SEBAHAGIAN orang menyaksikan tiga robot bermain bola sepak di pameran CeBIT, Hanover semalam.
HANOVER, Jerman - Cuma tinggal kurang 100 hari sebelum kejohanan bola sepak Piala Dunia membuka tirai di Afrika Selatan namun semalam orang ramai di sini terpegun menyaksikan kelincahan empat robot kecil bermain bola sepak.
Empat robot itu yang tingginya kira-kira 60 sentimeter dan dinamakan Rajesh, Penny, Sheldon serta Leonard merupakan sebahagian pasukan B-Human yang memenangi kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Robot di Austria pada tahun lalu.
Robot-robot itu mempamerkan kehandalan pada satu perlawanan pertunjukan di CeBIT iaitu pameran teknologi tinggi terbesar di dunia.
Seorang kakitangan Universiti Bremen yang terlibat dengan pengeluaran robot pasukan B-Human, Wiebke Sauerland berkata, ia menggunakan teknologi pengecaman warna dan garisan untuk 'melihat' bola (jingga), padang (hijau) dan gawang (kuning serta biru).
Menurut wanita itu, berpandukan garisan putih di padang, robot berkenaan dapat mengesan posisinya sekali gus menyesuaikan pergerakan ke arah bola.
Robot itu akan menendang bola ke arah pintu gol apabila berada hampir dengan gawang.
"Anda memprogram mereka (robot-robot tersebut) dan mereka akan melakukan seperti yang diarahkan," kata Sauerland.
Pasukan B-Human akan menyertai kejohanan Piala Dunia Robot 2010 di Singapura pada 19 Jun depan.
"Anda boleh memiliki robot bola sepak ini jika anda sanggup membayar AS$13,500 (RM45,600)," tambahnya. - AFP
Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 3 Mac 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan