Selasa, 15 November 2011
E-Mel Spam
Pengguna internet yang biasa menggunakan e-mel sudah tentu pernah menerima e-mel spam. Spam adalah e-mel yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali yang biasanya cuba untuk menjual sesuatu barangan atau perkhidmatan. Spam juga biasa dihantar dengan tujuan memperdaya.
Bahagian Aduan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ada menerima satu aduan berkenaan e-mel spam. Pihak yang menghantar e-mel tersebut telah menjanjikan sejumlah wang yang banyak sebagai bayaran perkhidmatan kepada pengadu sekiranya bersetuju membantunya. Pengadu hanya memberikan nombor akaun bank dan nama penuhnya.
Menurut penulis e-mel tersebut yang dikatakan berasal dari benua Afrika, sejumlah wang telah diwarisinya dan perlu dikeluarkan dari negara tersebut yang sedang berhadapan dengan masalah perang saudara. Penulis e-mel menyatakan nyawanya sedang terancam dan wang tersebut perlu dikeluarkan dari negara tersebut sebelum diketahui oleh puak pelampau di negaranya. Pengadu telah dijanjikan 30 peratus daripada jumlah wang yang berjaya dipindahkan.
Tindakan KPDNHEP
KPDNHEP telah menasihati pengadu untuk tidak mempercayai e-mel sedemikan. E-mel serupa ini telah membanjiri pengguna e-mel semenjak sekian lama. Isi e-melnya adalah serupa, iaitu penulis berasal dari satu negara Afrika, yang sedang mengalami kancah perang saudara. Sejumlah wang yang banyak dalam dollar Amerika telah diwarisinya dan perlu dikeluarkan ke luar negara. Mangsa akan ditawarkan sejumlah wang yang besar untuk melakukan beberapa perkara yang mudah.
Selepas berkomunikasi beberapa kali melalui e-mel, mangsa akan dimaklumkan bahawa terdapat kos beberapa ribu dollar Amerika yang perlu dibayar terlebih dahulu sebelum wang itu dipindahkan. Mangsa yang telah berjaya dipengaruhi itu, tidak akan teragak-agak untuk membayar sejumlah wang apabila memikirkan jutaan wang yang bakal dimilikinya.
Setelah membuat bayaran, penulis e-mel tersebut akan menghilangkan diri. Dengan hanya berdasarkan alamat e-mel, adalah sukar mengesan pihak yang membuat angkara itu. Apa yang boleh dilakukan adalah hanya mewujudkan kesedaran agar pengguna Malaysia bijak membuat keputusan dan boleh membezakan yang benar dan palsu.
Nasihat KPDNHEP
Selalu berpegang kepada prinsip bahawa jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu menarik, kemungkinan besar ia adalah palsu. Penipuan melalui e-mel seperti ini sudah lama wujud. Kewujudannya sehingga sekarang bermakna masih terdapat ramai mangsa di luar sana yang tertipu. Ceritanya mungkin berubah sedikit kepada janji peluang perniagaan, janji untuk membuat kebajikan dengan duit yang diberi dan sebagainya, tetapi tujuan dan modus operandinya adalah sama.
Selain menipu wang, mereka juga boleh mencuri identiti mangsa melalui maklumat yang diterima melalui e-mel. Maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor akaun bank boleh disalahgunakan dengan mudah.
Oleh itu, pengguna dinasihati untuk sentiasa berhati-hati apabila berurusan dengan orang yang tidak dikenali yang menjanjikan keuntungan yang tidak berasas, sama ada dalam talian ataupun secara berhadapan. Berikut adalah beberapa laman web yang menceritakan kaedah sindiket ini berfungsi sebagai rujukan.
http://www.consumerfraudreporting.org/anatomy of a payment scam wills.php, http://www.polyarchy.org/africa/cheaters.lootersJ 2006.html, http://www.419eater.com/
Dicuplik dari Buletin Pengguna edisi November 2008.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan