Khamis, 10 Februari 2011
Saintis Jepun rancang klon gajah purba spesies Mammoth
Sekumpulan penyelidik Jepun mengumumkan akan melancarkan projek menghidupkan kembali Mammoth, mamalia yang hidup pada zaman pra-sejarah, menggunakan teknologi pengklonan dalam tempoh lima tahun.
Penyelidik itu akan cuba untuk menghidupkan kembali spesies yang sudah pupus berjuta tahun dahulu dengan penguraian tisu karkas mammoth yang disimpan di makmal kajian Russia, lapor Yomiuri Shimbun.
"Persediaan untuk menjayakan hasrat ini sudah siap dilaksanakan," kata Akira Iritani, Ketua Kumpulan Penyelidik dan Profesor Emeritus di Universiti Kyoto.
Menurut media itu, di bawah pelan itu nukleus pada sel Mammoth itu akan dimasukkan dalam sel telur gajah yang sebelum ini sudah mengalami proses mengeluarkan sel nukleusnya bagi menghasilkan embrio yang mengandungi genetik Mammoth.
Katanya, embrio itu kemudian akan dimasukkan dalam rahim gajah tumpangan bagi memberikan kelahiran normal kepada bayi Mammoth itu.
Berdasarkan kajian sains, gajah adalah evolusi daripada Mammoth, mamalia berbulu gergasi yang hidup dalam zaman pra-sejarah dan mati menjelang akhir Zaman Ais.
Pengkaji sejarah menemui beberapa sampel tisu Mammoth yang masih sempurna dan boleh digunakan bagi membolehkan ia digunakan untuk tujuan pengklonan berbanding dinosaur yang pupus 65 juta tahun dahulu yang kekal sebagai fosil.
Yomiuri berkata, penyelidik berharap hasilnya dapat dilihat dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi.
Kumpulan itu menjemput penyelidik Mammoth Russia dan dua pakar gajah daripada Amerika Syarikat untuk menyertai projek itu bagi memudahkan proses penguraian DNA daripada sel beku yang sebelum ini berisiko rosak dalam proses pembekuan.
Penyelidik Jepun dari Pusat Riken bagi Pembangunan Biologi, Teruhiko Wakayama sebelum ini turut dilaporkan berjaya menghasilkan klon tikus pada 2008 menggunakan sel induk yang disimpan dalam suhu yang sama menghampiri takat beku selama hampir 16 tahun.
"Kalau embrio klon boleh dihasilkan maka kami akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum memindahkan ia dalam rahim, bagaimana untuk membela Mammoth dan sama ada ia akan dipertontonkan kepada orang awam.
"Selepas Mammoth dilahirkan kami akan mengkaji ekologi dan genetiknya bagi mendalami bagaimana spesies ini boleh pupus dan pelbagai faktor lain yang berkaitan," kata Iritani. - AFP, Berita Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan