Rabu, 10 Mac 2010

Monorel kuasa manusia


Teknologi mesra alam yang diaplikasikan pada monorel Shweeb di Rotorua, New Zealand ternyata dapat mengelakkan penggunaan tenaga elektrik kerana ia menggunakan tenaga manusia sepenuhnya.


Perekanya, Geoffrey Barnet menggabungkan tempat bersandar dan pengayuh dengan teknologi monorel untuk membina Shweeb, nama yang diambil bersempena dengan perkataan dalam bahasa Jerman iaitu schweben yang bermaksud melayang atau bergantung.

Dengan kepakaran teknologi baru itu, Shweeb terbukti sebagai pengangkutan yang lebih efisien dan kos rendah dengan aplikasi komuter bandar, rekreasi dan kecergasan.


Selain itu, pengguna Shweeb tidak perlu bimbang dengan ruang yang disediakan kerana Shweeb menyediakan ruang bagasi yang luas, malah faktor masa dan kuasa ditentukan sendiri oleh penumpangnya.

Shweeb meluncur melalui bandar menggunakan rel licin ultra tipis bersaiz hanya 200 milimeter (mm) x 200 mm.  Ia berada setinggi enam meter di atas permukaan tanah untuk mengelakkan lalu lintas dan pejalan kaki.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 10 Mac 2010

Tiada ulasan: