Isnin, 11 Jun 2012

Komputer riba masih relevan


Awal tahun lalu, peranti tablet mula membanjiri pasaran elektronik di Malaysia apabila banyak pemain-pemain utama industri mengeluarkan model terbaharu dengan pelbagai kelainan yang dijanjikan.

Bergantung pada keperluan tugas pejabat ataupun hiburan santai, tablet yang telah dilengkapi perisian pramuat turun mampu membawa perisian yang dikehendaki pengguna ke genggaman tangan.

Ketika ini, peminat tegar gajet berlumba-lumba untuk memiliki tablet. Mereka yang menjadi antara individu terawal memilikinya adakalanya dilihat sebagai refleksi statusnya.

Namun, pada akhir 2011, generasi baharu komputer, ultrabook mula mendapat tempat di pasaran dengan menjanjikan kecekapan prestasi, kuasa lebih lama dan saiz nipis yang menawan.

Sebenarnya, komputer riba mini sama ada dipanggil netbook atau ultrabook masih lagi relevan penggunaan waima bersaiz sedikit besar.

Banyak perisian reka bentuk memerlukan ruang penyimpanan fail yang besar untuk simpanan data.

Selain saiz perisian itu sendiri, data juga terhasil daripada hasil kerja para pereka.

Rekaan yang melibatkan grafik berkapasiti besar seperti perisian lukisan kejuruteraan Autocad adalah contoh data yang memerlukan kapasiti simpanan besar.

Bagi jurutera yang sering mengadakan sesi penyampaian kepada pelanggan, mereka memerlukan komponen memori akses rawak (RAM) yang besar untuk menyimpan slaid persembahan.

Tablet tidak mampu menampung saiz yang besar, walau bagaimanapun, ia masih lagi mampu menjadi peranti pelbagai guna.

Jika dilihat dari fizikal tablet dan komputer riba pula, tablet menggunakan skrin sesentuh manakala netbook pula papan kekunci.

Penggunaan papan kekunci adalah lebih tahan lama berbanding skrin sesentuh yang sensitif selain skrin komputer riba besar serta lebar.

Biarpun terpaksa bersaing dengan model-model terbaharu tablet, penggunaan komputer riba masih lagi diperlukan.

Cuma, penggunaan kedua-dua peranti tersebut mempunyai tujuan yang berbeza.

Lakukan timbang tara dahulu bagi menilai gajet yang mahu dibeli berdasarkan kepada keperluan.

Anda pasti bukan mahu mengejar gelaran antara individu terawal memiliki gajet canggih yang sudah pasti akan ketinggalan pada tahun berikutnya.

-Kosmo!

Tiada ulasan: