Isnin, 30 April 2012

Strategi pintar rumah botol


Idea mengutip botol-botol plastik yang mengotorkan parit-parit, jalan-jalan dan terusan di Nigeria untuk dijadikan kediaman manusia memang agak aneh.

Bagaimanapun, sekumpulan aktivis-aktivis mendapat ilham membina sebuah rumah menggunakan susunan botol plastik tersebut sebagai strategi persekitaran pintar. 

Ia bertujuan membendung masalah kekurangan kawasan perumahan di Afrika yang mempunyhai kepadatan penduduk begitu tinggi.

Dengan pembinaan prototaip rumah botol plastik tersebut yang terletak di bandar raya Kaduna di utara Nigeria, kumpulan itu ingin mengembangkan usaha murni mereka dalam membina lebih banyak rumah seperti ini.

Tidak meyakinkan? Para penyokong projek berkenaan mengatakan mereka yang belum melihat struktur rumah botol plastik berkenaan di perkampungan terpencil Sarbon Yelwa boleh membaling batu ke arah rumah tersebut.

"Ini merupakan rumah pertama di Afrika yang diperbuat daripada botol-botol plastik yang boleh menyelesaikan permintaan perumahan yang tinggi dan membersihkan persekitaran yang tercemar teruk," kata pencetus projek, Christopher Vasiliu ketika membuat lawatan ke tapak projek berkenaan.

Projek tersebut telah dimulakan oleh Persekutuan Pembangunan Tenaga Diperbaharui (DARE) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Kaduna dengan bantuan pakar bukan pertubuhan kerajaan (NGO) asing dari London, Amanah Komuniti Afrika.

Berdiri kukuh seluas 624 kaki persegi, banglo yang mempunyai dua bilik tidur itu kelihatan seperti rumah biasa tetapi ia berlainan dari pelbagai sudut.

Apabila ia siap sepenuhnya, rumah yang dibangunkan pada bulan Jun 2011 itu akan digunakan untuk melatih tukang batu dalam sektor pembinaan.

Kalis api

Rumah tersebut dibina menggunakan botol plastik yang diisi pasir dengan masing-masing mempunyai berat tiga kilogram (kg) dan keluli tertutup.

Botol-botol berkenaan disusun menjadi lapisan yang diikat rapi dengan lumpur dan simen. Rangkaian tali-temali menguatkan lagi ikatan struktur bangunan rumah tersebut.

Dalam pada itu, pelbagai warna penutup botol menjulur dari celah-celah dinding plaster menjadikan rumah berkenaan kelihatan lebih unik. Mereka yang bertanggungjawab terhadap projek itu mendakwa botol-botol yang diisi pasir lebih kuat berbanding blok biasa.

"Struktur rumah berkenaan mempunyai kelebihan apabila ia kalis api, peluru dan tahan gempa bumi malah suhu dalaman akan kekal 18 darjah Celcius. Ia amat sesuai bagi iklim Tropika.

"Dengan penyelarasan yang sesuai dilakukan terhadap tiang sokongan bangunan, ia boleh mencecah sehingga tiga tingkat. Bagaimanapun, bangunan berkenaan tidak boleh melebihi tiga tingkat disebabkan botol-botol diisi pasir ini berat," kata koordinator projek, Yahya Ahmad.

Terletak di tengah-tengah ladang pengairan yang membangun pesat, bangunan tersebut menempatkan ruang tamu berbentuk bulat dengan bumbung berkubah yang dihubungkan pada ruang dalaman melalui sebuah koridor pendek.

Selain itu, rumah berkapasiti dua bilik itu turut mempunyai bilik air dan pintu tepi utama berhadapan laman dan dapur.

Ia dibina untuk memastikan sifar pengeluaran karbon apabila ia akan dijana oleh panel solar sepenuhnya dan gas metana dikitar semula daripada bahan buangan manusia serta haiwan.

"Nigeria mempunyai masalah serius berhubung bahan buangan dan tenaga. Projek ini merupakan langkah kecil dalam perubahan positif.

"Botol plastik mengambil masa beratus tahun untuk dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal," kata aktivis alam sekitar Britain, Katrin Macmillan yang terlibat dalam projek berkenaan.

Pembinaan yang telah mencapai 70 peratus itu dijangka menggunakan sehingga 14,000 botol.

Kelihatan lambakan botol plastik terbuang di tapak pembinaan yang diperoleh daripada sumbangan kedutaan, hotel-hotel dan restoran.

Pakar alam sekitar berkata, Nigeria merupakan negara yang dihuni 160 juta penduduk dan mereka membuang kira-kira tiga juta botol plastik setiap hari.

Murah

Menurut Vasiliu yang merupakan warganegara Greece yang bekerja sebagai jurutera gerudi air di Nigeria hampir tiga dekad berkata, pembinaan rumah plastik lebih murah kerana ia hanya menelan suku daripada kos rumah konvensional.

Projek berkenaan kata beliau menelan belanja sebanyak AS$12,700 (RM40,000).

Projek kedua melibatkan botol plastik dijangka akan dimulakan pada bulan Januari tahun hadapan di sekolah rendah yang memerlukan bilik darjah di pekan Suleja berdekatan ibu negara Nigeria, Abuja.

"Projek berkenaan bakal menggunakan 200,000 botol yang didatangkan dari tapak pelupusan sisa pepejal untuk digunakan dalam pendidikan," kata Macmillan lagi.

-Kosmo!, AFP

Tiada ulasan: