Rabu, 23 Julai 2014

Teknologi insinerator

Movinggrate.jpg

Bahan buangan dibakar menggunakan teknologi insinerator.

"Movinggrate" by Original uploader was Claush66 at en.wikipedia - Transferred from en.wikipedia. Licensed under Public domain via Wikimedia Commons.


Teknologi insinerator ialah kaedah untuk memproses bahan-bahan buangan pepejal dan industri melalui proses pembakaran.

Abu daripada sampah yang telah dibakar akan dikitar semula untuk dijadikan pelbagai produk pengguna.

Teknologi ini juga dapat menjana tenaga elektrik.

Ia juga dapat mengurangkan pemanasan global dan pencemaran alam sekitar.

Teknologi insinerator telah digunakan di Singapura, Jepun, Taiwan, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

- Kosmo!, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ahad, 12 Januari 2014

Teknologi Solar Hibrid

Panel solar yang akan menyerap cahaya matahari dan menukarkannya kepada tenaga elektrik
Panel solar yang akan menyerap cahaya matahari dan menukarkannya kepada tenaga elektrik.

Sistem solar hibrid beroperasi dengan kombinasi solar panel dan generator serta dikawal menggunakan Sistem Pemantauan Jarak Jauh (Remote Monitoring System).

Elektrik yang dijana melalui panel solar digunakan pada waktu siang dan lebihan disimpan dalam bateri untuk digunakan kala tiada sinaran matahari.

Sistem matahari yang memancar pada waktu siang diserap oleh panel solar fotovolta (PV).

Haba yang diserap memberi tenaga getaran pada butiran zarah dalam panel sekali gus menghasilkan tenaga elektrik arus terus (DC).

Tenaga elektrik yang dituai oleh panel solar PV ditukar daripada DC kepada AC menggunakan penyongsang (inverter) melalui Solar Charge Medium (SCM) untuk kegunaan rumah dan sekolah.

Bekalan elektrik arus AC disalurkan kepada rumah atau sekolah manakala lebihan tenaga disimpan dalam bateri untuk kegunaan pada waktu malam.

Sebanyak 120 unit bateri yang mampu menampung kapasiti penyimpanan elektrik pada tahap maksimum iaitu 540 kilowatt perjam.

Jika penyimpanan maksimum dibuat dan tiada penyerapan haba matahari daripada panel solar, bateri-bateri itu mampu memberikan bekalan tenaga selama 10 hari.

Bater-bateri tersebut merupakan bateri asid berplumbum dan boleh dikitar semula.

Jangka hayatnya mampu bertahan paling kurang 10 tahun dan boleh dipanjangkan dengan penyelenggaraan yang baik serta berkala.

Sebiji bateri berharga kira-kira RM3,000.

Solar hibrid menjana tenaga elektrik menggunakan nisbah 70 peratus daripada panel solar dan 30 peratus lagi dijana oleh generator serta dikendali secara automatik tanpa pengawasan pengendali.

Pada hari-hari kurang pancaran matahari dan simpanan tenaga dalam bateri kehabisan, generator akan berfungsi sendiri bagi memastikan elektrik dibekalkan selama 24 jam.

Panel solar menyerap haba pada kapasiti 3.5 jam dalam tempoh sehari. Selebihnya, penyerapan masih berlaku tetapi tidak 100 peratus.

Jika dijumlahkan masa penyerapan maksimum secara keseluruhan dalam sebulan, lebih kurang empat hari panel solar PV dapat mengutip haba daripada pancaran cahaya matahari.

Sistem solar hibrid merupakan kaedah yang terbaik dalam membekalkan tenaga elektrik ke kawasan pedalaman kerana penggunaan generator sahaja meningkatkan risiko kerap terputus bekalan elektrik selain kehabisan diesel.

sumber: Artikel Bantu pembelajaran pelajar luar bandar oleh Adlan Jaafar, Kosmo! 8 Januari 2013, Kampung Sungai Peroh kini bercahaya oleh Adlan Jaafar, Kosmo! 6 Mac 2013.

Selasa, 26 Mac 2013

Simulasi Marikh di Utah


Sebuah padang pasir di San Rafael Swell selatan negeri Utah, Amerika Syarikat dijadikan pusat kajian sama ada manusia boleh meneroka planet Marikh.

Pusat Penyelidikan Gurun Marikh dibina di kawasan tersebut kerana bentuk muka buminya kelihatan mirip di planet itu.

Sekumpulan saintis, pelajar dan peminat planet itu berkumpul di pusat berkenaan untuk mengkaji sama ada manusia boleh meneroka Marikh.

Kajian itu dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Mars Society.

Para sukarelawan yang terlibat dengan kajian tersebut turut memakai pakaian seperti angkasawan semasa mereka berjalan dengan mengambil sampel di kawasan berbukit di padang pasir itu.

Mereka juga berlakon seolah-olah padang pasir ialah planet Marikh.

Sebuah kapsul juga didirikan dan dilengkapi bekalan elektrik, makanan, oksigen dan air dalam jumlah yang terhad.

-Agensi, Kosmo!

Kenderaan robotik Hitachi


Syarikat pengeluar barang berteknologi tinggi, Hitachi mendedahkan sebuah kenderaan robotik yang dikenali sebagai Ropits.

Kenderaan tersebut hanya mempunyai satu tempat duduk.

Para pengguna boleh mengawal pergerakan kenderaan itu di tempat duduk yang dilengkapi dengan alat kawalan.

Kenderaan tersebut dicipta untuk orang tua dan pengguna yang mengalami masalah untuk berjalan.

-Agensi, Kosmo!

Khamis, 7 Februari 2013

Kereta 200cc keluaran India


Sebuah kereta berkuasa 200cc telah dikeluarkan di India.

Kereta tersebut dikeluarkan oleh Bajaj Auto dan hanya mengeluarkan 60 gram karbon dioksida bagi setiap kilometer.

Kereta tersebut diberi nama RE60 dan bergerak sejauh 35 kilometer bagi setiap satu liter petrol.

Beratnya 400 kilogram dan mampu memuatkan seramai empat orang serta mempunyai kelajuan 70 kilometer sejam.

-Kosmo!

Selasa, 22 Januari 2013

Tip selamatkan telefon yang basah


Perkara pertama yang perlu anda lakukan sekiranya telefon bimbit anda basah adalah dengan mengeluarkan bateri serta-merta.

Dengan mengeluarkan bateri daripada telefon bimbit yang basah mampu mengelakkan daripada berlaku litar pintas atau sebarang kesan sampingan.

Bagi telefon bimbit yang mempunyai bateri terbina seperti iPhone, One X dan sebagainya, matikan peranti serta-merta dengan cara menekan butang kuasa.

Sebaik sahaja bateri dikeluarkan, keringkan peranti, bateri dan pelbagai perkakas lain seperti kad-SIM dan mikro-SD dengan menggunakan kain ataupun tuala.

Walaupun air berjaya dihilangkan daripada peranti, kebarangkalian peranti mempunyai kelembapan di bahagian komponen dalaman adalah tinggi.

Gunakan gel silika (silicon gel) untuk mengekalkan kekeringan. Sekiranya ia sukar didapati, gunakan beras sebagai alternatif.

Tinggalkan peranti di dalam bekas berisi beras antara 24 ke 72 jam.

Hidupkan kembali peranti setelah didapati ia telah kering. Walaupun kaedah ini adalah cara yang popular namun hasilnya tidak semestinya baik.

-Kosmo!, amanz.my

Fatimah cipta alat kesan denggi pertama di dunia

FATIMAH menunjukkan paparan di skrin komputer bagaimana cakera padat ciptaannya boleh mengenal pasti dan mengasingkan virus denggi dengan hanya menekan satu punat. Hasilnya pula boleh diperolehi dalam masa singkat.

PENYAKIT demam denggi adalah satu penyakit berjangkit yang sangat merbahaya dan boleh bembawa maut. Bermula dengan satu gigitan nyamuk Aedes betina, penawar bagi virus flavivirus yang menjadi punca demam denggi sejak 232 tahun lalu, masih belum ditemui hingga ke hari ini.

Virus ini akan terpendam di dalam badan pesakit, puratanya selama empat hingga enam hari sebelum mangsa jangkitan menunjukkan tanda-tanda seperti sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan bacaan pada sel darah pembeku atau platelet.

“Lazimnya, sekitar lima hari selepas digigit nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas diiringi dengan simptom,” ujar perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh.

Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam, ketika pesakit beransur sembuh.

Secara klinikalnya, bilangan platelet akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ketiga di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya kerana kapilari darah menjadi rapuh.

Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.

Jelas Mat Rifin, demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa. Pada fasa pertama iaitu pada hari pertama hingga hari ketujuh jangkitan, mangsa berisiko mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.

“Memasuki fasa kedua atau fasa kritikal iaitu hari ketiga hingga hari ketujuh jangkitan, demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda.

Soal jawab

“Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat empat kategori demam denggi iaitu Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4. Kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama.

“Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini. Serangan kali kedua biasanya lebih teruk kerana imunisasi tubuh tidak hadir untuk semua jenis denggi.

“Lantaran itu, pesakit demam denggi perlu melindungi diri daripada serangan kali kedua kerana ia mungkin memberi kesan lebih serius sehingga boleh membawa maut,” pesannya.

Sebenarnya, sukar untuk membezakan di antara demam disebabkan penyakit virus lain dengan demam denggi atau demam denggi berdarah.

Untuk mengesahkan pesakit itu diserang demam denggi atau tidak, doktor akan melakukan ujian sel darah platelet. Jika jumlahnya kurang daripada 150,000 untuk setiap milimeter padu, dia akan disuspek menghidap demam denggi.

Selepas itu, ujian serologi yang dikenali sebagai kaedah ELISA akan dilakukan dalam makmal untuk mengesan antibodi khusus dalam serum pesakit lima hari selepas menghidap demam. Jika perlu, ujian tersebut harus diulang selepas dua hingga tiga minggu.

Melihatkan senario pengesanan demam denggi yang mengambil masa berhari-hari, sedangkan virus terus menyerang sistem tubuh tanpa henti, seorang jurutera bioperubatan, Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, tampil dengan dua model mendiagnosis demam denggi yang lebih cepat dan efektif.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Informatik Perubatan dan Sistem Mikro-Elektro-Mekanikal (MIMEMS) di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM), memberitahu, satu daripada model tersebut dibangunkan menggunakan alat yang diberi nama bio-impedans yang boleh mengukur komposisi badan seseorang tanpa menggunakan sampel darah.

“Alat ciptaan saya ini boleh mengesan bacaan hemoglobin tidak normal yang biasa dikesan pada pesakit demam denggi.

“Secara tidak langsung, ia dapat membantu doktor mengenal pasti sama ada pesakit itu menghidap demam denggi ataupun tidak tanpa menceroboh tubuh pesakit dengan mengambil darah dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Berdasarkan bacaan bio-impedans tersebut, Fatimah juga telah menghasilkan tiga set soalan yang boleh mengesan kehadiran virus denggi pada pesakit menggunakan model kecerdikan buatan yang direkanya.

“Model kecerdikan buatan ini dihasilkan selepas saya memasukkan banyak maklumat mengenai denggi di dalam komputer sebelum melatih komputer itu untuk mengenal pasti kehadiran virus denggi berdasarkan analisis soalan yang diberikan kepada pesakit.

“Menerusi set soalan ini, doktor sudah boleh mengetahui sama ada pesakit tersebut mengalami perubahan pada bacaan hemoglobin atau tidak.

“Set soalan kedua pula, melalui soalan ringkas yang diberikan kepada pesakit, doktor sudah boleh mengetahui sama ada pesakit tersebut berisiko untuk mendapat denggi berdarah atau sebaliknya.

“Melalui set soalan ketiga, doktor boleh mengetahui tempoh demam pesakit dan pemantauan rapi dapat diberikan memandangkan demam denggi boleh kembali memuncak ketika pesakit beransur sembuh,” katanya yang telah melakukan ratusan analisis denggi dengan pesakit berbeza sebelum berjaya tampil dengan set soalan tersebut.

SEUNIT cakera padat boleh menjadi platform ujian virus denggi kepada 16 hingga 20 pesakit sekaligus.

Cakera padat

Dengan ketepatan analisis sebanyak 87 peratus, model pengesanan denggi ini sangat efektif dalam membantu para doktor memantau pesakit denggi sekali gus mengurangkan risiko kritikal dalam kalangan pesakit.

Selain tiga model soalan tersebut, Fatimah turut mereka cipta satu platform yang dapat mengesan kehadiran virus denggi berdasarkan kaedah serologi ELISA yang mana dapat mengasingkan virus dengan hanya menggunakan sekeping cakera padat yang dilengkapi dengan teknologi pengesan nano.

“Kaedah pengesanan ini memerlukan sampel darah pesakit diambil, tetapi jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding kaedah serologi konvensional. Darah hanya diambil di hujung jari, sama seperti ujian saringan diabetes.

“Darah pesakit kemudian dititiskan di atas cakera padat yang mempunyai beberapa saluran lain yang sudah dimasukkan dengan cairan tertentu yang dapat menenal pasti dan mengasingkan virus dalam masa cukup singkat.

“Dengan menggunakan kaedah ini, hanya 30 minit diperlukan untuk mendapat keputusan yang 95 peratus tepat.

“Jika sampel darah yang sama diuji menggunakan kaedah ELISA, ia boleh mengambil masa sehingga seminggu,” katanya.

Projek perintis yang dijalankan di bawah Skim Geran Penyelidikan Berimpak Tinggi daripada Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan hasil daripada perpindahan teknologi antara UM dengan Universiti Irvine California, Amerika Syarikat.

“Kaedah pengesanan menggunakan cakera padat ini jauh lebih murah dan cepat berbanding kaedah konvensional yang dipraktikkan sekarang.

“Berbanding dengan kelengkapan makmal yang mahal dan ruang lebih besar, pengesanan virus menggunakan teknologi nano ini hanya memerlukan pemain cakera khas yang kecil dan ia boleh dipindahkan ke mana-mana.

“Sekiranya teknologi ini diadaptasi di hospital, saya yakin ia dapat menjimatkan kos, ruang serta tenaga. Apa yang lebih penting, ia mampu mengurangkan jurang masa yang diambil oleh doktor yang mengesan kehadiran virus denggi. Secara tidak langsung, kualiti hidup pesakit dapat pertingkatkan dan risiko dapat dikurangkan,” jelasnya optimis.

Dengan kos pengeluaran alat pemain cakera untuk menganalis darah yang kurang daripada RM1,000, ciptaan ini merupakan yang pertama di Malaysia dan di dunia bagi sektor penyakit denggi.

“Menarik tentang platform cakera padat ini, ia boleh digunakan untuk menguji darah 16 hingga 20 pesakit pada satu masa.

“Kegunaannya bukan sahaja dapat mengesan virus denggi, malah sebanyak 10 ujian penyakit berbeza boleh dilakukan menggunakan cakera padat ini,” ujarnya yang sudah pun memohon paten bagi produk rekaannya itu. Beliau juga mempelawa mana-mana pihak untuk bekerjasama dan mengkomersialkan produknya sekaligus menyumbang kepada kelestarian kehidupan dan kesihatan rakyat di negara ini.

Dicuplik daripada artikel Fatimah cipta alat kesan denggi pertama di dunia oleh Siti Nor Afzan Kasiman, Kosmo! 7 Oktober 2012