Rabu, 17 Mac 2010

Helmet pengesan otak


SEORANG peserta pameran gajet berteknologi menunjukkan helmet EEG yang ringan dan dapat mengesan aktiviti seleberal dalam otak manusia.

Dengan menggunakan helmet itu, orang ramai dapat melihat darjah ketenangan seseorang yang menggunakannya.

Otak merupakan organ yang menjadi pusat kawalan utama tubuh seseorang.  Ia menerima maklumat melalui deria dari dalam dan luar tubuh.

Otak menganalisis maklumat dan kemudian menghantar utusan kepada badan yang mengawal fungsi dan tindakannya.  Ia merupakan punca fikiran, mood dan emosi.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

Urin lembu rawat ginjal?


SAINTIS India mengejutkan dunia dengan hasil kajian sains perubatan apabila air kencing lembu digunakan untuk merawat pesakit buah pinggang dan kanser di Hospital Ahmedabad.

Sebuah makmal di barat bandar Ahmedabad menjadi salah sebuah daripada pusat kajian yang sedang berkembang itu, mengakui kesucian lembu di India dan berusaha menaikkannya ke satu tahap lebih tinggi.

Selain mempromosikan amalan dan aspek kerohanian, mereka juga membangunkan ubat-ubatan berasaskan air kencing yang dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai penyakit keturunan daripada nafas berbau sehinggalah kanser.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

Anjing berkaki roda


HOPPA seekor anjing berbaka campuran berusia empat tahun yang tidak mempunyai kaki hadapan menggunakan peranti kaki palsu beroda untuk membantunya bergerak di Tel Aviv, Israel.

Alat itu disumbangkan oleh pelajar seni yang menyayangi haiwan, dengan harapan alat bantuan itu dapat meningkatkan keselesaan haiwan tersebut untuk hidup secara normal.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

USM cipta kit penapisan Nano Sinar UV

Oleh ZAKI SALLEH

DR. SHAROM (kiri) menyembur Kit Penapisan Nano Sinar UV (Ultra Ungu) pada payung semasa membuat demonstrasi di USM, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan Kit Penapisan Nano Sinar Ultra Ungu (UV) yang menjadi penyebab utama kanser kulit dan kanser mata di dunia.

Hasil penyelidikan selama lima tahun pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Dr. Sharom Mahmud berjaya membangunkan Kit Penapisan Nano ZT-UV yang pertama seumpamanya di dunia.

Kit yang dibangunkan menerusi Geran Penyelidikan USM itu juga dinobatkan sebagai Produk Terbaik dan menerima Anugerah Pingat Emas di Pameran Malaysia Technology Expo 2010 yang berlansung di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Menurut Sharom, hasil penyelidikannya mengenai partikel nano berjaya menemui kaedah termaju dan termurah membangunkan nano zinc oxide yang merupakan bahan terbaik bagi menghalang agen-agen sinar UV.

Katanya, kit yang dihasilkan dengan kerjasama dua pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan USM, Profesor Madya Dr. Hazizan Md. Akil dan Dr. Ong Hui Lin itu mampu memberi perlindungan 100 peratus daripada sinar UV.

"Ujian makmal ke atas payung yang disembur dengan Nano ZT-UV menunjukkan penyerapan sinar UV amat hebat sehingga 0.1 peratus berbanding 2.3 peratus tanpa kit ini.

"Bahan zinc oxide yang digunakan pula mempunyai ciri-ciri biologi yang selamat selain menepati piawaian keselamatan yang diiktiraf Agensi Keselamatan Kesihatan (FDA) dari Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Sharom memberitahu, kit berkenaan kini telah pun dihasilkan dalam bentuk aerosol dan dijangka memasuki pasaran dalam tempoh setahun lagi melalui kerjasama USM dengan rakan industri terpilih dengan jangkaan harga sekitar RM10 setin.

"Kit ini merupakan inovasi termaju dan paling mudah serta praktikal bagi melindungi manusia daripada pancaran sinar UV secara langsung," jelasnya.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

Keselamatan atau hak asasi?

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR

AGENSI-AGENSI keselamatan seluruh dunia, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan mengakui keperluan untuk mengesan rangkaian dengan lebih teliti ancaman tersembunyi, sama ada membabitkan pengganas atau tindakan kekerasan individu.

Justeru, pelbagai pengimbas berteknologi tinggi mula diperkenalkan dengan fokus utama di pintu-pintu masuk sesebuah negara seperti di lapangan terbang.

Hakikatnya sistem pengimbas berkembang maju seiring dengan keperluan menapis sebarang bentuk peluang untuk menyeludup barangan larangan terutama bahan letupan, senjata api dan dadah daripada dibawa keluar dan masuk ke dalam sesebuah negara.

Bagaimanapun, penjenayah menggunakan pelbagai tipu helah terutama meletak atau menyembunyikan bahan larangan dalam pakaian di tubuh mereka.

PENUMPANG perlu melalui mesin pengimbas yang dapat mengimbas tubuh dalam masa beberapa saat sahaja.

Adakalanya teknik pengimbasan konvensional gagal mengesan objek-objek tertentu sehingga menyebabkan penyeludup atau penjenayah berjaya meloloskan diri.

Kini, sistem keselamatan lapangan terbang dipertingkatkan lagi dengan pengenalan teknologi millivision iaitu sebuah teknologi yang mengimbas tubuh manusia yang melalui mesin khas itu.

Salah sebuah produk yang diperkenalkan menggunakan sistem itu dikenali sebagai Millivision Portal System 350 yang direka dengan aplikasi mudah dan diletakkan di pos pemeriksaan.

Kebaikan sistem tersebut sudah tentunya ia mampu mengimbas dan mengesan dengan lebih berkesan biarpun objek tertentu disembunyikan di sebalik baju seseorang.

Malah, lebih menarik, dalam masa sejam sahaja, pengimbas enam saat itu dapat mengimbas kira-kira 250 orang dan menggunakan portal dalam talian.

Bagaimanapun, produk Millivision Walk-By System 350 pula dapat mengimbas sehingga 900 orang dalam masa sejam kerana ia menggunakan kaedah laluan dan dilihat menerusi sistem dalam talian.

Satu lagi produk yang diperkenalkan ialah Millivision Stand-Off System 350, sebuah sistem berdiri secara bebas dengan pilihan pelaksanaan imbasan secara terang-terangan mahupun bersembunyi. Ia juga mempunyai kapasiti imbasan yang tinggi iaitu sehingga 900 orang dan mampu mengimbas dalam jarak tiga hingga empat meter.

Apa yang pasti, kita tidak perlu lagi bergantung kepada pengimbas logam biasa atau mengharapkan pegawai pemeriksaan keselamatan melakukan imbasan konvensional.

Bahan-bahan dilarang seperti senjata, pisau seramik dan plastik letupan amat mudah diseludup melalui rutin pengawasan keselamatan biasa.


Teknologi millivision mengambil berat semua kepentingan itu dengan menyediakan sistem yang selamat, tepat dan secara efisien untuk mengesan ancaman atau penyeludupan tersembunyi.

Dalam setiap barisan produk Millivision terdapat Millivision Passive Millimeter Wave Imager yang menggunakan teknologi gelombang millimeter pasif sebagaimana alat pengesan ancaman automatik (ATD) yang dipatenkan.

Pengimejan itu dapat dilaksanakan dalam satu daripada tiga konfigurasi tersebut iaitu Millivision Portal System 350, Millivision Walk-by System 350, dan Millivision Stand-off System 350.

Teknologi pengimbas itu dikatakan mampu melihat di sebalik baju untuk mengesan senjata api dan barangan berbahaya, malah lebih penting tidak lagi memerlukan seseorang membuka baju atau membiarkan tubuh diraba oleh pegawai pemeriksaan yang menjadi satu isu di kalangan wanita.

Bagaimanapun, timbul satu lagi isu sensitif apabila teknologi terbaru pengimbasan tersebut menyebabkan ia boleh mengimbas lebih jelas bentuk badan seseorang di sebalik baju sehingga menyebabkan ramai yang melihat ia seperti satu pencabulan hak asasi seseorang.

Isu sensitif

Penulis EE Times, Dylan McGrath dalam laporannya tiga tahun lalu berkata, pengkaji teknologi gelombang millimeter dari Northrop-Grumman membangunkan teknologi itu yang membolehkan sebuah kamera yang kecil melihat objek yang ada di dalam baju yang dikenali sebagai teknologi Passive Millimeter Wave.

Berdasarkan maklumat yang disediakan oleh penganjur International Solid-State Circuits Conference (ISSCC), kehebatan teknologi itu ialah ia juga dapat melihat melalui salji yang lebat.

Passive Millimeter Wave membabitkan penguat berfrekuensi tinggi yang mencapai sehingga 300 gigahertz dan kebolehan pengesan merasakan serta memproses kadar kuasa picowatt.

KEBANYAKAN lapangan terbang masih menggunakan teknik pengimbasan konvesional.

Berdasarkan pihak penganjur ISSCC, operasi frekuensi itu memerlukan penggunaan teknologi indium-phosphide (InP) dengan saiz ciri 75- dan 35-nanometer, sebagaimana kebolehan pengesan memproses pemancar gelombang millimeter.

Penguat yang digunakan dalam Passive Millimeter Wave dibina dengan mobiliti transistor InP berelektron tinggi dan digunakan di hadapan kamera pengimejan pasif. Maklumat ISSCC mengatakan teknologi itu memaparkan hanya imej kelabu tetapi penyokong hak peribadi berfikir sebaliknya, apatah lagi teknologi itu mampu melihat di sebalik baju dengan jelas.

Mereka bimbang sekiranya teknologi itu berkembang dan kualiti gambar-gambar ditingkatkan, bahkan sekiranya foto itu disalahgunakan di Internet, ia boleh menjadi satu isu yang lebih besar.

Pihak penganjur ISSCC menggambarkan teknologi itu seperti yang digunakan dalam filem Total Recall lakonan Arnold Schwarzenegger di mana penumpang diimbas secara elektronik melalui baju untuk melihat senjata api atau sebarang ancaman tersembunyi.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

Roket Nasr 1 Iran

NASR 1 merupakan roket jelajah jarak dekat yang dapat memusnahkan sasaran seberat 3,000 tan.

MENTERI pertahanan Iran, Jeneral Ahmad Vahidi memperkenalkan roket pengebom Nasr 1 atau bermaksud kemenangan di sebuah kilang di Teheran kepada orang ramai melalui televisyen.

Senjata baru itu merupakan roket jelajah jarak dekat yang mampu menghancurkan sasaran seberat 3,000 tan.

Iran sering membuat pengumuman tentang kemajuan barunya dalam teknologi tentera yang masih belum dapat disahkan.

Situasi itu meresahkan musuh-musuh Iran terutama Amerika Syarikat yang melihat negara tersebut semakin ghairah menghasilkan senjata perang berteknologi tinggi.

Dicuplik dari akhbar Ksomo! bertarikh 17 Mac 2010

Mengitar semula polisterina

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

ISSAM (tengah) memberi penerangan kepada Ahmad Shukri (kiri) dan Azhar mengenai polisterina yang boleh diproses menjadi perabot di USM baru-baru ini.


SUMBANGAN bekas polisterina terhadap krisis pemanasan global menyebabkan penggunaan bekas pembungkus makanan itu menjadi perdebatan hangat di negara ini.

Bagaimanapun, penggunaannya yang masih meluas di kalangan orang ramai melahirkan satu idea penyelidikan baru iaitu bagaimana menjadikan 'buangan' polisterina itu lebih bernilai dan selamat kepada alam sekitar.

Hasilnya, sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui kaedah penyelesaian apabila ia dijadikan bahan asas pembuatan perabot yang memberi nilai ekonomi kepada industri tersebut.

Menerusi kajian itu, sisa-sisa polisterina dicampurkan dengan sejenis bahan pelarut dan bahan kimia untuk menjadikannya gam atau perekat dan kemudiannya berupaya diadun dengan kelapa sawit terbuang untuk dijadikan bahan gentian industri perabot.

Inovasi penyelidik saintis USM itu sekali gus membuktikan bahan pembungkus yang dilabel sebagai 'keranda putih' itu mampu diubahsuai menjadi produk hiasan dalaman rumah.

Kajian tersebut juga mendapati campuran bahan-bahan itu mampu diproses menjadi sejenis komposit pelbagai guna yang bernilai kepada industri pertukangan dan pembinaan negara.

Gunakan sisa terbuang

Menurut Penyelidik Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Dr. Issam Ahmed Mohammad, kajian yang dilakukan dalam tempoh kurang setahun itu berdasarkan kaedah pemprosesan bahan larutan polisterina dengan sisa tandan kelapa sawit.

"Di Malaysia sahaja misalnya terdapat lebih 280,000 tan buangan bekas polisterina yang telah digunapakai dan ini memberi kesan yang efektif kepada pencemaran.

DENGAN hasil penyelidikan saintis USM, pihak berkenaan perlu mencari jalan bagaimana untuk mengumpulkan sisa-sisa buangan berasaskan polisterina untuk dikitar semula.


"Dengan hasil penemuan saintifik ini, kita berjaya mengurangkan kadar pelupusan yang berlaku di negara ini sekali gus berpeluang mengkomersialkan produk daripada bahan sisa buangan tersebut," katanya pada sidang media yang diadakan di kampus itu baru-baru ini.

Turut sama hadir ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Madya Azhar Mohd. Easa.

Pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat dan Jepun melakukan pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah bahan buangan polisterina, namun dipercayai inilah pertama kali bahan itu dijadikan satu kegunaan baru yang menguntungkan masyarakat dan industri.

Di Amerika Syarikat, jumlah polisterina yang begitu besar dikatakan telah dipadatkan (kompak) untuk mengelakkan daripada berlakunya pencemaran dan terbuang begitu sahaja, manakala di Jepun, usaha dibuat untuk menjadikan ia mudah terurai.

Dalam pada itu katanya, menerusi idea kreatif pasukannya dalam mengitar semula sisa buangan polisterina, sejenis gam atau damar turut dihasilkan daripada bahan yang serupa.

"Gam ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan berupaya melekatkan segala jenis bahan termasuk pada kayu dan kadbod.

"Penemuan inovasi ini turut memberi kemenangan kepada pasukan penyelidik USM apabila membawa pulang pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia, anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini," ujarnya.

Turut membantu penyelidikan yang dibiayai geran penyelidikan dari beberapa institusi itu ialah seorang pelajar sarjana Putri Nur Syazwani Azizizan dan seorang lagi penyelidik USM, Profesor Madya Abdul Khalil Shawkataly.

PENGGUNAAN polisterina yang masih berleluasa menyebabkan saintis USM mencari jawapan kepada usaha menjadikannya bahan lebih mesra alam.

Produk baru yang terhasil daripada penyelidikan itu dapat dibuat dengan kos yang lebih murah dan dipercayai 20 peratus lebih rendah harganya berbanding dengan produk yang sedia ada di pasaran.

Sementara itu, Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Ahmad Shukri Mustapha Kamal berkata, penemuan produk berasaskan penggunaan bahan buangan polisterina tepat pada masanya dan boleh dimanfaatkan orang ramai.

Menurut beliau, ia sejajar dengan hasrat universiti untuk mengurangkan kadar penggunaan bahan-bahan tidak mesra alam itu.

"Kejayaan penyelidikan itu membuktikan ilmu sains boleh dimanfaatkan dan selepas ini polisterina mempunyai nilai untuk diguna semula dengan kaedah lebih selamat berbanding dibuang begitu sahaja," ujarnya.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

Pengecas basikal elektrik disediakan di Tokyo

SEORANG pengguna menggunakan kemudahan tempat meletak basikal elektrik yang mempunyai kemudahan pengecas di Setagaya, Jepun semalam.

TOKYO - Firma gergasi elektronik Jepun, Sanyo semalam menyatakan dua kawasan tempat meletak basikal berkuasa elektrik di sini dilengkapi dengan pengecas solar.

Dua kawasan tempat meletak basikal berbumbung itu mampu untuk memberi kemudahan kepada 100 buah basikal berkuasa elektrik.

Menurut firma itu, sistem mengecas tersebut menggunakan bateri ion litium bagi mengecas basikal yang turut mampu menerangi tempat letak basikal dengan sinaran lampu pada waktu malam.

Kawasan tersebut dibina dekat dengan stesen kereta api Setagaya di Tokyo manakala basikal-basikal yang diletakkan di situ adalah untuk kegunaan masyarakat setempat. - AFP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

Askar buta 'melihat' menerusi lidah

MULUT Lundberg mengemam 'lolipop' plastik' daripada alat BrainPort yang membantunya 'melihat'.

LONDON - Seorang askar Britain yang buta akibat serangan bom di Iraq memberitahu betapa hidupnya telah berubah selepas menggunakan teknologi terbaru yang membolehkannya 'melihat' menggunakan lidahnya.

Askar itu, Lans Koperal Craig Lundberg yang berusia 24 tahun kini sudah boleh membaca, dan berjalan tanpa sebarang bantuan.

Terima kasih kepada alat yang dicipta oleh satu kumpulan diketuai Gale Pollock, bekas Mejar Jeneral dari pasukan tentera Amerika Syarikat (AS).

Dia dipilih oleh Kementerian Pertahanan sebagai individu pertama di Britain untuk mencuba peralatan BrainPort yang mampu mencipta revolusi ke atas rawatan orang buta.

Alat itu menukar imej menjadi denyutan elektrik yang dihantar ke lidah dan menyebabkan rasa berdenyut.

Kekuatan denyutan yang berbeza itu boleh diterjemahkan, menyebabkan pengguna boleh menggambarkan persekitaran mereka secara mental dan bergerak di sekelilingnya.

Ia mengandungi satu kamera video kecil yang dipasang pada cermin mata dan disambung dengan satu 'lolipop' plastik yang diletakkan di atas lidah untuk membaca denyutan tersebut. "Rasanya seperti menjilat bateri berkuasa sembilan volt atau makan gula-gula," kata Lundberg kelmarin. - AFP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 17 Mac 2010

Rabu, 10 Mac 2010

Monorel kuasa manusia


Teknologi mesra alam yang diaplikasikan pada monorel Shweeb di Rotorua, New Zealand ternyata dapat mengelakkan penggunaan tenaga elektrik kerana ia menggunakan tenaga manusia sepenuhnya.


Perekanya, Geoffrey Barnet menggabungkan tempat bersandar dan pengayuh dengan teknologi monorel untuk membina Shweeb, nama yang diambil bersempena dengan perkataan dalam bahasa Jerman iaitu schweben yang bermaksud melayang atau bergantung.

Dengan kepakaran teknologi baru itu, Shweeb terbukti sebagai pengangkutan yang lebih efisien dan kos rendah dengan aplikasi komuter bandar, rekreasi dan kecergasan.


Selain itu, pengguna Shweeb tidak perlu bimbang dengan ruang yang disediakan kerana Shweeb menyediakan ruang bagasi yang luas, malah faktor masa dan kuasa ditentukan sendiri oleh penumpangnya.

Shweeb meluncur melalui bandar menggunakan rel licin ultra tipis bersaiz hanya 200 milimeter (mm) x 200 mm.  Ia berada setinggi enam meter di atas permukaan tanah untuk mengelakkan lalu lintas dan pejalan kaki.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 10 Mac 2010

Bot solar terbesar di dunia


Bot solar yang diberi jolokan PlanetSolar diperkenalkan kepada orang ramai di limbungan Knierim Yachtbau dekat Kiel, Jerman baru-baru ini.


PlanetSolar yang mempunyai ukuran 3,000 sentimeter (sm) panjang dan 1,600 sm lebar dilengkapi 500 meter persegi panel solar merupakan bot solar terbesar di dunia.

Untuk menyiapkan bot solar terbesar itu, ia mengambil masa selama 13 bulan dan dijangka akan memulakan pelayaran mengelilingi dunia pada tahun 2011 dengan kelajuan lapan knot.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 10 Mac 2010.

Imej dari laman web www.planetsolar.org.

Inovasi terbaru Savvio

PEMACU keras Savvio 10K.4 menggunakan platform leper berukuran 2.5 inci.

PENGGUNA yang ingin membeli pemacu keras pasti akan meneliti ciri terkini serta keupayaan peranti tersebut agar ia dapat menjimatkan tenaga, mesra alam dan berkapasiti tinggi.

Ciri ini amat penting khususnya kepada sektor perniagaan, perusahaan dan perindustrian dalam usaha mengurangkan kos operasi.

Semua ini dapat dilakukan apabila peneraju industri penstoran antarabangsa, Seagate memperkenalkan pemacu keras Savvio 10K.4 berkapasiti tinggi, sesuai untuk pelbagai aplikasi pelayar dan penyimpanan hari ini.

Produk tersebut merupakan edisi terkini untuk peranti dalam kategori Savvio yang direka khusus untuk menjimatkan tenaga, mesra alam dan beroperasi dalam keadaan senyap tanpa gangguan.

Inovasi terbaru Savvio generasi keempat itu turut menggunakan platform leper berukuran 2.5 inci. Ia menggandakan tahap kapasiti berbanding pesaing terdekatnya kepada 600 gigabit (GB).

Keupayaan tersebut secara tidak langsung memberi kemudahan kepada pengguna menyimpan lebih banyak data dengan saiz besar termasuk fail beresolusi tinggi.

Dengan menggunakan platform sekecil 2.5 inci, Savvio 10K.4 mampu bertindak sebagai storan penyimpanan berkuasa tinggi dan dapat mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 50 peratus berbanding sistem berasaskan 3.5 inci.

Ia boleh didapati dengan antara muka 6Gb/s SAS atau 4Gb/s FC yang terbaru, serta teknologi pilihan tenaga yang membolehkan pemacu keras itu menjimatkan tenaga dari semasa ke semasa dalam keadaan terbiar.

Dari segi keselamatan pula, pemacu keras itu didatangkan dengan perlindungan maklumat (PI) untuk melindungi data-in-flight iaitu pilihan pengekodan bersendiri agar data-data sentiasa selamat.

Gabungan ciri-ciri tersebut membolehkan para pembina sistem dan pengguna menyampaikan sistem pelayar serta penyimpanan pemacu.

Pembinaan Savvio 10K.4 amat sempurna dan disasarkan untuk kegunaan dalam persekitaran perniagaan bersaiz kecil, sederhana hinggalah perusahaan besar.

Menurut Pengarah Penyelidikan Pemacu Cakera Keras IDC, John Ryding, kemunculan Savvio 10K.4 merupakan satu peralihan dalam pemacu keras kelas perindustrian 2.5 inci oleh pelayan dan sistem simpanan OEM.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 10 Mac 2010

Korea lancar pengangkutan magnetik

GAMBAR menunjukkan satu pengangkutan awam yang menggunakan kuasa magnetik di Seoul Grand Park, Gwacheon semalam.


SEOUL - Para penyelidik Korea Selatan semalam melancarkan sistem pengangkutan awam mesra alam yang menggunakan kuasa magnetik dengan menyerap elektrik di bawah permukaan jalan untuk kenderaan itu bergerak.

Prototaip pengangkutan awam itu yang dikenali sebagai Kenderaan Elektrik Secara Talian (OLEV) digerakkan di sebuah taman rekreasi di selatan Seoul.

Sistem itu dimajukan Institut Sains dan Teknologi Termaju Korea (KAIST) yang menyatakan OLEV hanya memerlukan satu perlima daripada sebuah bateri untuk saiz kenderaan elektrik konvensional dan tiada pengubahsuaian yang besar.

Ia dapat mengelak keperluan pemasangan wayar bertindan yang digunakan untuk menggerakkan sistem bas troli atau trem biasa manakala Pengarah Projek, Cho Song-Ho berkata, sistem itu mencipta kejayaan apabila kaedah lama diperbaiki. - AFP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 10 Mac 2010

Selasa, 9 Mac 2010

Pengasas Facebook didakwa godam e-mel

LONDON - Pengasas laman web perkongsian sosial Facebook di Internet, Mark Zuckerberg (gambar) didakwa menggodam akaun e-mel beberapa saingannya dan wartawan, lapor akhbar Mail On Sunday semalam.

Ketua pegawai eksekutif laman perkongsian sosial yang paling berjaya di dunia itu didakwa melanggar sekurang-kurangnya dua privasi dalam satu siri artikel yang disiarkan oleh BusinessInsider.com.

Sebagai sebahagian daripada siasatan yang dilakukan selama dua tahun mengenai pengasas Facebook itu, majalah tersebut mendedahkan apa yang didakwanya sebagai satu penggodaman pada 2004.

Pada satu kejadian, majalah itu melaporkan bahawa Zuckerberg mendapati bahawa akhbar Universiti Harvard, The Crimson merancang untuk menyiarkan artikel mengenai dirinya pada 2004.

Dia dituduh menggunakan kata laluan beberapa pemberita akhbar berkenaan untuk menggodam akaun mereka.

Pada satu lagi kejadian, majalah BusinessInsider.com mendakwa Zuckerberg menggodam akaun beberapa saingannya di Universiti Harvard yang menuduhnya mencuri idea mereka bagi mewujudkan laman perkongsian sosial tersebut.

Dia kemudian didakwa cuba untuk mensabotaj rangkaian saingannya yang telah mereka wujudkan.

Majalah itu mendakwa Zuckerberg mengetahui akhbar The Crimson merancang untuk menulis satu artikel apabila dia dipanggil untuk ditemu ramah pada 2004.

Akhbar itu merancang untuk menyiasat dakwaan yang dilakukan oleh beberapa pelajar Universiti Harvard bahawa Zuckerberg telah mencuri idea rangkaian sosial mereka.

Dakwaan itu kini telah didokumenkan dan menjadi satu tuntutan undang-undang bernilai AS$65 juta (RM218 juta).

Pada 2004, Facebook yang kini mempunyai pengguna lebih 40 juta orang di seluruh dunia dan nilainya ialah berjuta-juta dolar masih dianggap merupakan satu rangkaian yang terhad kepada pelajar-pelajar Universiti Harvard yang dikenali sebagai Thefacebook.com.

Pada ketika itu, Zuckerberg terlibat dalam satu perbalahan dengan tiga lagi pelajar Universiti Harvard yang telah memintanya untuk membantu mereka mewujudkan satu laman web sosial.

Pelajar-pelajar lain Universiti Harvard itu, Cameron Winklevoss, Tyler Winklevoss, dan Divya Narendra telah menuduh Zuckerberg dengan sengaja untuk menyalahfahamkan mereka mengenai kesediaannya untuk membantu mereka mewujudkan laman web mereka, HarvardConnection.com.

Ketiga-tiga mereka telah mendekati akhbar itu, The Crimson berhubung dakwaan yang dibuat ke atas Zuckerberg.

Menurut akhbar tersebut, pemberita-pemberita The Crimson kemudiannya bercakap berhubung dakwaan ke atas Zuckerberg.

Zuckerberg dilihat cuba untuk meyakinkan akhbar berkenaan bahawa rangkaian sosial yang sedang diciptanya itu berbeza dengan HarvardConnection.com.

Pada awalnya, dia menganggap HarvardConnection.com sebagai satu laman temu janji.

Akhbar itu menarik artikel berkenaan.

Bagaimanapun, selepas beberapa dakwaan lain muncul, Zuckerberg menjadi bimbang bahawa akhbar berkenaan akan menyiarkan berita mengenainya semula.

Majalah BusinessInsider.com mendakwa, Zuckerberg kemudian memberitahu seorang rakannya bahawa dia telah menggodam akaun kakitangan akhbar The Crimson.

Zuckerberg didakwa memberitahu rakannya itu bahawa dia menggunakan TheFacebook.com untuk mencari anggota yang merupakan kakitangan akhbar The Crimson.

Dia kemudian memeriksa satu laporan mengenai kesilapan kata masuk untuk melihat jika terdapat sebarang anggota-anggota akhbar The Crimson telah menggunakan kata laluan yang tidak betul ke dalam TheFacebook.com.

Majalah itu mendakwa bahawa Zuckerberg pernah berkata bahawa dia cuba menggunakan kata laluan yang tidak betul untuk mengakses e-mel akaun anggota-anggota pelajar Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

Dalam dua kejadian, majalah itu mendakwa, dia berjaya dan mampu untuk membaca e-mel antara kakitangan akhbar The Crimson yang membincangkan kemungkinan untuk menulis artikel berhubung tuduhan yang berlaku ke atas dirinya.

Dengan perkataan lain, dakwa majalah itu, Zuckerberg dilihat menggunakan data masuk peribadi dari TheFacebook untuk menggodam ke dalam e-mel akaun berasingan daripada beberapa pengguna TheFacebook.

Ia bukannya kali pertama Zuckerberg melanggar privasi.

Dalam satu artikel berasingan, majalah itu menuduh bahawa Zuckerberg telah menggodam beberapa saingannya di HarvardConnection.com - iaitu pada Mei 2004, ia dinamakan semula ConnectU.

Walaupun Facebook telah popular pada musim panas 2004 dengan mencapai berjuta-juta pengguna, Zuckerberg, menurut majalah tersebut masih berasa bimbang mengenai persaingannya itu.

Kebimbangan itu menyebabkannya menggodam ke dalam laman ConnectU dan membuat beberapa perubahan bagi memperbanyakkan profil pengguna termasuk salah seorang daripada pengasasnya dan seorang rakan yang menuduhnya mencuri idea Facebook, Cameron Winklevoss.

Majalah BusinessInsider.com menuduh Zuckerberg mencipta satu akaun palsu yang dipenuhi dengan maklumat palsu Winklevoss.

Zuckerberg turut didakwa memasuki akaun beberapa pengguna ConnectU dan mengubah setting privasi yang dilihat untuk menjadikan sukar bagi orang ramai mencari rakan di rangkaian itu.

Majalah itu mendakwa, Zuckerberg menjadikan 20 akaun ConnectU tidak aktif.

Apabila Facebook didekati dengan banyak dakwaan oleh majalah BusinessInsider.com, syarikat tersebut memberitahu akhbar Mail Online di Britain: "Kita tidak akan berbahas mengenai pergelutan perbicaraan dan sumber-sumber tanpa nama yang mahu menulis semula sejarah awal Facebook atau memalukan Zuckerberg dengan beberapa tuduhan." - Agensi

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 8 Mac 2010

Tidak semua antivirus selamat

KUALA LUMPUR — Jika anda rasa komputer anda dan datanya benar-benar selamat dengan sentiasa mengemaskini perisian anti virus, anda sebenarnya salah, kata seorang pakar virus komputer.

Menurut Naib Presiden Symantec Hosted Services Group (Asia-Pacific and Japan) Bjorn Engelhardt (gambar), jumlah virus dan spam yang amat besar di internet menjadikannya mustahil untuk mana-mana proram anti virus mengesan dan mengawal perisian malware tersebut. - Bernama

Charge juara Konvensyen Kumpulan Inovatif, Kreatif

DZULKIFLI (empat dari kanan) bergambar dengan Kumpulan Charge, johan keseluruhan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif peringkat IPTA di Kota Bharu baru-baru ini.

KREATIF.Kumpulan Charge dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul johan keseluruhan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kota Bharu, baru-baru ini.

Ia dianjurkan oleh Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.

Kumpulan itu membentangkan projek bertajuk 'Kelewatan Mengesan Kerosakan Prob di Makmal Pengajaran', dipertandingkan di bawah kategori teknikal melibatkan tujuh anggota dengan fasilitator, Farizah Ansarudin.

Anugerah Inovasi Terbaik (kategori pengurusan) disandang oleh kumpulan V-Time dari USM, manakala Anugerah Inovasi Terbaik (kategori teknikal) diperoleh oleh Kumpulan Solve dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abd. Razak.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 5 Mac 2010

Kereta elektrik buatan tangan

GAMBAR menunjukkan sebuah kereta elektrik buatan tangan yang dikeluarkan dari sebuah garaj di bandar Toyama pada 24 Februari lalu.

TOYAMA, Jepun - Banyak syarikat gergasi automotif di dunia membelanjakan jutaan ringgit untuk mengeluarkan kereta elektrik mesra alam.

Namun, sebuah syarikat kecil di Jepun mengambil pendekatan berbeza apabila mengeluarkannya dengan menggunakan tangan.

Takeoka Jidosha Kogei merintis perniagaan itu sejak 1981 dengan membina kereta mini untuk golongan kurang upaya, sebelum membuat kereta elektrik pada tahun 1990-an dengan bantuan syarikat elektrik tempatan.

Bisnes keluarga itu ialah mengeluarkan kereta di sebuah bengkel di kaki bukit bersalji di Toyama, Jepun.

Pengeluaran kereta itu melibatkan beberapa mekanik yang sibuk menyiapkannya dengan menggunakan tangan.

Kereta elektrik model T-10 yang dikeluarkan itu mempunyai satu tempat duduk itu cukup untuk menempatkan seorang pemandu dewasa, selain ruang ekstra bagi binatang peliharaan kecil sebagaimana diminta oleh pelanggan.

Berbentuk kotak, kereta dua pintu itu berwarna hijau, putih, merah dan kuning dan dijual pada harga AS$9,600 (RM32,376) seunit.

Angka jualannya ialah sekitar 100 unit setahun.

Sama seperti kereta elektrik yang lain, ia menggunakan bateri lithium-ion dan boleh dicaj dari soket elektrik konvensional. - AFP

Rabu, 3 Mac 2010

Robot bola sepak pikat penonton

SEBAHAGIAN orang menyaksikan tiga robot bermain bola sepak di pameran CeBIT, Hanover semalam.

HANOVER, Jerman - Cuma tinggal kurang 100 hari sebelum kejohanan bola sepak Piala Dunia membuka tirai di Afrika Selatan namun semalam orang ramai di sini terpegun menyaksikan kelincahan empat robot kecil bermain bola sepak.

Empat robot itu yang tingginya kira-kira 60 sentimeter dan dinamakan Rajesh, Penny, Sheldon serta Leonard merupakan sebahagian pasukan B-Human yang memenangi kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Robot di Austria pada tahun lalu.

Robot-robot itu mempamerkan kehandalan pada satu perlawanan pertunjukan di CeBIT iaitu pameran teknologi tinggi terbesar di dunia.

Seorang kakitangan Universiti Bremen yang terlibat dengan pengeluaran robot pasukan B-Human, Wiebke Sauerland berkata, ia menggunakan teknologi pengecaman warna dan garisan untuk 'melihat' bola (jingga), padang (hijau) dan gawang (kuning serta biru).

Menurut wanita itu, berpandukan garisan putih di padang, robot berkenaan dapat mengesan posisinya sekali gus menyesuaikan pergerakan ke arah bola.

Robot itu akan menendang bola ke arah pintu gol apabila berada hampir dengan gawang.

"Anda memprogram mereka (robot-robot tersebut) dan mereka akan melakukan seperti yang diarahkan," kata Sauerland.

Pasukan B-Human akan menyertai kejohanan Piala Dunia Robot 2010 di Singapura pada 19 Jun depan.

"Anda boleh memiliki robot bola sepak ini jika anda sanggup membayar AS$13,500 (RM45,600)," tambahnya. - AFP

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 3 Mac 2010

MOSTI: Bina pusat sains di Sabah, Sarawak

ALOR SETAR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencadangkan kepada kerajaan membina dua lagi Pusat Sains Negara (PSN), masing-masing satu di Sabah dan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Menterinya, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata, pembinaan PSN itu selaras dengan rancangan Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 27 Januari lepas.

Katanya, pembinaan pusat-pusat itu bakal memupuk dan merangsang kreativiti serta inovasi mereka yang berada jauh dari PSN di Kuala Lumpur bermula dari peringkat awal.

Cawangan pertama PSN di luar Kuala Lumpur berharga RM30 juta yang dilengkapi dengan peralatan canggih itu mula beroperasi pada 1 Julai tahun lepas dan ia sehingga kini sudah dilawati lebih 130,000 pengunjung. - Bernama

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 1 Mac 2010

Angkasa adakan Kem Alami 14-16 Mac

 

KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Negara (Angkasa) akan mengadakan program Kem Alami mulai 14 hingga 16 Mac ini bagi menarik lebih ramai pelajar meminati bidang sains angkasa.

Program berbentuk perkhemahan tiga hari dua malam dan terbuka kepada murid berumur 10 hingga 12 tahun itu akan diadakan di Planetarium Negara.

Bertemakan sains angkasa, tujuan utama program ini adalah memberi peluang kepada murid berekreasi dalam suasana sains angkasa sambil menimba pengetahuan, kata Angkasa dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, ia juga sebagai transformasi pembelajaran subjek astronomi dan sains angkasa yang dipelajari di sekolah yang akan mendekatkan lagi pelajar realiti sebenar bidang angkasa.

Pelbagai aktiviti dirancang untuk program itu seperti ”Lets Fly to Space”, ”Mars Treasure Hunt”, ”Zoo In The Sky” dan Pencerapan Musytari.

Penyertaan adalah terhad dan tarikh tutup ialah 12 Mac ini.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 03-22734303 atau melayari portal www.angkasa.gov.my/planetarium. – Bernama

Vaksin halal meningokokus

DZULKIFLI ABDUL RAZAK (lima dari kanan) dan Francisco Dominguez Alvarez (enamdari kanan) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian untuk membangunkan vaksin halal penyakit meningokokus di Kedutaan Besar Malaysia di Havana baru-baru ini.

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) melalui jaringan strategiknya dengan Institut Finlay dari Cuba mencipta sejarah dalam bidang pengajian tinggi apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk membangunkan vaksin halal pertama bagi penyakit meningokokus yang dikenali sebagai tetravalent meningococcal ACW135Y vaccine.

Perkara itu diputuskan menerusi majlis menandatangan memorandum perjanjian oleh kedua-dua pihak di Kedutaan Besar Malaysia di Havana, Cuba pada satu majlis yang turut disaksikan oleh Ketua Penasihat Saintifik Majlis Negara Republik Cuba, Dr. Fidel Castro Diaz-Balart dan Duta Besar Malaysia ke Republik Cuba, Yean Yoke Heng.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Presiden Institut Finlay, Francisco Dominguez Alvarez.

Melalui perjanjian tersebut, Sanggar Sains, anak syarikat sepenuhnya milik USM, akan berperanan dalam mengkomersialkan vaksin tersebut.

Kerjasama seumpama itu merupakan detik paling bersejarah buat kedua-dua pihak khususnya dalam menyelesaikan kemelut kesihatan ekoran penularan penyakit meningokokus yang banyak melanda rakyat di negara-negara membangun dan mundur.

Dzulkifli dalam satu kenyataan berkata, kerjasama di antara USM dengan Institut Finlay bermula sejak lapan tahun lalu dan sepanjang berkolaborasi, kedua-dua pihak telah membangunkan pelbagai jenis penyelidikan, antaranya berkenaan penyakit turbekulosis.

Katanya, penyelidikan turbekulosis yang terdahulu telah memberi pelbagai manfaat khususnya dari aspek pertukaran kepakaran, staf dan para pelajar di antara USM dan institusi pengajian tinggi Cuba itu.

"Perkembangan baru ini yang melibatkan cabang penyelidikan lain nyata menjadi satu lagi inisiatif kita dalam membangunkan nasib golongan bottom billion, sekali gus meletakkan nama Malaysia sebagai antara pengeluar vaksin halal terkemuka di pentas global,'' katanya.

Sementara itu, Francisco Dominguez pula berkata, kerjasama yang sekian lama terjalin itu akan sentiasa diteruskan dan kedua-dua pihak akan meneroka peluang-peluang penyelidikan baru demi manfaat masyarakat di negara-negara membangun dan mundur.

"Visi dan matlamat di antara USM dengan Institut Finlay tidak jauh berbeza iaitu untuk mencari penyelesaian efektif dan boleh diakses penduduk negara-negara miskin yang amat memerlukan bantuan dan sokongan," jelas beliau.

Tambah beliau, selain mencari penyelesaian, kerjasama itu juga dapat mengembalikan kegemilangan teknologi dan tamadun Islam sebaris dengan penghasilan yang dicipta oleh barat.

Penyakit meningokokus adalah penyakit jangkitan bakteria serius yang disebabkan oleh sejenis bakteria dikenali sebagai Neisseria meningitidis.

Ia menjadi penyumbang utama kepada jangkitan bakteria meningitis kepada kanak-kanak di seluruh dunia yang berumur dalam lingkungan dua tahun hingga 18 tahun yang jika tidak menerima kaedah rawatan sempurna boleh membawa kepada maut.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 26 Februari 2010