begitu banyak dan hanya memerlukan 1.3 liter untuk seseorang menyempurnakan wuduk.

Katanya, ia tentu sekali dapat menjimatkan penggunaan air kerana berbanding menggunakan paip biasa, seseorang tanpa disedari akan ‘membazirkan’ lapan liter air.

“Sebagai contoh, mesin ini hanya memerlukan 10 juta liter air untuk kegunaan wuduk harian bagi dua juta umat Islam ketika musim haji di Mekah.

“Sebab itu AACE Technologies menyasarkan pasaran di negara Asia Barat untuk menjual mesin wuduk ini kerana kebanyakan daripada negara tersebut berdepan kekurangan bekalan air,” ujarnya lagi.

Menghindar jangkitan

Selain daripada menjimatkan air, mesin Auto Wudu Washer turut mengetengahkan teknologi khas bagi memastikan ia bersih dan selamat digunakan.

PERBUATAN tidak membazir air ketika berwuduk membantu kekhusyukan dalam solat. – Gambar hiasan

Penasihat AACE Technologies, Dr. Taufiq Thiagi, berkata: “Dalam pembangunan mesin wuduk automatik ini, kita telah membuat kajian agar pengguna terhindar daripada mendapat jangkitan kuman atau kulat air pada kaki mereka.

“Teknologi nano yang diterapkan dalam pembangunan mesin wuduk ini amat membantu. Nano perak yang terdapat pada mesin ini biasanya digunakan untuk mengecat dinding hospital kerana ia membunuh kuman.

Ujar beliau lagi, mesin wuduk tersebut juga didatangkan dengan sistem pengering untuk membolehkan pengguna berada dalam keadaan kering apabila menggunakan Auto Wudu Washer.

Katanya, itu menggalakkan persekitaran tempat mengambil wuduk sentiasa dalam keadaan kering. Idea ini dipraktikkan kerana kuman boleh merebak dengan pantas di persekitaran yang basah dan lembap.

“Secara tidak langsung, kelembapan yang dapat dielakkan itu dapat mengurangkan kerosakan pada permaidani dan mengatasi masalah bau hapak di masjid atau surau,” ujarnya.

PANCURAN air pada bahagian atas mesin ini memudahkan basuhan muka, tangan dan kepala.

Kualiti amat ditekankan dalam pembangunan mesin automatik wuduk ini apabila sistem pengesan pemencar (diffuse sensor) turut digunakan agar ia lebih tahan lama.

“Misalnya, jangka hayat mesin basuh dapat dipanjangkan apabila mekanisme yang sama digunakan untuk mengelakkan kerosakan akibat terkena air, hentakan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dr. Taufiq menjelaskan, mesin wuduk yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu berfungsi dengan dua bahagian punca air.

Di bahagian atas mesin ini terletak tiga titik pancuran air untuk keperluan membasuh muka, tangan dan kepala manakala satu lagi pancuran terletak di bahagian bawah mesin.

“Terdapat lampu pemancar cahaya diod (LED) yang akan membimbing pengguna ketika menggunakan punca air di bahagian atas atau bawah.

“Selain daripada itu, mesin ini turut menggunakan program komputer untuk memberitahu turutan melakukan wuduk,” ujarnya.

Memandangkan teknologi ini direka bagi membantu penjimatan air, program komputer yang terdapat pada mesin wuduk ini membolehkan pengguna untuk mengubah kadar dan sukatan air digunakan mengikut kesesuaian masa serta lokasi ia dipasang kelak.

Dr. Taufiq menambah, mesin tersebut mudah dipasang dan amat sesuai digunakan di kediaman, masjid, surau, pejabat serta kapal terbang penumpang.

Katanya lagi, setakat ini AACE Technologies telah menerima tempahan dari Kuwait dan banyak lagi negara Asia Barat yang melahirkan minat untuk mendapatkan mesin automatik ini.

Mesin Auto Wudu Washer ini dijangka akan dijual pada harga RM8,000 hingga RM14,000 bergantung kepada bahan dan perjanjian pengedar nanti.

Dicuplik daripada akhbar Kosmo! bertarikh 24 Februari 2010

Jumaat, 19 Februari 2010

Laman bahaya dedah maklumat di Internet

NEW YORK - Pengguna-pengguna Internet tanpa disedari memberi ruang kepada perompak untuk memecah masuk ke rumah mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Bagi peringatan kepada pengguna, laman web terbaru, pleaserobme.com yang bermaksud sila rompak saya, menyiarkan panduan mengenai bahayanya berkongsi maklumat terperinci mengenai pengguna-pengguna Internet yang memberitahu dunia bahawa mereka tidak berada di rumah.

Laman itu diwujudkan tiga rakan baik dari Belanda, Boy van Amstel, Frank Groeneveld dan Barry Borsboom.

Ia tidak memberikan maklumat terperinci mengenai lokasi rumah pengguna-penggunanya.

Pencipta-pencipta laman itu sebenarnya bukan untuk membantu perompak mengesan rumah yang ditinggalkan pemiliknya tetapi mereka mahu menghantar mesej kepada pengguna-pengguna rangkaian sosial mengenai bahaya berkongsi banyak maklumat di Internet.

Laman itu diwujudkan sebagai percubaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah yang akan timbul akibat berkongsi mesej tersebut.

"Kami mendapati pengguna-pengguna terbabit gemar memeriksa keadaan kediaman mereka dan lebih buruk menyemak di mana kedudukan ahli-ahli keluarga atau kawan mereka yang merupakan perbuatan yang silap," kata Von Amstel.

Laman pleaserobme.com itu sebenarnya menyediakan panduan untuk pengguna melindungi butiran peribadi yang boleh dikesan oleh penjenayah di Internet.

Pada minggu lalu, Google mencetuskan kritikan banyak pengguna Internet apabila mewujudkan aplikasi rangkaian sosial terbaru Buzz yang didakwa mendedahkan maklumat terperinci pengguna termasuk lokasi mereka yang diketahui semua pengguna. - Agensi

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 19 Februari 2010

Khamis, 18 Februari 2010

Robot berlakon teater

PEMBAWA watak dalam teater ini sebenarnya robot yang telah diprogram khas.

KOREA Selatan membangunkan barisan ‘pelakon’ teater android Ever-3 yang memainkan kisah yang diberi judul Puteri Robot dan Tujuh Kurcaci. Robot-robot itu dijangka memainkan banyak lagi watak lain di pentas teater tahun ini.

Robot-robot yang dihasilkan oleh Institut Teknologi Industri Korea (KITECH) itu juga telah muncul dalam pelbagai drama tahun lalu termasuk drama biayaan kerajaan, Dwarfs, yang mendapat sambutan ramai.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Februari 2010

Kesahihan peta Madaba

PETA Madaba menyimpan petunjuk tentang pola petempatan.

SEKEPING peta purba telah dipulangkan semula Penguat Kuasa Barangan Antik Israel kepada Gereja St. George di Madaba, Jordan dalam usaha pemuliharaan hasil penemuan arkeologi di Bandar Lama Baitulmuqaddis.

Peta itu merupakan sebahagian daripada pelan lantai mozek gereja tersebut. Paparan peta itu mengimbas semula kisah kehidupan di Baitulmuqaddis ketika zaman awal Byzantine. Para pengkaji telah mengesahkan kesahihan dan ketepatan peta mozek yang ditemui itu.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Februari 2010

Cipta gen daripada manusia purba

WILLERSLEV (kanan) dan Rasmussen yakin menemui sesuatu daripada gen manusia purba.

DUA orang saintis, Profesor Eske Willerslev dan Morten Rasmussen menjadi orang pertama di dunia yang menjumpai satu teknik yang membolehkan penciptaan semula semua gen daripada manusia purba yang dahulu menjalani kehidupan dan budaya tersendiri.

Mereka yang ditemui di muzium Zoologikal Copenhagen, Denmark akan menerbitkan penemuan mereka di dalam majalah terkenal iaitu British Science Magazine Nature.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Februari 2010

Satelit khas kumpul data matahari

 

PENCERAP Dinamik Solar (SDO) adalah satelit pertama yang dilancar menggunakaan roket Alliance Atlas V dari Kompleks Pelancaran Angkasa Lepas melalui program Tinggal Bersama Bintang (LWS) kelolaan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Dari orbit Geosynchronous, SDO akan menghalakan instrumennya ke arah matahari dan melakukan penelitian inovatif yang dijangka dapat membongkar pergerakan dalaman matahari melalui pengambilan imej-imej beresolusi tinggi secara berterusan.

Selain itu, aktiviti lain dilakukan SDO adalah mengumpul bacaan aktiviti yang berlaku dalam matahari dan mengukur aktiviti medan magnetnya.

Data-data yang dikumpulkan ini dijangka dapat memberikan para pengkaji gambaran yang perlu untuk menjangka badai matahari dan aktiviti lain di matahari yang boleh mempengaruhi pesawat angkasa lepas di orbit, para angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa dan sistem lain di Bumi.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Februari 2010

Info Teknologi Hijau

 

Apakah maksud teknologi hijau?
  • Teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada.
  • Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.
  • Apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
  • Aplikasi teknologi hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) iaitu pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan.
Sumber: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.


Ciri-ciri peti sejuk teknologi hijau
  • Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran.
  • Ia mempunyai pembebasan gas rumah hijau (GHG) yang rendah atau sifar.
  • Ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan.
  • Menjimatkan tenaga dan sumber asli.
  • Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Antara teknologi baru peti sejuk
  • Menggunakan teknologi inverter yang mampu menjimatkan tenaga sehingga dua kali ganda.
  • Menggunakan teknologi Silver Nano untuk makanan lebih segar dan tahan lama.
  • Mempunyai ciri sistem pendingin seperti Minus Zero yang direka khusus untuk mengekalkan kesegaran makanan.
  • Dilengkapi sistem pembersih yang dapat menyingkirkan bau yang tidak menyenangkan.
Sumber dari akhbar Kosmo!

Menyejuk tanpa membazir tenaga

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR

Bersediakan kita mengikut arus kempen yang menggalak penggunaan barangan elektrik dengan teknologi hijau?

BERAPA ramai rakyat negara ini sanggup berubah kepada peti sejuk yang menggunakan teknologi penyongsang (inverter) kerana cintakan alam sekitar? Teknologi itu dibuktikan mampu memberi penjimatan tenaga sehingga dua kali ganda.

Pastinya persoalan ini dianggap remeh bagi sesetengah orang. Apatah lagi, peti sejuk bukan barangan elektrik murah yang boleh ditukar ganti dengan kerap, terutama bagi mereka yang berhemat dalam berbelanja.

Walaupun pengeluaran peti sejuk yang mengandungi gas klorofluorokarbon (CFC) dihentikan, pasti masih ada pengguna yang sayang membuangnya lebih-lebih lagi jika ia masih elok dan boleh digunakan.

Hakikatnya pelepasan gas CFC, walaupun tidak banyak, mampu memberikan kesan buruk kepada lapisan ozon. Kesan itu sekali gus menyumbang kepada pemanasan global.

KESEIMBANGAN aturan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Maka, penghasilan teknologi baru perlu seiring dengan usaha tersebut.

Tetapi, seiring peredaran masa, masyarakat dilihat semakin menyedari kepentingan memulihara alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila impaknya mula terasa.

Banyak kempen kesedaran mengenai pemanasan global dijalankan di seluruh dunia. Setiap orang sebenarnya mampu untuk menyumbang sedikit perubahan dengan beralih kepada teknologi mesra alam atau kini dipanggil sebagai teknologi hijau.

Seumpama trend, syarikat-syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik terutamanya peti sejuk mula sedar akan permintaan masyarakat hari ini yang mahukan produk-produk mesra alam.

KONSEP peti sejuk mesra alam sekitar sudah menjadi trend dalam strategi pemasaran syarikat pengeluar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Rosnani Ibrahim berkata, peralihan kepada teknologi hijau memerlukan sokongan ramai tetapi ia mesti dilakukan secara sukarela.

"Sesiapa sahaja yang prihatin dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar pasti akan secara sukarela beralih kepada produk mesra alam dan menjadikannya sebagai amalan hidup.

"Bagus sekiranya masyarakat sedar akan kepentingan mesej tersebut dan kita mesti sokong penggunaan teknologi hijau," katanya.

Teknologi baik

Sesuatu teknologi baru itu adalah teknologi yang baik sekiranya ia mampu menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, teknologi hijau memang membantu pemuliharaan alam sekitar tetapi pelaksanannya terletak pada sikap kepenggunaan.

Ini kerana, penggunaan yang berlebihan tidak membantu usaha penambahbaikan teknologi kerana hasilnya masih mencemarkan alam sekitar.

"Dasar yang menghalang penggunaan CFC dalam sistem peti sejuk amat bagus. Ditambah pula dengan teknologi yang mampu menjimatkan tenaga, ia dapat memberi sedikit sumbangan ke arah tersebut.

"Tetapi, penggunaan mestilah berhemah. Tidak guna sesuatu teknologi itu sekiranya kadar penggunaan meningkat berganda-ganda sehingga menyebabkan lebih banyak pembaziran tenaga," jelasnya.

Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi hijau tidak sepenuhnya menyelesaikan masalah pembaziran tenaga. Sebaliknya, ia melambatkan proses itu.

BERSEDIAKAH rakyat Malaysia untuk bertukar kepada peti sejuk baru yang mesra alam sekitar?


"Cara yang paling baik adalah dengan mengurangkan penggunaan barangan elektrik yang menjadi punca pencemaran kerana ini jauh lebih baik daripada inovasi teknologi.

"Selain itu, kerajaan mungkin boleh wujudkan satu dasar yang melarang penggunaan barangan elektrik yang membazirkan tenaga," katanya.

Sokongan industri

Peti sejuk yang tidak menggunakan bahan CFC mempunyai impak paling minimum ke atas pemanasan global seterusnya tidak menyebabkan penipisan lapisan ozon.

Menurut kenyataan Panasonic Malaysia, peti sejuk dengan penyejuk CFC mempunyai 400 kali ganda potensi kepada kenaikan suhu dunia.

PENYEJUKAN tanpa bahan klorofluorokarbon (CFC) tetap memelihara kualiti dan kesegaran barang makanan yang disimpan di dalamnya.

"Dengan penggunaan peti sejuk tanpa CFC dan menggunakan teknologi inverter, penggunaan tenaga dapat dikurangkan sehingga 40 peratus.

"Teknologi ini menetapkan penggunaan tenaga yang diperlukan, terutama pada waktu malam. Ia menyumbang kepada penjimatan tenaga sehingga 40 peratus dalam jangka masa panjang," terang sumber tersebut.

Peti sejuk dengan inverter pintar daripada Panasonic mampu membantu usaha pemuliharaan alam sekitar kerana teknologi itu menggunakan pemproses mikro yang dapat mengesan suhu dalam peti sejuk tersebut.

KESAN pemanasan global berkait rapat dengan sikap pengguna dunia

Sementara itu, Samsung juga adalah jenama yang turut mengeluarkan peti sejuk mesra alam yang tidak memberi kesan rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.

Menurut kenyataannya, Samsung menggunakan penyejuk semula jadi R-600 yang mengurangkan kesan pencemaran secara drastik.

"Samsung menyedari tentang harapan dalam pemeliharaan alam sekitar dan sasaran persekitaran yang sihat untuk generasi hari ini dan akan datang.

"Selain itu, usaha signifikan lain adalah dengan menjalankan amalan kitar semula barangan elektrik dan elektronik untuk setiap negara," katanya.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Februari 2010

Robot wanita diberi banyak peluang berlakon

GAMBAR fail menunjukkan robot EveR-3 (kiri) berlakon bersama seorang pelakon lelaki di Seoul pada 18 Februari tahun lalu.

SEOUL – Robot wanita yang dicipta oleh Institut Industri Teknologi Korea, EveR-3 akan diberikan lebih banyak peranan untuk berlakon teater pada tahun ini, kata seorang saintis, Lee Ho-Gil semalam.

Sebelum ini, robot itu berlakon dalam beberapa buah teater pada tahun lalu termasuk kisah Robot Princess and the Seven Dwarfs sehingga tempat duduk dipenuhi penonton.

Robot yang kelihatan seperti manusia itu setinggi 157 sentimeter dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Korea dan Inggeris.

Ia boleh menunjukkan 16 emosi wajah. Ho-Gil mengetahui bahawa robot wanita yang menjadi aktres itu sukar untuk menunjukkan semua bentuk emosi.

“Kami akan cuba untuk mengatur lebih banyak lakonan pada tahun ini dengan bantuan Teater Kebangsaan dan pemerintah,” katanya.

– AFP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 11 Februari 2010

Kad pintar di lif pangsapuri

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Kad pintar untuk perkhidmatan lif biasanya digunakan di kediaman kondominium atas faktor keselamatan yang lebih ketat dan privasi. Nampaknya ia menjadi cara baru untuk mengatasi masalah penduduk yang liat membayar khidmat penyelenggaraan.

 

SEPERTI kebanyakan rumah pangsapuri di bandar George Town, Pulau Pinang, masalah kutipan wang penyelenggaraan bulanan sering memeningkan kepala pihak pengurusan termasuk di Pangsapuri Taman Bukit Jambul.

Akibat sikap segelintir penghuninya yang liat menjelaskan bayaran, kantung pihak pengurusan rumah pangsa yang terletak dekat Sungai Nibong itu pernah tertunggak sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Mesyuarat demi mesyuarat bersama jawatankuasa penduduk kerap menemui jalan buntu akibat sikap beberapa penghuninya yang kerap memekakkan teling apabila perkara itu dibangkitkan. Malah, berkeping-keping surat amaran yang dilayangkan hanya sekadar memenuhkan peti surat sahaja.

Mana tidaknya, tunggakan berbulan-bulan itu menyebabkan ada penghuni rumah yang berhutang sehingga RM23,000.

Malangnya apabila lif yang rosak dan tidak dibaiki akibat kekeringan dana, penduduk mula menuding jari menyalahkan kegagalan pihak pengurusan pangsapuri tersebut.

Tetapi bagi penghuni yang melunaskan tanggungjawab membayar wang penyelenggaraan bulanan, mereka turut terkena tempiasnya. Lalu jalan penyelesaian dicari sesama mereka dengan duduk semeja bersama pihak pengurusan pangsapuri.

Bagi penghuni rumah pangsapuri, lif adalah kemudahan asas yang cukup penting selain bekalan air dan elektrik. Hasilnya, timbullah idea memperkenalkan penggunaan kad pintar sebagai akses untuk menggunakan kemudahan itu.

Mencontohi konsep serupa di kondominium mewah, kad pintar itu bagi membolehkan penghuni menggunakan kemudahan lif. Tetapi apa yang lebih penting kad tersebut hanya diberikan kepada mereka yang menjelaskan bayaran penyelenggaraan bulanan sahaja.

Dengan menyentuh kad pintar sebaik memasuki ke dalam lif, Sistem Kad Sentuh (SKS) akan beroperasi di mana lif akan berhenti secara terus di aras kediaman masing-masing mengikut alamat yang didaftar kepada pihak pengurusan pangsapuri itu.

Menurut pengerusi penduduknya, N. Baratharajan, kad yang diperkenalkan di rumah bertingkat yang dihuni sejak 23 tahun lalu itu adalah hasil inisiatif badan pengurusan pangsapuri tersebut bagi melancarkan urusan pembayaran penyelenggaraan.

DENGAN kos sekitar RM6,000 untuk memasang papan kekunci sesentuh, paparan elektronik dan kamera rakaman litar tertutup, penggunaan kad pintar mungkin dapat mengatasi masalah penghuni yang enggan membayar caj penyelenggaraan pangsapuri.

"Sebelum ini ada penghuni yang tertunggak bayaran antara RM5,000 hingga RM23,000 sedangkan kos penyelenggaraan semakin meningkat.

"Bayaran penyelenggaraan penting kerana perkhidmatan yang diberi seperti pembersihan, pengindahan landskap dan penyelenggaraan lif adalah untuk penghuni. Jika tidak diselesaikan, ia akan menjadi serius.

"Malah ketika mula-mula diperkenalkan ada juga yang membantah tetapi kami yakin ini sahaja cara terbaik demi memastikan penghuni-penghuni yang degil berubah sikap.

"Tapi belum sebulan beroperasi, hampir 80 peratus masalah melibatkan penyelengaraan dapat diselesaikan malah semua penduduk menyambut baik perkhidmatan yang diketengahkan ini," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.

Buat permulaan, dua daripada lima blok kediaman di situ menggunakan kaedah tersebut sebagai percubaan selama tiga bulan bagi melihat keberkesanannya manakala dua kediaman lagi akan bermula penghujung bulan Februari ini.

Ia melibatkan perbelanjaan kira-kira RM6,000 bagi sebuah lif bagi pemasangan papan kekunci sesentuh selain paparan elektronik serta kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan terus ke pejabat pengawal.

Mengulas lanjut katanya, selain membantu menyelesaikan masalah tersebut, ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya kes jenayah di dalam rumah.

"Kad ini hanya mampu dimiliki oleh pemilik kediaman itu sahaja selain anak-anak, manakala pelawat pula mestilah menghubungi tuan rumah terlebih dahulu untuk mendapatkan kad berkenaan.

"Ia juga meningkatkan lagi kawalan keselamatan di sini dan setiap pengawal akan memantau kawasan tersebut dengan menyiasat sesiapa yang menggunakan kemudahan itu pada setiap hari," jelasnya.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 8 Februari 2010

Iran lancar roket baru ke angkasa

GAMBAR stesen televisyen Press TV menunjukkan roket penyelidikan Kavoshgar 3 dilancarkan di sebuah lokasi yang dirahsiakan di Iran

TEHERAN - Pemerintah Iran semalam mengumumkan kejayaan mereka melancarkan sebuah roket penyelidikan sepanjang tiga meter, Kavoshgar 3 ke angkasa lepas.

Roket tersebut membawa bersama seekor tikus, dua ekor penyu dan haiwan yang kelihatan seperti cacing. Presiden Mahmoud Ahmadinejad menganggap pelancaran itu membuktikan kemampuan Iran dalam persaingan teknologi dengan Barat.

Menteri Pertahanan, Jeneral Ahmad Vahidi mengumumkan kejayaan itu yang merupakan sebahagian daripada impian besar program angkasa lepas Iran selepas berjaya menghantar satelit telekomunikasi buatan tempatan pertama ke orbit tahun lalu.

Program tersebut membimbangkan kuasa-kuasa Barat yang khuatir teknologi sama akan digunakan untuk membawa peluru ke beberapa buah negara tertentu.

Stesen milik negara menyiarkan beberapa imej yang menunjukkan anggota-anggota pihak berkuasa Iran memasukkan tikus, penyu dan haiwan seperti cacing ke dalam satu kapsul untuk diletakkan ke dalam sebuah roket sebelum ia dilancarkan ke angkasa lepas. - AP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 4 Februari 2010

Sarung tangan futuristik

SARUNG tangan futuristik menggantikan papan kekunci semasa bermain permainan video.

SYARIKAT Iron Will Innovations mencipta sarung tangan futuristik untuk memudahkan pemain fanatik permainan komputer mengendalikan permainan hanya dengan menggunakan jari-jemari mereka.

Produk inovasi yang berwarna hitam dan perak tersebut dicipta untuk menggantikan papan kekunci komputer yang kadangkala menyulitkan penggemar permainan komputer.

Sarung tangan futuristik yang dipanggil Peregrine itu dilengkapi dengan lima pengimbas pada setiap jari untuk menggantikan sentuhan pada papan kekunci.

Ia beroperasi menggunakan adapter magnetik yang dimasukkan ke dalam Universal Serial Bus (USB) komputer.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 3 Februari 2010

Lampu darah

LAMPU ini akan menyala apabila mengesan kehadiran darah.

BAGAIMANA jika, setiap kali anda ingin menyalakan lampu, anda perlu mengeluarkan darah? Adakah anda berfikir dua kali sebelum menerangi bilik tersebut?

Itulah idea di sebalik lampu darah ciptaan Mike Thomspon, seorang pereka berbangsa Inggeris yang berpusat di Belanda.

Lampu darah rekaannya mengandungi luminol bahan kimia yang digunakan dalam makmal forensik untuk mengesan tompokan darah di tempat jenayah berlaku. Luminol tersebut akan menunjukkan reaksi dengan zat besi dalam sel darah merah dan mencipta cahaya biru terang.

Untuk menggunakan lampu darah tersebut, anda terlebih dahulu perlu mengaktifkan campuran bedak.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 3 Februari 2010

Nenek moyang spesies burung

XU XIANG melihat fosil dinosaur yang ditemui pasukannya di wilayah Xinjiang.

PENGKAJI China berjaya menemui fosil dinosaur karnivor berkaki dua, Haplocheirus Sollers yang hidup 160 juta tahun lalu. Ia dipercayai adalah daripada susur galur pertama haiwan kumpulan burung.

Haplocheirus Sollers tersebut mempunyai rangka seakan-akan seekor burung memiliki tengkorak panjang serta sempit, bisep kuat dan gigi kecil yang banyak membolehkan ia memburu mamalia kecil serta reptilia dengan berkesan.

Fosil yang ditemui di wilayah Xinjiang itu turut memiliki ekor panjang dan tubuhnya adalah sepanjang antara 190 dan 230 sentimeter (sm).

"Ia mempunyai ciri yang unik tetapi terdapat beberapa ciri menyamai seperti seekor burung.

Haplocheirus Sollers akan menggerakkan tangannya dari sisi sebagaimana burung melipat sayap mereka.

"Kepala, tulang belakang, kaki belakang dan tangan juga seperti burung," kata penyelidik di Institut Paleontologi Vertebrat dan Paleonanthropologi, Akademi Sains China, Profesor Xu Xing.

Bagaimanapun Xing berkata, sementara spesies itu mempunyai beberapa ciri bersamaan dengan burung ia juga mempunyai ciri dinosaur karnivor. Ciri yang paling ketara daripada kumpulan itu adalah bahagian depan anggota badannya. Ia adalah pemangsa dan mempunyai tiga kuku pada tangannya.

"Bahagian depan anggota badannya sangat aneh kerana ia pendek tetapi sangat kuat. Cicak primitif, haiwan mamalia kecil dan seperti reptilia berkemungkinan menjadi makanan kepada Haplocheirus Sollers.

"Mereka mewakili permulaan dalam evolusi burung, tetapi mereka bukanlah burung. Anda boleh mengatakan mereka adalah nenek moyang burung awal. Ia secara perlahan-lahan berubah menjadi burung," katanya lagi.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 3 Februari 2010

Rumah sains alam maya

Anda berminat bidang sains tetapi masih tercari-cari laman web yang menarik? Layarilah www.newscientist.com.

DAPATKAN berita-berita menarik mengenai dunia sains, teknologi dan gajet menerusi laman web NewScientist.

INGIN melihat bagaimana evolusi spesies haiwan cimpanzi dan lengkap bersama foto-foto menarik? Jika anda bukan pencinta haiwan tetapi meminati pelbagai jenis gajet dan teknologi baru seperti perkembangan dunia telefon bimbit, teknologi laser atau aeroangkasa, laman web www.newscientist.com menyediakan pelbagai maklumat sains menarik untuk dikongsi bersama.

Pada muka utamanya dibahagikan beberapa kolum utama seperti angkasa lepas, teknologi, persekitaran, kesihatan, gaya hidup, fizik, matematik dan sains.

Turut dipaparkan pada muka utama berita-berita terbaru dunia sains daripada isu berkaitan teknologi, penemuan baru sehinggalah masalah kesihatan.

Jika anda merasakan tajuk-tajuk bahan bacaan yang diberikan terlalu banyak, anda boleh mencuba kolum tajuk-tajuk bacaan yang paling banyak dilayari. Ia akan memudah dan menjimatkan masa anda kerana kebiasaannya tajuk-tajuk bacaan paling popular adalah bahan yang paling menarik.

Tidak ketinggalan www.newscientist.com memaparkan sudut video di mana pembaca yang ingin melihat rakaman video boleh menekan butang main. Antara topik terbaru yang dipaparkan ialah teknologi berkaitan robotik.

Dengan melayari laman itu segala yang ingin anda ketahui mengenai sains boleh didapati hanya dengan klik di hujung jari.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 2 Februari 2010

Pengunjung pub tengok bola sepak 3-D

SEJUMLAH pengunjung pub menyaksikan perlawanan bola sepak antara Arsenal dengan Manchester United dengan menggunakan cermin mata tiga dimensi di sebuah pub di London

MANCHESTER - Sejarah televisyen tercipta kelmarin apabila penonton-penonton menyaksikan perlawanan bola sepak pertama disiarkan dalam bentuk tiga dimensi (3-D) di sembilan buah pub di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Stesen penyiaran Sky Sports menyiarkan perlawanan antara kelab bola sepak Manchester United dengan Arsenal yang ditonton oleh pengunjung sembilan pub tersebut dengan menggunakan cermin mata 3-D.

"Saya telah menyaksikan kelab Arsenal bermain selama 60 tahun dan ini (menonton dengan menggunakan cermin mata 3-D) ini lebih baik.

"Pada kebiasaannya, saya tidak pergi ke pub untuk menyaksikan siaran bola sepak tetapi saya menimbangkannya untuk melakukannya jika ia disiarkan dalam bentuk 3-D," katanya yang berumur 71 tahun.

Seorang wanita, Laura Prylls dari London berkata: "Saya memakai cermin mata 3-D dan ia tidaklah terasa seperti tidak begitu selesa."

Stesen penyiaran itu telah memajukan sistem 3-D selama dua tahun.

Pada April ini stesen itu akan menyiarkan sepenuhnya perlawanan bola sepak dalam bentuk 3-D. - Agensi

MANCHESTER - Sejarah televisyen tercipta kelmarin apabila penonton-penonton menyaksikan perlawanan bola sepak pertama disiarkan dalam bentuk tiga dimensi (3-D) di sembilan buah pub di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Stesen penyiaran Sky Sports menyiarkan perlawanan antara kelab bola sepak Manchester United dengan Arsenal yang ditonton oleh pengunjung sembilan pub tersebut dengan menggunakan cermin mata 3-D.

"Saya telah menyaksikan kelab Arsenal bermain selama 60 tahun dan ini (menonton dengan menggunakan cermin mata 3-D) ini lebih baik.

"Pada kebiasaannya, saya tidak pergi ke pub untuk menyaksikan siaran bola sepak tetapi saya menimbangkannya untuk melakukannya jika ia disiarkan dalam bentuk 3-D," katanya yang berumur 71 tahun.

Seorang wanita, Laura Prylls dari London berkata: "Saya memakai cermin mata 3-D dan ia tidaklah terasa seperti tidak begitu selesa."

Stesen penyiaran itu telah memajukan sistem 3-D selama dua tahun.

Pada April ini stesen itu akan menyiarkan sepenuhnya perlawanan bola sepak dalam bentuk 3-D. - Agensi

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 2 Februari 2010

Komputer Apple iPad tiru P88 keluaran China?

SEORANG lelaki menguji iPad keluaran syarikat Apple di San Francisco

SHANGHAI - Komputer iPad yang dilancarkan syarikat Apple di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu lalu didapati mirip peralatan skrin sentuh yang dikenali dengan nama P88 di China yang telah dijual sejak enam bulan lalu.

Syarikat Shenzhen Great Loong Brother Industrial Co. yang mengeluarkan P88 itu mendakwa Apple meniru komputer skrin sesentuhnya.

"Kami tidak faham. Kenapakah syarikat itu (Apple) membuat sesuatu yang sama dengan kami," kata seorang eksekutif syarikat tersebut.

Walaupun P88 lebih berat dan tebal berbanding iPad, komputer itu mempunyai skrin lebih besar dan simpanan memori lebih banyak berbanding iPad.

Komputer keluaran China itu dilancarkan pada Ogos lalu dan dipamerkan di pertunjukan elektronik di Berlin pada tahun lalu.

Model iPad termurah dengan sambungan Wi-Fi dan memori 16 gigabit akan dijual pada harga AS$499 (RM1,702) di AS dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, syarikat Fujitsu di Jepun mendakwa pihaknya telah menggunakan nama iPad pada alat mudah alih keluarannya pada 2002 di AS.

Menurut syarikat Fujitsu, ia pernah mengeluarkan alat itu yang mempunyai skrin sentuh bagi membolehkan kerani pasar raya menyimpan data di dalamnya. - Agensi

Dicuplik daripada akhbar Kosmo! bertarikh 30 Januari 2010

Khamis, 4 Februari 2010

Apple perkenal komputer iPad

SEORANG pengguna menekan skrin komputer iPad pada majlis pelancarannya di San Francisco, Amerika Syarikat.

SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Steve Jobs memperkenalkan sebuah komputer dikenali sebagai iPad yang kelihatan seperti telefon bimbit iPhone tetapi mempunyai skrin sesentuh kelmarin.

"Kami mahu memulakan tahun 2010 dengan memperkenalkan produk yang benar-benar menakjubkan serta mencetuskan revolusi," kata Jobs.

Komputer iPad yang sekian lama dinanti oleh peminat-peminat gajet syarikat itu memiliki skrin warna bersaiz 24.6 sentimeter.

Tebal iPad ialah 1.3 sentimeter dan beratnya cuma 0.7 kilogram serta mempunyai memori 32 gigabit dan 64 gigabit.

Model iPad termurah dengan sambungan Wi-Fi dan memori 16 gigabit akan dijual pada harga AS$499 (RM1,702) di AS manakala model paling mahal yang memiliki sambungan 3G dan memori 64 gigabit berharga AS$829 (RM2,828).

JOBS menunjukkan komputer iPad pada majlis pelancarannya di San Francisco.

"Komputer itu hebat dan berbaloi," kata seorang penganalisis komputer, Van Baker.

"Ia merupakan alternatif kepada komputer riba dan saya boleh memuat turun 140,000 aplikasi dari kedai Internet Apple Store," tambahnya.

Komputer iPad mempunyai banyak fungsi termasuk Internet, melihat e-mel, bermain permainan video, mendengar muzik atau menonton video.

Versi WiFi akan berada dalam pasaran pada Mac ini diikuti dengan versi 3 gigabit April depan. - AFP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 29 Januari 2010

Robot bantu beli-belah

MUNGKINKAH robot ini bakal menjadi kesayangan para suri rumah?

SEBUAH robot yang dinamakan Robovie-II telah berlegar-legar di sekitar sebuah kedai runcit di Kyoto, Jepun baru-baru ini.  Ia adalah sebahagian daripada eksperimen bantuan beli-belah yang diadakan di kedai runcit itu. Robot tersebut dibangunkan oleh institut penyelidikan robotik Jepun, ATR.  Bukan sahaja robot itu boleh membantu membeli-belah, bahkan ia juga boleh menyapa pengunjung ketika pengunjung memasuki laluan masuk ke kedai runcit.

Robot itu juga boleh mengikut pengunjung sehingga ke rak-rak barangan sambil membawa bakul beli-belah. Ia juga boleh mengingatkan pengguna tentang barangan yang hendak dibeli berasaskan senarai barangan.

Eksperimen itu adalah sebagai usaha pengumpulan data bagi menyediakan perkhidmatan runcit yang lebih baik kepada golongan kurang upaya dan warga emas.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Telefon kunci kereta

MENGUNCI kereta menggunakan telefon adalah teori yang sudah lama disebut-sebut.

SATU antara muka telefon pintar telah diperkenalkan baru-baru ini. Dinamakan Viper SmartStart ia direka khusus bagi telefon iPhone dan BlackBerry.

Viper SmartStart boleh mengunci dan membuka kenderaan, menghidupkan kenderaan dari jauh dan menerima maklumat waspada sekuriti. Ia telah diperkenalkan dalam Pertunjukan Elektronik Konsumer (CES) 2010 di Nevada, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Bahaya plastik disahkan

MANUSIA perlu mengehadkan pergantungan kepada sumber plastik untuk kepentingan jangka masa panjang.

BAHAN kimia yang terkandung dalam bekas plastik dikaitkan dengan penyakit jantung, demikian saintis melaporkan baru-baru ini. Ia sekali gus mengesahkan penemuan terdahulu dan meningkatkan tekanan kempen agar bekas plastik diharamkan daripada digunakan sebagai botol dan bungkusan makanan.

Pengkaji-pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) dan Britain telah mengkaji kesan kimia bisphenol A berasaskan satu tinjauan nutrisi kebangsaan pada tahun 2006. Mereka mendapati bahawa paras bisphenol A yang tinggi pada sampel-sampel urin dikaitkan dengan penyakit jantung.

Bisphenol A dikenali sebagai BPA digunakan secara meluas pada plastik dan perhatian saintis di banyak negara seperti Britain, Kanada dan AS semakin meningkat berhubung isu ini.

David Melzer, profesor epidemiologi dan kesihatan awam di Peninsula Medical School di Exeter, Britain yang mengetuai kajian tersebut berkata, ia mengesahkan penemuan terdahulu tentang hubungan antara BPA dan masalah jantung.

Analisis itu juga mengesahkan bahawa BPA memainkan peranan dalam penyakit diabetes dan beberapa bentuk penyakit hati, kata kumpulan Melzer. Mereka mengkaji data melibatkan 1,493 orang yang berusia 18 hingga 74 tahun.

"Analisis terbaru kami sangat mengesahkan analisis pertama," katanya dalam satu kenyataan.

BPA yang digunakan untuk mengeraskan botol plastik berasal daripada satu kelas kompaun yang kadangkala dinamakan pengganggu endokrin.

Jun lalu, Persatuan Endokrin AS menggesa agar kajian yang lebih terperinci dilakukan tentang BPA. Mereka membentangkan kajian yang menunjukkan bahan kimia itu boleh memberi kesan kepada jantung wanita dan merosakkan DNA tikus secara tetap.

"Risiko yang mengaitkannya dengan pendedahan BPA mungkin kecil, tetap ia relevan bagi sejumlah besar manusia. Informasi ini amat penting," kata Tamara Galloway yang terlibat dalam kajian itu.

Hasil penyelidikan itu disiarkan dalam jurnal sains dalam talian Public Library of Science, PLoS One.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Rabu, 3 Februari 2010

Nexus One pelengkap Android

Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN

Teknologi telefon pintar kini semakin cekap untuk menjadi teman setia penggunanya.

DARI segi reka bentuk, Nexus One mirip kepada HTC Bravo yang dipasarkan di Eropah.

GOOGLE menunaikan janji mereka apabila mula memasarkan telefon pintar, Nexus One yang menggunakan platform Android iaitu sistem operasi sumber terbuka milik Google yang mula diperkenalkan pada 2008.

Telefon yang dibangunkan dengan kerjasama HTC ini dipasarkan sendiri oleh Google.

Dari segi reka bentuknya, Nexus One mirip kepada HTC Bravo yang dipasarkan di Eropah.

HTC terkenal kerana kejayaan mereka menghasilkan telefon pintar ala PDA yang lazimnya didatangkan dengan papan kekunci fizikal dan skrin besar.

Kebanyakan telefon keluaran mereka juga direka untuk mendokong sistem operasi Windows Mobile keluaran Microsoft.

Oleh itu, pasaran mereka disasarkan kepada golongan profesional dan peminat gajet.

Namun, sejak akhir-akhir ini, HTC telah mula ‘berjinak-jinak’ dengan Android bagi mengukuhkan pasaran mereka sekali gus memberi alternatif kepada para peminat telefon mereka.

Ini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Android di dalam industri ini, menjadikan pelancaran Nexus One tepat pada masanya.

Dari sudut binaannya, telefon milik gergasi enjin carian ini boleh dikatakan hampir sama dengan kebanyakan telefon pintar hari ini.

Dengan berat hanya 130 gram, ia cukup ringan untuk dimuatkan ke dalam poket seluar mahupun kemeja.

DENGAN papan kekunci dan skrin besar serta kamera digital 5 megapiksel, Nexus One ternyata memberi kepuasan.

Saiz skrin telefon kini menjadi salah satu kayu pengukur yang menentukan kedudukan telefon tersebut di pasaran.

Google mengambil kira faktor ini lantas membekalkan Nexus One dengan skrin berukuran 3.7 inci, lebih besar sedikit daripada iPhone.

Skrin lebar jenis WVGA AMLED ini pastinya dapat memberikan kepuasan kepada pengguna khususnya mereka yang sukar membaca tulisan yang kecil pada telefon bimbit.

Dengan kamera 5 megapiksel, ia ibarat berita gembira buat peminat fotografi. Sungguhpun kamera kompak digital sekarang telah mencecah sehingga 10 megapiksel, namun kamera binaan dalam yang lazimnya didatangkan bersamanya masih mempunyai elemen gambar sekitar 3 hingga 4 megapiksel.

Seperkara yang menarik tentang ciri kamera telefon ini ialah pengguna boleh melabelkan lokasi setiap gambar yang diambil menggunakan teknologi AGPS.

Selain itu, ia juga mampu merakamkan video pada 720 x 480 piksel pada 20 bingkai sesaat.

Dari sudut penggunaan kuasa, tidak keterlaluan jika dikatakan telefon ini mempunyai pengurusan kuasa yang baik bagi kategori telefon pintar.

Umum mengetahui penggunaan telefon pintar sering menyebabkan bekalan kuasa bateri agak singkat berbanding telefon bimbit biasa yang hanya mempunyai fungsi asas.

Berbekalkan kuasa yang dipadukan pada bateri 1400 mAH, ia mampu memberikan sehingga tujuh jam masa bercakap dan sehingga 250 jam masa bersedia dengan rangkaian 3G.

Nexus One dibekalkan dengan RAM 512 megabait dan kad storan micro SD 4GB.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Pakaian terpakai di Internet

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Kebiasaannya kita mendengar orang menjual barangan terpakai di kedai-kedai, bazar atau pasar malam, agaknya apa perbezaan apabila pakaian terpakai dijual menerusi Internet?

IRYANTI bersama sebahagian daripada produk barangan terpakai yang dijual di blog precious--junk.

GAYA fesyen tidak semestinya lahir melalui sesuatu yang baru tetapi pakaian terpakai juga boleh menjadi trend terkini dan menyegarkan pandangan.

Menyedari potensi pakaian terpakai dalam pasaran negara ini khususnya golongan muda, seorang pereka dalaman nekad membuka blog http://precious--junk.blogspot.com/ untuk memenuhi permintaan tersebut.

Pengendali blog precious--junk, Iryanti Abdul Rahman, 24, berkata, penerimaan gaya pakaian terpakai lebih terarah kepada golongan muda kerana ia lebih murah dan mampu dimiliki.

"Sentuhan kreativiti tersendiri oleh golongan muda ini dalam menggayakan pakaian terpakai membuatkan ia tampak segar dan moden.

"Bahkan pakaian terpakai juga mempunyai pengikut tersendiri yang inginkan sesuatu yang berlainan berbanding pakaian sedia ada di pasaran," katanya.

Iryanti menambah, idea untuk menjual pakaian terpakai itu diilhamkan kira-kira setahun yang lalu apabila beliau dan kakaknya mengemas bilik. Mereka mendapati terdapat banyak pakaian yang tidak dipakai ketika itu.

"Disebabkan saya mempunyai cita-cita untuk membuka butik sendiri pada satu hari nanti, saya terfikir lebih baik saya menjual pakaian yang tidak dipakai tersebut di Internet.

Jaminan kualiti

"Ia boleh dijadikan sebagai batu loncatan sebelum menceburi bidang fesyen dengan lebih serius malah saya juga boleh mendapat sumber pendapatan sampingan," ujarnya.

Beliau menambah, produk terpakai dalam blognya hanya dijual pada harga RM5 hingga RM25 sahaja dan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Katanya, beliau akan memastikan kualiti dan corak pakaian yang akan dijual untuk kepuasan pelanggannya.

LAYARI blog precious--junk untuk mendapatkan pakaian dan item fesyen terpakai pada harga berpatutan.

"Saya tidak akan menjual pakaian lusuh dan tidak boleh dipakai kerana kepuasan pelanggan amat diutamakan malah terdapat juga pakaian berjenama seperti Guess, Seed, East India, Padini dan lain-lain dalam koleksi.

"Bagaimanapun, barangan ini terhad dan saya mengamalkan konsep siapa cepat dia dapat untuk tidak mengecewakan pelanggan," ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Produk dalam blog precious--junk tidak hanya terhad menjual pakaian terpakai bahkan pengguna juga mendapatkan tas tangan dan kasut untuk dipadankan dengan pakaian.

Dari manakah barangan terpakai itu diperoleh? Iryanti hanya tersenyum dan menjawab ringkas, golongan wanita suka membeli-belah.

"Golongan wanita yang suka membeli-belah kadangkala terlupa terdapat pakaian, beg atau kasut baru dalam almari mereka dan hanya menyedarinya ketika mereka mengemas bilik.

"Kebanyakan barangan terpakai dalam blog merupakan milik saya dan kakak. Ada juga yang diberikan oleh saudara- mara dalam usaha membantu memajukan lagi jualan saya.

"Saya juga ada membeli barangan daripada orang ramai yang hendak menjual barangan mereka tetapi perlu dalam keadaan baik dan berkualiti," katanya.

Tambah beliau, konsep membeli barangan daripada orang ramai dilakukan bertujuan untuk menjadikan blog berkenaan sebagai platform kepada mereka untuk mahu menjual barangan terpakai yang merimaskan di dalam almari.

Katanya, ia adalah satu langkah menang-menang bagi kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Iryanti menambah, pelanggan-pelanggan yang berminat untuk mendapatkan barangan terpakainya boleh membuat tempahan melalui Internet.

"Bagi mereka yang menetap di Petaling Jaya saya akan menghantar barangan sendiri tetapi dalam urusan wang tunai sahaja untuk memudahkan kedua-dua belah pihak berurusan," katanya.

Sementara itu, pelanggan-pelanggan juga boleh mengunjungi beberapa bazar iaitu bazar bijou, bazar threadzoo di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan barangan terpakai Iryanti.

Pelanggan-pelanggan boleh melayari blog Iryanti untuk mengetahui lokasi perniagaannya di bazar-bazar terpilih.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Definisi SL90 LG

LG Electronic turut memperkenalkan tujuh lagi televisyen LCD LED pada tahun ini.

KEHADIRANNYA dalam kediaman menjadikan segalanya kelihatan bergaya.

PENGALAMAN baru dunia televisyen berskrin cecair kristal yang menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (TV LCD LED) boleh dirasai pada paparan TV LCD LED Digital SL90.

Model SL90 keluaran LG Electronic menampilkan reka bentuk moden dengan menggunakan teknik Injection Compression Molding (ICM) merupakan salah satu televisyen ternipis di dunia.

Teknik ICM itu menghasilkan permukaan berupa kaca, hampir-hampir menyingkirkan ruang antara skrin dan permukaan tepi sekali gus amat sesuai dengan gaya hidup moden rakyat Malaysia.

Televisyen moden nipis ini juga dilengkapi dengan lampu sorot LED untuk menghasilkan nisbah kontras dinamik tinggi sebanyak 3,000,000:1 bagi kualiti gambar yang sempurna dan meningkatkan piksel warna halus.

Ia adalah untuk memastikan pengguna yang menonton televisyen tersebut seolah-olah mengalami pengalaman sebenar ketika menyaksikan rancangan serta filem kegemaran mereka.

PANDANGAN sisi yang mempesonakan

Selain itu, skrin antisilau 1080 berdefinisi tinggi penuh yang terdapat pada televisyen ini mampu mengurangkan bayangan kerana ia diterap dengan teknologi TruMotion 100Hz untuk menawarkan kejelasan mengagumkan.

Bagi penggemar muzik dan ingin melihat gambar dari telefon bimbit melalui skrin lebih besar kemudahan canggih Bluetooth juga disediakan untuk mereka. Sistem audio SL90 membantu keterujaan tontonan kerana dilengkapi speaker 'halimunan' khas berkualiti tinggi.

Tidak perlu lagi bimbang tentang aspek tenaga. Model ini lebih mesra alam dengan menggunakan teknologi penjimatan tambahan tenaga pintar (Smart Energy Saving) yang mampu menjimatkan sehingga 70 peratus penggunaan tenaga.

Pengurus Besar Jualan LG Electronic, Chee Khay Huat berkata, beliau yakin dengan prospek pasaran TV LCD LED di Malaysia pada 2010 lantaran trend itu sejajar dengan peningkatan gaya hidup moden di kalangan rakyat negara ini.

BIARPUN nipis, SL90 dilengkapi pembesar suara tersembunyi dengan kualiti audio memuaskan

"Kita juga mengambil kira peningkatan permintaan bagi kediaman apartmen dan kondominium, sudah tentu pemilik kediaman ini mahukan transformasi bagi hiburan rumah. LG Electronic kini menguasai 22 peratus TV LCD dan menyumbang 10 peratus kepada jualan hiburan di rumah," katanya.

Beliau juga menambah, LG Electronic akan memperkenalkan tujuh lagi TV LCD LED pada tahun ini bagi memastikan setiap isi rumah di Malaysia berpeluang menggunakannya. Katanya, dua lagi TV terbaru itu akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini termasuk TV bersaiz 72 inci.

"Kepelbagaian siri bagi TV LCD LED ini adalah strategi pemasaran LG Electronic untuk memastikan produk kami mampu dibeli oleh semua golongan termasuk pelanggan yang berpendapatan rendah," ujar beliau.

Pengenalan produk itu dijangka membantu LG Electronic mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak RM800 juta pada tahun ini berbanding RM600 juta pada 2009.

Selain itu, tambah Chee, ia juga bakal memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama utama hiburan di rumah di kalangan pengguna Malaysia. Ia sekali gus membolehkan LG Electronic melonjakkan kedudukannya di tempat kedua utama dalam menguasai pasaran tersebut.

Model TV LCD LED Digital SL90 ditawarkan pada dua saiz iaitu 42 dan 47 inci, masing-masing pada harga RM7,499 dan RM10,999.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk terbaru ini pengguna boleh melayari laman sesawang http://www.lge.com.my, http://www.lgblog.com.my atau www.lgborderless.com - NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Ovi Plus untuk Nokia E72

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Cekap merangkaikan aplikasi komunikasi pesanan segera dan aplikasi pejabat, model ini menjanjikan prestasi profesional.

RANGKAIAN model Nokia semakin cekap merangkaikan perkhidmatan komunikasi pesanan segera.

MENAWAN, ringan dan penuh dengan maklumat. Begitulah gambaran model terbaru telefon bimbit pintar Nokia E72 yang memiliki reka bentuk hampir sama dengan E71.

Bagaimanapun, model yang disasarkan kepada pengguna produktif ini telah mengalami fasa pembaharuan. Selari dengan keperluan pengguna yang mahukan keseimbangan aplikasi pejabat dan hiburan harian, E72 menunjukkan aspek perkakasan dan perisian yang dinaik taraf.

MODEL E72 didatangkan dengan kamera fokus auto 5.0 megapiksel.

Ciri utama E72 ialah sokongannya ke atas Ovi Plus yang merangkaikan perkhidmatan komunikasi pesanan segera seperti Yahoo!, MSN dan Google Talk dengan satu kaedah daftar masuk (login). Selain itu, ia dilengkapi senarai hubungan penuh, penyeragaman status, emotikon, permulaan pantas dan perbualan boleh disimpan.

Capaian e-mel menggunakan Nokia E72 juga dibuat begitu mudah bagi membolehkan pengguna memasuki laman servis pihak ketiga seperti Yahoo!, Gmail dan seumpamanya.

Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan aplikasi Microsoft Office serta masih mengekalkan Microsoft Exchange yang hanya memerlukan satu sentuhan untuk mengakses e-mel, baik bagi kegunaan peribadi mahupun tujuan profesional.

Selain e-mel, pengguna juga boleh memeriksa kalendar, kontak kenalan atau memuat turun lampiran dokumen seperti Word, Powerpoint, Excel mahupun fail-fail PDF ke dalam gajet mereka.

Bagi memudahkan pengguna menggunakan pelbagai aplikasi Internet, gajet ini turut mempunyai pad kekunci QWERTY dan kekunci navigasi peka sentuhan.

Nokia E72 juga didatangkan dengan sebuah kamera fokus auto 5.0 megapiksel serta disokong memori microSD yang kapasitinya boleh mencecah sehingga 16 gigabait (GB).

Kerangkanya masih berasaskan keluli tahan karat yang menawan untuk menjadikannya mantap ketika dipegang dan boleh diperoleh dalam warna hitam zodium, kelabu metal atau perang topaz. Kemasan berwarna metalik pula dipadankan dengan antara muka pengguna yang ringkas.

Banyak lagi kemudahan yang terdapat pada Nokia E72 antaranya ialah aplikasi pemetaan Sistem Kedudukan Global Berpembantu (A-GPS), peta mini Nokia, kompas digital dan lain-lain lagi.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 20 Januari 2010

Saintis cipta robot amah

MAHRU-Z (kanan) mengambil sandwic dalam satu demonstrasi di Seoul pada Jumaat lalu.

SEOUL - Sekumpulan saintis Korea Selatan telah mencipta robot yang boleh berjalan, membersihkan rumah, memasukkan pakaian ke dalam mesin pembasuh dan memanaskan makanan di dalam ketuhar gelombang mikro.

Menurut media semalam, robot 'amah' yang diberi nama Mahru-Z itu mempunyai kepala, tangan, kaki dan enam jari serta penglihatan tiga dimensi (3-D).

"Keupayaan terbaik Mahru-Z ialah kemampuan penglihatannya untuk memerhati objek, mengetahui tugas yang perlu dilakukan," kata Ketua Kognitif Pusat Robot di Institut Sains dan Teknologi Korea, You Bum-Jae.

