Rabu, 13 Julai 2011

Pengklonan dari sudut syarak


1. LATAR BELAKANG DAN ISU

1.1 Isu timbul ekoran daripada masyarakat pada hari ini yang berhadapan dengan isu pengklonan manusia yang telah menimbulkan beberapa persoalan rumit terutama dari sudut agama, akhlak dan nilai-nilai kehidupan manusia secara keseluruhannya.

1.2 Sehubungan itu fatwa perlu diadakan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pengklonan manusia dan pengklonan tujuan perubatan dari sudut syarak.

1.3 Definisi Pengklonan Manusia

1.3.1 Perkataan 'klon' sebenarnya berasal dari bahasa Yunani, ' klwn' yang bermaksud tunas. Definisi ini menggambarkan keadaan asal proses pengklonan di mana ianya adalah proses pembiakan yang normal di kalangan tumbuh-tumbuhan dan sel-sel mikroorganisma. Sebab itulah cara pembiakan ini juga dipanggil 'vegatative reproduction' atau pembiakan tumbuh-tumbuhan. Oleh kerana cara pembiakan ini tidak melibatkan apa-apa perlakuan seks, ianya dikategorikan sebagai 'asexual reproduction' iaitu pembiakan tanpa seks.

1.4 Jenis Pengklonan

1.4.1 Kaedah atau teknik pengklonan terbahagi kepada dua, iaitu :

1. Pengklonan janin atau embrio (embryo cloning):
Pada hakikatnya, kaedah pengklonan janin atau embrio telah bertahun-tahun digunakan ke atas haiwan ternakan bagi menghasilkan ternakan yang lebih kuat bakanya. Eksperimen juga pernah dijalankan ke atas janin manusia dengan menggunakan kaedah ini.

Menurut para saintis pengklonan janin amat penting kerana beberapa sebab. Antaranya, ia dapat membantu meningkatkan pengetahuan manusia tentang pembiakan sel kanser dan lain-lain penyakit genetic seperti penyakit 'Parkinson' dan 'cystic fibrosis', yang membahagi pada kadar yang serupa dengan pembiakan sel-sel janin. Dengan adanya kaedah pembiakan sel-sel janin. Dengan adanya kaedah pengklonan janin ini, saintis tidak lagi perlu bergantung kepada janin-janin yang diambil dari klinik-klinik kesuburan untuk melakukan uji kaji. Ia juga dapat mengurangkan penggunaan janin-janin asal.

2. Pengklonan dengan menggunakan teknik pemindahan nukleus ( nuclear transfer technology )
Kaedah pengklonan jenis kedua ini agak sensasi kerana sebelum tahun 1997 apabila saintis mengumunkan tentang kaedah yang digunakan bagi mencipta seekor kambing dinamakan Dolly, belum pernah seekor mamalia dilahirkan hasil dari penggunaan teknik tersebut. Kaedah pengklonan inilah hangat diperkatakan dan menimbulkan reaksi negatif apabila dicadangkan agar digunakan bagi menghasilkan manusia.

1.4.2 Saintis telah membahagi dua kaedah yang dijanjikan oleh pengklonan DNA dewasa melalui teknik 'nuclear tranfer' iaitu :

i. Bagi tujuan pembiakan ( Reproduction reasons). Kaedah pengklonan ini berbeza dengan pengklonan janin. Pengklonan DNA dewasa dibolehkan melalui teknologi 'nuklear tranfer' atau pemindahan nukleus. Setakat ini belum ada manusia yang diklon melalui kaedah ini. Namun begitu, para saintis begitu ghairah untuk menggunakan teknik ini bagi menghasilkan klon manusia.

ii. Bagi tujuan perubatan (Therapeutic benefits). Para saintis mengatakan bahawa faedah yang bakal diperolehi dari pengklonan DNA Dewasa untuk Tujuan Perubatan menjanjikan pelbagai kebaikan dan tidak patut dihentikan. Menurut mereka, ia berbeza daripada pengklonan untuk tujuan reproduksi. Antara faedah dijanjikan termasuk ;

a) Bagi memperolehi 'stem cell' yang akan membantu pertumbuhan sel baru;
b) Bagi mencipta oragan-organ penting;
c) Membantu mengubati pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan air tulang sum-sum;
d) Membantu meningkatkan pengetahuan tentang penyakit-penyakit genetik.

2. HUJJAH DAN DALIL

2.1 Pengklonan untuk tujuan pembiakan manusia hukumnya adalah haram

2.1.1 Perubatan Pengklonan manusia bertentangan dengan syarak dan akan menjatuhkan darjat manusia seperti haiwan dan melawan janji Allah S.W.T. Seperti firman-Nya:

Maksudnya ;

"Sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah kami ciptakan"
(Al-Isra';70)

2.1.2 Gambaran yang lebih jelas telah diberikan dalam firman Allah S.W.T.
Maksudnya ;
"Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati ( yang berasal) dari tanah. Kemudian kami jadikan pati itu air benih ( yang disimpan) didalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian kami diciptakan air benih itu menjadi segumpal darah lalu dari segumpal darah itu kami jadikan seketul daging lalu dari segumpal daging itu kami jadikan tulang lalu dari tulang itu kami baluit dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta".
(Al-Mu'minum : 12-14)

2.1.3 Kejadian manusia bermula daripada tanah kemudian ditiupkan ruh sehinggalah sempurna kejadiannya. Mereka kemudian dipertanggungjawab dengan tugas-tugas agama.Justeru pengklonan manusia sebagaimana yang dilakukan ke atas binatang akan menjadikan manusia sama seperti binatang sedangkan Allah S.W.T. menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dan diberikan tanggungjawab untuk mentadbir dunia ini dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya :
"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya ( berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

2.1.4 Pengklonan untuk tujuan pembiakan akan memberikan implikasi yang buruk bukan sahaja kepada individu terlibat tetapi juga kepada masyarakat. Akibatnya, tiada ikatan kekeluargaan yang mengikat dari segi undang-undang atau syarak. Ini bukan sahaja akan menafikan hak si anak malah akan menimbulkan komplikasi jika si ayah atau ibu tidak lagi ingin bertanggungjawab terhadap anak tersebut. Kedudukan anak serta ibu tidak terjamin dari segi nafkah, harta pusaka jika berlaku perpisahan atau kematian.

2.1.5 Bagi wanita yang tidak berkahwin, kebenaran penggunaan kaedah ini bagi membolehkan mereka mendapatkan anak juga tidak boleh dibenarkan. Ia akan menambahkan masalah ibu tunggal dan menidakkan hak seorang anak untuk mendapat kasih sayang seorang ayah. Dan yang paling ditakuti, kaum lelaki tidak lagi diperlukan kerana pembiakan tidak lagi melalui sperma. Perhubungan seksual akan dijadikan bahan permainan, hanya untuk memenuhi nafsu manusia. Disamping itu, pembiakan cara ini akan melemahkan spesis manusia Dan mendedahkan kepada bahaya kepupusan. Ini kerana ketiadaan homogeniti akan menyebabkan sesuatu populasi itu lemah secara genetik.

2.1.6 Membenarkan pengklonan manusia dalam kes-kes di atas turut akan merosakkan masa hadapan anak tersebut. Ia juga akan memusnahkan institusi kekeluargaan melawan fitrah manusia yang telah ditetapkan Allah S.W.T.Firman Allah S.W.T:

Maksudnya :
"Agama Allah", iaitu agama yang Allah ciptakan manusia ( dengan keadaan yang bersedia dari semula jadinya lagi) untuk menerimanya ; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu ; itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".
(Al-Rum : 30)

2.1.7 Bagaimana pula dengan pengklonan antara suami isteri?
Kaedah ini juga tidak boleh dibenarkan kepada pasangan suami isteri kerana beberapa sebab :
Pertamanya, dari segi saintifik, status anak yang dilahirkan hasil dari kaedah pengklonan sebenarnya bukanlah 'anak' kepada pemberi nukleus terbabit. Sebaliknya, klon yang dihasilkan adalah "kembar seiras" yang dilahirkan pada waktu terlewat oleh orang yang berbeza. Dengan sebab itu, jika nukleus diambil dari bapa, pada hakikatnya dia bukanlah 'bapa' kepada anak tersebut tetapi adalah kembar awal anak tersebut. Ini seterusnya menimbulkan implikasi terhadap status perwalian, nafkah, harta pusaka, penentuan aurat dan sebagainya.

2.1.8 Jika ovum wanita lain pula digunakan dalam proses pengklonan tersebut, lebih banyak lagi masalah yang akan timbul. Selain daripada kesamaran status suami dengan anak tersebut, status penderma telur juga boleh dipertikaikan. Malah status ibu yang mengandungkan anak juga dalam kesangsian.
Kesamaran ini akan lebih terserlah jika kita amati firman Allah menerangkan dengan jelas:

Maksudnya :
"Wahai manusia takutlah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya- Hawa) dan membiakkan dari kedua-dua zuriatnya keturunan lelaki dan perempuan yang ramal".
(An-Nisa' : 1)

Firman Allah S.W.T. lagi :

Maksudnya:
"Dan Dialah Tuahn yang menciptakan manusia daripada air lalu dijadikan (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (Persemendaan) dan sememangnya Tuhanmu berkuasa ( menciptakan apa jua yang dikehendaki)"
(Al-Furqan :54)

2.1.9 Malahan sebanyak sebelas ayat tentang penciptaan manusia menegaskan bahawa dicipta daripada 'nutfah', genetik, sperma juga bertanggungjawab menentukan jantina seseorang itu. Walaupun kepentingan telur itu tidak dapat dinafikan, namun adalah jelas bahawa nasab datangnya daripada lelaki, melalui sperma. Di samping membawa separuh daripada informasi genetic, sperma juga bertanggungjawab menentukan jantina seseorang itu.

2.2 Perbuatan mengklon janin manusia untuk tujuan kajian kemudian janin tersebut dimusnahkan sebelum tempoh 120 hari hukumnya adalah harus.

2.2.1 Perbuatan mengklon janin manusia untuk tujuan kajian kemudian janin tersebut dimusnahkan sebelum tempoh 120 hari hukumnya adalah harus. Ini bersandarkan kepada pandangan para fuqahak mengenai hukum pengguguran kandungan sebelum sempurna 120 hari ( 4 bulan) iaitu :
i. Harus tanpa keuzuran. Ini adalah pendapat sesetengah ulamak Mazhab Syafi'i dan sesetengah Mazhab Hanafi
ii. Harus ketika adanya keuzuran dan makruh jika tiada keuzuran.
iii. Makruh. Ini pendapat sesetengah ulamak Maliki.
iv. Haram tanpa keuzuran. Ini adalah pendapat yang muktamad daripada Mazhab Maliki dan Mazhab Syafi'i.
(Lihat Kitab Ahsan al-Kalam fi al-fatawa wa Al-Akham oleh Fadhilah Syeikh Attiyyah Saqr, Cetakan Pertama t.t.Dar al-Ghad, Qahirah hal : 369-372)

2.3 Perbuatan mengklon manusia untuk mengambil sum-sum tulang atau mana-mana organ pada manusia yang telah diklonkan hukumnya haram kerana pengklonan ini telah melahirkan manusia yang cukup sifatnya.Menurut Mufti Mesir, Dr Nasr Farid Wasil dalam sidang akhbarnya pada 30 Jun 2001 bahawa manusia tidak harus dijadikan bahan percubaan seperti mana yang dilakukan kepada tumbuh-tumbuhan, binatang dan batu batan. Ini kerana Allah S.W.T. telah melantik manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi dan manusia telah dijadikan lebih mulia daripada segala makhluk yang lain. Kejadian manusia bermula daripada tanah kemudian ditiupkan ruh sehingga sempurna kejadiannya. Mereka kemudian dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas agama. Justeru pengklonan manusia sebagaimana yang dilakukan ke atas binatang akan menjadikan manusia sama seperti binatang sedangkan Allah S.W.T. menjadikan manusia sempurna dan diberi tanggungjawab untuk mentadbir dunia ini dengan sebaik-baiknya.

2.4 Pengklonan untuk tujuan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu nagi menggantikan organ yang telah rosak hukumnya adalah harus.Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Singapura, pengklonan bagi menghasilkan organ gantian untuk kajian perubatan atau menggantikan organ yang telah rosak adalah diharuskan. Walaupun para saintis masih di peringkat percubaan dan kajian dalam bidang ini, ia mungkin akan menjadi kenyataan pada masa hadapan. Sekiranya projek ini berjaya, seseorang yang mengalami masalah untuk mendapatkan ganti jantung atau ginjal yang telah rosak.

KEPUTUSAN
Setelah meneliti beberapa pandangan yang dikemukakan oleh ahli hukum pengklonan pembiakan manusia dan pengklonan tujuan perubatan dari sudut syarak telah difatwakan dengan sighahnya sebagaimana berikut :

i. Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah S.W.T.; dan

ii. Penggunaan 'stem cell bagi tujuan perubatan dan kajian, yang diambil bukan dari proses pengklonan adalah diharuskan selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

( Muzakarah Fatw Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke - 51 pada 11 Mac 2002 )

Tiada ulasan: