Isnin, 18 Jun 2012

Saintis hasil gandum tahan air masin

Sekumpulan saintis mengumumkan bahawa mereka membiak sejenis gandum yang boleh hidup di tanah berair masin.

Ketua penyelidikan berkenaan, Matthew Gilliham daripada University Adelaide, selatan Australia memberitahu, tanaman baharu itu dibiak daripada gandum jenis durum.

Saintis-saintis terbabit memasukkan gen yang dinamakan TmHKT1;5-A untuk membolehkan gandum tersebut tahan terhadap persekitaran masin.

Gen tersebut dimasukkan dengan menggunakan teknik-teknik pembiakbakaan kacuk dan bukan teknologi kejuruteraan genetik.

Tanaman tersebut digunakan untuk membuat pasta dan kuskus.

Menurut Gilliham, gandum baka baharu itu dapat membantu petani Jepun selepas tanaman mereka ditenggelami air laut dalam bencana tsunami tahun lalu.

Sekitar 20,000 hektar sawah padi di timur laut Jepun digenangi air laut dalam bencana tersebut yang menyebabkan ramai petani hilang mata pencarian.

-Kosmo!, AFP

Khamis, 14 Jun 2012

Kepentingan kata laluan

Penggunaan Internet kini begitu meluas dalam pelbagai aktiviti kehidupan manusia termasuk perbankan, membeli-belah, penyelidikan dan banyak lagi keperluan harian lain.

Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam penggunaan Internet sebagai medium untuk masyarakat bersosial dalam interaksi yang lebih pantas dan mudah.

Ia sejajar dengan perkembangan laman rangkaian sosial yang ditawarkan dalam alam maya seperti Facebook, Twitter, MySpace dan banyak lagi.

Laman rangkaian sosial itu turut dijadikan lokasi berkongsi multimedia peribadi termasuk muzik, gambar dan video.

Bagaimanapun, agak malang apabila lebih banyak bahan peribadi yang dikongsi bersama dalam alam maya, kita semakin terdedah kepada risiko kecurian identiti.

Kecurian identiti ialah apabila seorang penjenayah mencuri data peribadi rahsia untuk menipu mendapatkan barangan ataupun perkhidmatan dengan menggunakan nama anda.

Sebagai contoh, penjenayah siber boleh membuka akaun bank, mendapatkan kad kredit ataupun memohon lesen memandu dan pasport. Mereka juga boleh terus mencuri wang melalui bank akaun anda.

Justeru itu, penggunaan kata laluan amat penting dalam melindungi data-data penting.

Anda perlu melindungi setiap akaun dalam talian menggunakan kata laluan tetapi perlu berhati-hati dalam pemilihan kata laluan tersebut.

Pemilihan kata laluan sangat penting demi memastikan anda terhindar daripada menjadi mangsa alam siber.

Beberapa langkah perlu diambil kira dalam memilih kata laluan dalam talian.

Bagaimana memilih kata laluan?
  • Pastikan kata laluan yang digunakan mudah diingati untuk menghindarkan anda menulis atau menyimpan dalam komputer.
  • Jangan menggunakan perkataan yang mudah dicari di dalam kamus.
  • Sentiasa menggunakan campuran perkataan huruf besar dan kecil, nombor dan bukan aksara abjad.
  • Anda juga tidak digalakkan untuk mengitar semula kata laluan dan menggunakan kata laluan yang sama untuk akaun berbeza.

Bagaimana memastikan kata laluan selamat?
  • Elak penggunaan kata laluan yang mudah diteka seperti nama pasangan, anak, haiwan peliharaan, nombor kereta dan tarikh lahir.
  • Jangan sesekali memberitahu kata laluan kepada orang lain.  Sekiranya terdapat orang yang menghubungi anda dan meminta kata laluan, anda dinasihatkan agar tidak memberikan butiran peribadi.
  • Apabila membeli barangan dalam talian dan menerima e-mel meminta anda mengesahkan kata laluan baharu pastikan anda menukar dengan segera kata laluan berkenaan.
  • Periksa sama ada perisian keselamatan Internet sentiasa menyekat cubaan penjenayah siber untuk memintas atau mencuri kata laluan anda.

-Kosmo!, www.kaspersky.com.my

Rabu, 13 Jun 2012

40 tahun evolusi mikropemproses

Tahun: 1971
Nama: The 4004
Kelajuan: 108 kilohertz
Bilangan transistor: 2,300
Saiz: 10 mikrometer


Tahun: 1972
Nama: The 8008
Kelajuan: 500 - 800 kilohertz
Bilangan transistor: 3,500
Saiz: 10 mikrometer


Tahun: 1974
Nama: The 8080
Kelajuan: 2 megahertz
Bilangan transistor: 4,500
Saiz: 6 mikrometer


Tahun: 1978
Nama: The 8086
Kelajuan: 5 megahertz
Bilangan transistor: 29,000
Saiz: 6 mikrometer


Tahun: 1982
Nama: The 8086
Kelajuan: 6 megahertz
Bilangan transistor: 134,000
Saiz: 1.5 mikrometer


Tahun: 1989
Nama: The 486
Kelajuan: 25 megahertz
Bilangan transistor: 1.2 juta
Saiz: 1 mikrometer


Tahun: 1995
Nama: The Pentium Pro processor
Kelajuan: 200 megahertz
Bilangan transistor: 5.5 juta
Saiz: 0.6 mikrometer


Tahun: 1999
Nama: The Pentium III processor
Kelajuan: 500 megahertz
Bilanngan transistor: 9.5 juta
Saiz: 0.18 mikrometer


Tahun: 2002
Nama: The Pentium M processor
Kelajuan: 1.7 gigahertz
Bilangan transistor: 55 juta
Saiz: 90 nanometer


Tahun: 2005
Nama: The Pentium D processor
Kelajuan: 3.2 gigahertz
Bilangan transistor: 291 juta
Saiz: 65 nanometer


Tahun: 2006
Nama: Dual-Core Intel Itanium 2 processor
Kelajuan: 1.66 gigahertz
Bilangan transistor: 1,720 juta
Saiz: 90 nanometer


Tahun: 2007
Nama: Dual-Core Intel Xeon processor
Kelajuan: 3.0 gigahertz
Bilangan transistor: 820 juta
Saiz: 45 nanometer


Tahun: 2011
Nama: 2 Generation Intel Core
Kelajuan: 2.2 gigahertz
Bilangan transistor: 995 juta
Saiz: 32 nanometer

Bermula pada tahun 1971, Intel memperkenalkan cip mikropemproses bergelar The 4004 yang hanya memiliki kelajuan 108 kilohertz.

Ketika itu saiznya 10 mikrometer atau 0.00001 meter dengan bilangan transistor sebanyak 2,300 buah.

Sejak itu, Intel terus-menerus mematuhi Hukum Moore dengan hampir setiap tahun memperkenalkan cip mikropemproses terbaharu dengan kenaikan kelajuan 2.2 gigahertz pada tahun lalu.

Hukum Moore adalah trend jangka panjang yang mengatakan bilangan transistor yang diletakkan dalam susunan litar boleh berganda untuk setiap dua tahun.

2 Generation Intel Core memiliki saiz hanya 32 nanometer atau 0.000000032 meter dengan bilangan transistor sebanyak 995 juta.

-Kosmo!

Selasa, 12 Jun 2012

Pengecas bateri berkuasa air untuk telefon bimbit

Sebuah firma Sweden, MyFC mengeluarkan pengecas bateri berkuasa air yang boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit seperti iPhone di luar rumah.

Pengecas itu menukarkan air menjadi tenaga elektrik.

Ia yang dikenali sebagai FC PowerTrekk amat berguna kepada pengembara, pekerja bantuan dan anggota tentera.

Ketua Eksekutif MyFC, Bjorn Westerholm berkata, pengecas itu boleh menggunakan air laut dan air tawar.

-Kosmo!, Agensi

Isnin, 11 Jun 2012

Komputer riba masih relevan


Awal tahun lalu, peranti tablet mula membanjiri pasaran elektronik di Malaysia apabila banyak pemain-pemain utama industri mengeluarkan model terbaharu dengan pelbagai kelainan yang dijanjikan.

Bergantung pada keperluan tugas pejabat ataupun hiburan santai, tablet yang telah dilengkapi perisian pramuat turun mampu membawa perisian yang dikehendaki pengguna ke genggaman tangan.

Ketika ini, peminat tegar gajet berlumba-lumba untuk memiliki tablet. Mereka yang menjadi antara individu terawal memilikinya adakalanya dilihat sebagai refleksi statusnya.

Namun, pada akhir 2011, generasi baharu komputer, ultrabook mula mendapat tempat di pasaran dengan menjanjikan kecekapan prestasi, kuasa lebih lama dan saiz nipis yang menawan.

Sebenarnya, komputer riba mini sama ada dipanggil netbook atau ultrabook masih lagi relevan penggunaan waima bersaiz sedikit besar.

Banyak perisian reka bentuk memerlukan ruang penyimpanan fail yang besar untuk simpanan data.

Selain saiz perisian itu sendiri, data juga terhasil daripada hasil kerja para pereka.

Rekaan yang melibatkan grafik berkapasiti besar seperti perisian lukisan kejuruteraan Autocad adalah contoh data yang memerlukan kapasiti simpanan besar.

Bagi jurutera yang sering mengadakan sesi penyampaian kepada pelanggan, mereka memerlukan komponen memori akses rawak (RAM) yang besar untuk menyimpan slaid persembahan.

Tablet tidak mampu menampung saiz yang besar, walau bagaimanapun, ia masih lagi mampu menjadi peranti pelbagai guna.

Jika dilihat dari fizikal tablet dan komputer riba pula, tablet menggunakan skrin sesentuh manakala netbook pula papan kekunci.

Penggunaan papan kekunci adalah lebih tahan lama berbanding skrin sesentuh yang sensitif selain skrin komputer riba besar serta lebar.

Biarpun terpaksa bersaing dengan model-model terbaharu tablet, penggunaan komputer riba masih lagi diperlukan.

Cuma, penggunaan kedua-dua peranti tersebut mempunyai tujuan yang berbeza.

Lakukan timbang tara dahulu bagi menilai gajet yang mahu dibeli berdasarkan kepada keperluan.

Anda pasti bukan mahu mengejar gelaran antara individu terawal memiliki gajet canggih yang sudah pasti akan ketinggalan pada tahun berikutnya.

-Kosmo!

Rabu, 6 Jun 2012

Tenaga Boleh Diperbaharui (RE)

Sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui boleh diganti secara semula jadi dalam jangka masa yang singkat.

Ia akan kekal selamanya walaupun kita berterusan menggunakannya.

Sumber RE ialah tenaga suria atau solar, tenaga angin, tenaga air atau kuasa hidro dan bahan bakar biojisim.

Kebanyakan sumber RE untuk menghasilkan arus elektrik.

Tidak seperti bahan bakar fosil, sumber RE bukan berasakan biojisim (kuasa hidro, angin dan suria) tidak menghasilkan kesan kepada gas rumah hijau.

Malaysia kaya dengan sumber tenaga RE seperti biomass, biogas, tenaga suria, angin dan juga mini hidro.

Tenaga suria juga merupakan satu lagi sumber RE yang sedia ada kerana kedudukan geografi Malaysia di garisan Khatulistiwa.

Berdasarkan potensi yang tinggi ini, kerajaan Malaysia menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui yang juga merupakan sumber mesra alam.

Kerajaan telah mendokumentasikan polisi berkenaan RE di dalam Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan dan juga Third Outline Perspective Plan.

-Kosmo!, Suruhanjaya Tenaga.

Selasa, 5 Jun 2012

Gerudi

Zaman sekarang adalah zaman oantas dan ringkas. Bukan sahaja peralatan elektronik yang semakin menipis tetapi rekaan perabot rumah juga sudah ringkas.

Walaupun gedung untuk rumah, IKEA merupakan perintis menjual perabot dalam keadaan terlerai tetapi kini kedai-kedai perabot kecil lain sudah menjadi ikutan.

Jangan hanya mengejar gajet telefon terbaharu, disarankan rumah sama ada bujang atau berkahwin memiliki alatan asas melakukan kerja pertukangan.

Tukul dan playar adalah gajet Do It Yourself (DIY) yang agak ketinggalan walaupun ia masih berguna.

Kini, setiap rumah harus memiliki sekurang-kurangnya sebuah mesin gerudi tangan tanpa wayar berkuasa bateri di rumah. Tidak perlu berkuasa tinggi, cukup hanya berkuasa lebih kurang 10 voltan.

Bayangkan jumlah kos yang boleh dijimatkan apabila memiliki sebuah gerudi elektrik. Upah menggantung lukisan dan bayaran membawa sebuah rak buku boleh dijimatkan.

Bagi sesetengah kaum wanita, memutar skru boleh menyebabkan kesakitan pada pergelangan tangan. Oleh itu, pastikan gerudi tangan yang dibeli mempunyai fungsi memutar skru sekali.

Berat juga bukan alasan, banyak model terbaharu gerudi yang boleh disifatkan sebagai ringan.

Rangkaian gerudi tanpa wayar keluaran Bosch mempunayi berat lebih kurang 1 kilogram sahaja.

Mungkin harganya agak mahal tetapi bayangkan penjimatan yang bakal dilakukan dan kepuasan apabila mengetahui bangku yang diduduki oleh anak kita adalah hasil usaha sendiri.

Jika sukar menggunakannya, laman video YouTube banyak mengajar cara-cara mudah menggunakan gerudi tangan secara visual dan mudah difahami selain laman-laman web sedia ada.

Tidak cukup dengan itu, tonton rancangan bual bicara personaliti Amerika Syarikat Martha Stewart.

Antara pengisiannya ada menyelitkan cara-cara menggunakan barang-barang DIY.

Laman web kaedah menggunakan gerudi

home.howstuffworks.com

www.essortment.com

www.wikihow.com/Use-a-Drill-Safely

www.readersdigest.com.au/how-to-use-a-power-drill

www.drilldoctor.com

homerepair.about.com/od/toolsmaterialsyouneed/ht/ht_use_pwrdrill.htm

howjunction.com/177/tools/drilling-without-pain/

-Kosmo!

Isnin, 4 Jun 2012

E-waste

E-waste merupakan bahan-bahan buangan daripada pemasangan elektrik dan elektronik.

Contoh e-waste adalah seperti telefon, televisyen, perkakasan komputer, mesin basuh, bateri terpakai yang mengandungi asid plumbum dan alat-alat elektronik yang tidak digunakan lagi.

E-waste dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual (scheduled waste) kerana mempunyai ciri-ciri seperti kebolehnyalaan (ignitability), menghakis (corosivity), bertindakbalas (reactibility) dan juga toksik (toxicity).

E-waste merupakan satu masalah yang dikategorikan sebagai serius dan perlukan perhatian daripada semua pihak kerana ianya memberi impak kepada kesihatan manusia dan merupakan satu ancaman kepada alam sekitar.