"Robot itu boleh mengenali orang ramai, boleh membuka ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, menggunakan pembakar roti, mengambil sandwic, cawan dan mengambil pelbagai benda yang dilihatnya sebagai objek," tambahnya.

Saintis-saintis di institut itu mengambil masa selama dua tahun untuk mencipta Mahru-Z yang setinggi 1.3 meter dan berat 55 kilogram. - AFP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 19 Januari 2010

Kalsium air kecil angkasawan punca rosak

GAMBAR fail menunjukkan tiga angkasawan minum minuman air yang dikitar semula di Stesen Angkasa Lepas Kebangsaan pada Mei tahun lalu.

CAPE CANAVERA, Florida - Jurutera-jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan sistem kitar semula air kencing menjadi air minuman berharga AS$250 juta (RM836.8 juta) di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) tersumbat disebabkan oleh galian kalsium dalam air kecil angkasawan yang menjadi keladak.

Setakat ini, saintis-saintis NASA tidak pasti sama ada pengumpulan kalsium itu berpunca daripada kehilangan jisim tulang akibat kesan persekitaran graviti sifar atau disebabkan oleh beberapa faktor lain.

"Kami mengetahui mengenai kandungan air kencing yang masuk ke dalam mesin tersebut tetapi perubahan kimia yang berlaku apabila bahan itu diproses tidak selalunya boleh difahami," kata saintis program ISS, Julie Robinson.

Kumpulan jurutera di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall di Huntsville, Alabama, Amerika Syarikat (AS), berharap beberapa alat ganti bagi membaiki kerosakan tersebut akan dihantar dengan menggunakan kapal angkasa Endeavour yang dijadual berlepas ke angkasa lepas pada 7 Februari depan. - Reuters

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 14 Januari 2010

Kamera digital dengan WiFi

Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN

Keupayaan wayarles pula membolehkan kamera Samsung CL80 disambungkan terus ke mana-mana rangkaian WiFi atau hotspot tanpa memerlukan kehadiran komputer.

MODEL terbaru keluaran Samsung, CL80 bakal menarik perhatian penggemar fotografi.

KAMERA digital mendapat sambutan yang begitu hangat dalam kalangan pengguna seluruh dunia. Ini kerana keupayaannya untuk menyimpan gambar yang diambil terus ke dalam storan kamera tanpa memerlukan filem.

Apa yang lebih menjadi tarikan ialah keupayaannya untuk memindahkan gambar dalam format digital terus ke komputer tanpa perlu mengimbasnya terlebih dahulu - sesuatu yang perlu dilakukan apabila menggunakan kamera biasa.

Pemindahan foto digital ke komputer lazimnya memerlukan sambungan USB dari kamera. Namun, kecanggihan teknologi hari ini membolehkan kita melakukan pemindahan tersebut tanpa memerlukan kabel. Sungguhpun teknologi ini telah wujud sejak beberapa tahun lalu, tetapi ciri-ciri itu hanya terdapat pada kamera DSLR profesional yang berharga sehingga puluhan ribu ringgit.

Samsung memberikan peluang kepada pengguna biasa untuk merasai teknologi ini menerusi model terbaru keluaran mereka, Samsung CL80. Kamera itu dijangka akan menembusi pasaran gajet peringkat pertengahan dan ke atas. Dilengkapi dengan sensor 14 megapiksel, kamera itu mampu merakam imej yang jelas dan terperinci sekali gus membolehkan gambar yang diambil dicetak sebesar poster.

Dilengkapkan dengan tujuh kali pembesaran optikal dan lensa sudut lebar 31-217mm, CL80 membolehkan pengguna mengambil gambar pada jarak yang dekat. Ciri penstabilan imej pula memberikan fleksibiliti ketika mengambil gambar, khususnya kepada mereka yang mempunyai masalah tangan yang bergetar.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan skrin sesentuh AMOLED bersaiz 3.7 inci, ukuran yang agak besar untuk sebuah kamera yang agak kecil. Ciri-ciri lain seperti keupayaan merakamkan video berdefinisi tinggi (HD) sehingga resolusi 720p dan output HDMI untuk ditonton dalam resolusi penuh pada TV berdefinisi tinggi (HDTV). Samsung CL80 menggunakan MicroSD sebagai medium storan bagi menyimpan semua gambar dan video yang dirakamkan.

Kamera ini masih didatangkan dengan sambungan USB 2.0 seperti yang terdapat pada kebanyakan kamera digital lain.

Keupayaan wayarles pula membolehkan kamera itu disambungkan terus ke mana-mana rangkaian WiFi atau hotspot tanpa memerlukan kehadiran komputer.

KAMERA ini dilengkapi dengan tujuh kali pembesaran optikal dan lensa sudut lebar.

Ciri muat naik segera yang unik membolehkan pengguna berkongsi terus gambar yang diambil menerusi laman perkongsian gambar seperti Flickr dan Picasa serta laman jaringan sosial seperti Facebook tanpa perlu disimpan terlebih dahulu ke dalam komputer.

Bagi yang gemar berkongsi klip video yang dirakamkan, Samsung CL80 membolehkan video memuat naik terus ke laman YouTube secara terus.

Album Pintar pada kamera ini pula memudahkan penggunanya melihat simpanan gambar dengan pantas dan menyusun atur gambar mengikut kehendak pengguna termasuk berdasarkan padanan wajah, warna, kandungan dan kesukaan.

Kamera itu dipertontonkan di Pameran Pengguna Elektronik (CES) di Amerika Syarikat pada bulan ini sebelum memasuki pasaran dunia elektronik.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 13 Januari 2010

Pelihara ekosistem tumbuhan

Oleh JULIA ISMAIL

BUNGA yang digunakan mesti berbau harum dan berwarna putih serta terdiri daripada tujuh jenis bunga berbeza.

JIKA disebut mengenai biodiversiti, sudah pasti ia merupakan bidang ilmu yang meliputi kepelbagaian spesies hidupan termasuk daripada ekosistem darat, akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks.

Biodiversiti amat penting kerana ia menunjukkan setiap spesies mempunyai nilai tersendiri dan hak untuk hidup di muka bumi tanpa mengira kira haiwan, tumbuhan dan manusia.

Untuk itu, Unit Biodiversiti Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah ditubuhkan bagi memastikan ekosistem terutama spesies tumbuhan lebih terpelihara.

Unit itu yang dilengkapi dengan peralatan dan sistem canggih menjadi penyokong utama kepada IBS untuk menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam bidang biodiversiti tumbuhan.

Ia menawarkan perkhidmatan penyelidikan dalam bidang sains tumbuhan dengan disokong oleh kemudahan teknologi tinggi yang dimiliki institut tersebut. Selain itu, ia bertanggungjawab menyediakan pangkalan data dan sumber hutan bagi membantu penyelidikan berasaskan tumbuhan.

Unit yang menyediakan kemudahan R&D bertaraf dunia itu juga berperanan menghasilkan produk herba berasaskan penyelidikan, selain menjadikan pusat pemuliharaan 'ex situ' iaitu penanaman pokok di luar kawasan pokok sebenar serta pengembangan untuk penyelidikan, pembelajaran dan pendidikan.

Antara kemudahan yang disediakan ialah Makmal Kultur Tisu untuk kerja-kerja pensterilan dan pengkulturan tisu. Herbarium Etnobotani pula digunakan untuk mengumpul dan mengenalpasti identiti tumbuhan herba untuk dijadikan rujukan. Ladang nurseri berfungsi untuk menyediakan plot tanaman, penjualan tumbuhan herba dan daun mandian herba.

Makmal Kultur Tisu menghasilkan kultur tisu bagi menyediakan anak pokok yang lebih berkualiti, homogenus dan akan bertunas lebih cepat, antara dua minggu hingga satu bulan selepas dikulturkan.

Tanaman daripada keluarga halia (zingiberaceae) merupakan antara sebab kewujudan makmal kultur tisu di IBS. Penyelidikan dijalankan sebanyak enam peringkat sehingga proses akhir ke dalam polibeg.

PROSES pemindahan eksplan kultur tisu.

Pegawai Sains Kanan, Unit Biodiversiti UPM, Julia Abdul Aziz berkata, sebanyak 23 spesies termasuk orkid liar telah dijadikan kultur tisu.

"Kegunaan kultur tisu seperti halia ini boleh dijadikan penambah selera makanan, baik untuk ibu baru bersalin dan mengubati demam," katanya.

Herbarium Etnobotani pula terdiri daripada koleksi spesimen tumbuhan yang mempunyai nilai 'etnobotani'. Istilah etnobotani merujuk kepada hubungan antara tumbuhan dengan masyarakat sama ada dari segi perubatan, binaan bangunan, kepercayaan, makanan, pewarna dan sebagainya.

Taman Konservatori Pertanian, UPM berada di bawah jagaan dan seliaan unit berkenaan. Ia dibina di atas kawasan ladang penanaman getah seluas dua hektar.

Penubuhannya adalah cetusan idea Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah pada awal tahun 2006.

IBS dipertanggungjawab untuk membangunkan taman yang berfungsi sebagai lokasi penyelidikan, pembelajaran, rujukan dan rekreasi alam sekitar.

Terdapat lebih daripada 500 spesies koleksi yang terdapat di dalam Taman Konservatori Pertanian yang merangkumi tumbuhan asli dan eksotik.

Taman tersebut dibahagikan kepada 11 zon mengikut fungsi, kegunaan dan jenis tumbuhan. Antaranya, tumbuhan wangian lebih kurang 50 spesies, herba (100), halia dan kunyit (200), periuk kera (anggaran tiga), orkid liar (900 ), paku pakis (20), ulam-ulaman (70), buah-buahan liar (10), keladi (20), tumbuhan akuatik (15) dan rempah ratus kira-kira 15 spesies.

Pengarah IBS, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff dan Timbalan Pendaftarnya, Anuar Ahmad memberi sokongan pengurusan tidak berbelah bahagi kepada taman terbabit.

Di samping itu, Unit Biodiversiti turut menghasilkan bahan mandian terapi herba dan sabun herba yang digunakan bagi tujuan perubatan serta penjagaan kesihatan.

Mandian terapi herba yang menggunakan beberapa spesies tumbuhan mempunyai khasiat untuk mengembalikan kesegaran badan, menaikkan seri muka dan meredakan penyakit tertentu.

STAF Unit Biodiversiti IBS, UPM bergambar di hadapan gerbang Taman Konservatori.

Beberapa jenis mandian juga boleh diamalkan.

Misalnya mandi herba, mandi bunga, mandi wap, bertangas dan mandi limau.

Produk sabun pula dikenali sebagai Haruman Herba yang boleh didapati dalam pelbagai jenis seperti sabun resdung, jeragat, jerawat, limau, pandan, serai wangi, kenanga, mandian herba, bunga dan mandian limau.

Setiap sabun dipercayai mempunyai khasiat tersendiri seperti menghilangkan bau dan menyegarkan badan.

Selain itu, ia juga dikatakan mampu merawat resdung, memulihkan urat saraf, membuang toksik yang menyebabkan angin badan serta memelihara kesihatan badan.

Dalam pada itu, Koordinator Unit Biodiversiti UPM, Prof. Madya Dr. Faridah Qamaruz Zaman berkata, setiap sabun dibuat berdasarkan warna dan bau mengikut permintaan .

"Pemahaman terhadap tanaman herba dapat dipupuk melalui bau sabun dan lakaran imej pada kotaknya," katanya.

Permintaan tinggi bagi produk-produk herba pada masa sekarang merupakan salah satu faktor penghasilan sabun perlu dipertingkatkan dengan lebih banyak.

Kesedaran tentang penjagaan ekosistem kehidupan terutama tumbuhan adalah penting agar generasi masa akan datang dapat terus bernafas dalam udara yang segar.

Di samping menikmati pemandangan yang nyaman sehijau daun, secantik bunga dan khasiat perubatan seperti herba.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 12 Januari 2010

Teknologi nano bersihkan pakaian

Oleh JULIA ISMAIL

Nano teknologi bukan lagi asing bagi masyarakat dunia termasuklah Malaysia, sementelah ia digunakan dalam pelbagai produk komersial.

Bagi yang tidak mengetahui apa itu Nanoteknologi , ia sebenarnya merupakan pembangunan atau pembentukan sistem yang digunakan dalam skala molekul bersaiz nano.

Mohd. Ihsan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tokai, Jepun individu yang pertama mengaplikasikan teknologi tersebut dalam perkhidmatan dobi dan penyelenggaraan.

Nano Wash Laundry yang diilhamkan oleh seorang anak muda dari Kedah itu merupakan satu revolusi dalam perkhidmatan dobi. Dengan menggunakan teknologi terkini, baju yang dibasuh itu anti kotoran selama lima kali basuhan.

Bukan setakat itu sahaja, Mohd. Ihsan juga menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan. Fungsinya lebih kurang sama, menjanjikan penjagaan kebersihan yang melibatkan bangunan, jalan raya, artifak, papan tanda dan tandas.

RUANG pelanggan menunggu sebelum mengambil pakaian mereka di Nano Wash Laundry.

Menurut Ihsan, sebelum berjaya membangunkan perniagaannya itu terutama Nano Wash, dia telah menempuh pelbagai liku sehingga terpaksa tidur di masjid selama empat bulan.

"Saya sering ditipu terutama oleh rakan kongsi sehingga memaksa saya bergerak sendiri. Kini segala usaha sudah mula menampakkan hasilnya.

"Saya memulakan syarikat Miresco Integrated Sdn Bhd sejak lima tahun lalu. Miresco banyak melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama institusi dari Jepun. Kini kami mengeluarkan produk dan perkhidmatan cucian menggunakan Nanoteknologi, selain beberapa produk lain," katanya.

Bebas bakteria

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah keistimewaan perkhidmatan dobi Nano Wash berteknologi nano itu. Ia merupakan sistem cucian dobi yang menggunakan teknologi moden dan terkini dalam bentuk alatan mesin, bahan cucian serta unsur kimia. Harus tahu bahawa Nano Wash merupakan dobi berteknologi nano pertama di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Dengan mengaplikasikan Nanoteknologi, baju atau fabrik yang dicuci adalah bebas bakteria, kotoran dan melindungi tubuh pemakainya. Sekali gus menghilangkan bau dan mampu bertindak menyegarkan udara.

Bagi cucian bebas bakteria, ia amat sesuai bagi mereka yang mementingkan kebersihan terutama untuk pakaian bayi. Mereka yang mempunyai masalah badan berbau juga boleh diselesaikan dengan menggunakan teknologi berkenaan.

SEORANG kakitangan Nano Wash, Shamsinar Jamaludin (kanan) melayan pelanggan.

Teknologi itu juga boleh menggantikan pergantungan ke atas alat-alat penyegar udara. Ini kerana, teknologi nano untuk cucian yang diciptanya adalah yang pertama di dunia ia tidak akan dijual di pasaran terbuka.

"Hanya Nano Wash Laundry sahaja yang menggunakan teknologi ini. Saya mahu pelanggan menikmati teknologi ini pada fabrik dan menikmati faedah daripadanya.

"Ia sesuai untuk kanak-kanak sekolah bagi mengelakkan baju mereka terkena kotoran degil seperti sisa makanan. Ia juga wajar diaplikasikan oleh mereka yang sibuk dan mementingkan kebersihan baju," katanya.

Perkhidmatan itu tidaklah terlalu mahal. Cuma tambah RM5 pada harga cucian kering mengikut saiz.

Azam anak muda itu telah membuahkan hasil yang boleh dinikmati bersama oleh rakyat Malaysia. Beliau juga boleh dijadikan contoh terbaik kepada anak muda supaya tidak takut untuk mencuba cabang perniagaan baru.

Mohd. Ihsan kini ingin membantu seramai mungkin bumiputera yang berminat untuk membuka cawangan perniagaan dobi Nano Wash. Impiannya adalah untuk melihat banyak Nano Laundry Wash yang dimiliki oleh bumiputra di seluruh negara. Pelaburannya tidak seberapa, tetapi hasilnya memberangsangkan.

Pakaian lebih lembut

Setakat ini terdapat tujuh cawangan Nano Wash di seluruh negara. Dengan harga pakej menarik RM88,000 sehingga RM150,000 peniaga boleh memiliki perniagaan dobi mereka sendiri.

"Kedai dobi Nano Wash sama seperti kedai dobi lain yang memberi perkhidmatan cucian biasa, cucian kering dan seterika. Namun, ada juga tambahan pendapatan melalui cucian nano.

"Pakaian atau fabrik yang telah melalui proses cucian nano, permukaannya juga menjadi lebih lembut. Saya ingin memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mencuba nasib dalam perniagaan," katanya.

Mohd Ihsan menunjukkan titisan air yang tidak meresap kedalam baju selepas dicuci mengunakan teknologi nano di Nano Wash.

Demonstrasi yang ditunjukkan Mohd. Ihsan kepada GenK menunjukkan cecair berupa air coklat yang dituangkan kepada sehelai pakaian yang telah dirawat dengan Nanoteknologi, ia tidak serap ke dalam kain seperti daun keladi.

Ia juga berkesan bagi kotoran seperti kari, kopi atau apa sahaja kotoran yang sukar dihilangkan.

Nano Wash juga membuka keahlian kepada pelanggannya pada harga RM19.90 dan mereka boleh mendapat potongan sebanyak 10 peratus. Ahli juga boleh menambah wang saku melalui sistem 'multi level' sama ada menarik pelanggan baru atau pun dengan jualan produk syarikat.

Antara produk yang bakal dikeluarkan ialah sabun cuci kereta Nanoteknologi yang tidak memerlukan air untuk membasuh. Ia akan melindungi kereta selama seminggu dan produk yang boleh menjaga kebersihan tayar selama setahun.

Buat masa ini, syarikatnya sedang berusaha untuk menjalin kerjasama dalam mendapatkan bantuan kewangan daripada agensi kerajaan dan bank. Ini bagi memberi kemudahan pinjaman kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

"Kami sedang mengadakan perbincangan bagi mendapatkan khidmat pinjaman bagi bumiputera memulakan perniagaan," katanya.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 12 Januari 2010