Rabu, 9 Mei 2012

Saintis cipta robot memanjat seperti cicak





Para saintis mencipta sebuah robot yang boleh memanjat dinding tegak tanpa menggunakan gam, lekapan dan cecair melekap.


Robot seberat 240 gram itu mempunyai tapak yang diliputi dengan mikrofiber kering yang direka berdasarkan bulu jari kaki cicak.

Cicak boleh bergerak di dinding kerana terdapat bulu terlalu halus yang dikenali sebagai setae.

Tapak robot itu dilengkapi dengan mikrofiber polimer yang selebar 0.017 milimeter dan setinggi 0.01 milimeter.

Rambut manusia hanya setebal 0.1 milimeter.

Robot itu memanjat 3.4 sentimeter pada setiap satu saat. Penerangan mengenai robot itu dijelaskan dalam jurnal Britain, Smart Materials and Structure.

Menurut ketua penyelildik projek itu dari Universiti Simon Fraser di Burnaby, wilayah British Columbia di Kanada, Jeff Krahn, robot itu masih lagi dalam peringkat prototaip.

-Kosmo!

Jumaat, 4 Mei 2012

Saintis hasilkan lapan klon anjing liar

Saintis sel stem Korea Selatan, Hwang Woo-suk (gambar) memperkenalkan lapan klon anjing liar atau koyote dalam satu projek tajaan pihak pentadbiran wilayah Gyeonggi, Korea Selatan.

Woo-suk menghantar klon-klon itu ke sebuah pusat perlindungan haiwan liar di bandar Pyeongtaek, 50 kilometer ke selatan ibu kota Korea Selatan di sini dalam satu majlis yang dihadiri oleh Gabenor Wilayah Gyeonggi, Kim Moon-soo.

Saintis itu pernah dianggap sebagai wira negara sebelum beberapa penyelidikannya bagi menghasilkan sel stem manusia daripada klon embrio didapati palsu.

Namun, kajiannya dalam menghasilkan klon anjing pertama di dunia, Snuppy, pada 2005 disahkan oleh beberapa pakar dan pihak berkuasa.

Satu kenyataan pejabat gabenor berkenaan menyatakan, Hwang mengambil sel-sel kulit koyote yang dimasukkan ke dalam telur seekor anjing untuk mencipta klon haiwan liar tersebut.

Klon koyote pertama dilahirkan pada 17 Jun 2011. Sebelum ini pakar-pakar Korea Selatan telah mengklonkan haiwan lembu, kucing, anjing, babi dan serigala.

Seekor serigala yang diklonkan itu mati pada 2009.

-Kosmo!, AFP

Khamis, 3 Mei 2012

Motosikal guna najis manusia


Sebuah motosikal di Jepun menggunakan najis manusia sebagai sumber kuasa.

Ia yang dinamakan Motosikal Tandas Neo, dibina oleh firma tandas, Toto, dalam usaha membantu mengurangkan asap karbon dioksida sebanyak 50 peratus dalam tempoh enam tahun.

Dilengkapi tanda modifikasi dan makmal bergerak untuk memproses najis, kenderaan beroda tiga itu boleh bergerak selaju 80 kilometer sejam.

Jika semua itu tidak cukup canggih, motosikal berkenaan juga boleh bercakap dan menulis mesej di udara dengan menggunakan sistem pengimejan cahaya.

-Kosmo!, Agensi.

Rabu, 2 Mei 2012

Antivirus cegah kanser

Satu kajian mendedahkan ubat tahan sakit biasa dan dadah antivirus mungkin penting dalam membantu mengekang pertumbuhan kanser berbahaya.

Penyelidik berpendapat bahawa ubat tahan sakit yang digunakan kebanyakan orang berkeupayaan 'mematikan' sistem komunikasi dalaman tubuh badan yang membolehkan tumor kanser membesar.

Kebiasaannya, virus dorman yang ada dalam tubuh badan manusia sehingga 75 peratus populasi dunia mula aktif apabila ia mengesan sel kanser dan proses pembesaran juga akan berlaku dengan pantas.

Namun, penyelidik mendapati kadar pertumbuhan tumor dapat diperlahankan sehingga 72 peratus dengan penggunaan antivirus dan ubat tahan sakit antikeradangan.

Penyelidik di Institut Karolinska Sweden pula menunjukkan rawatan dengan virus dorman biasa, sitomegalovirus (CMV) dipercayai dapat membantu memperlahankan pertumbuhan kanser otak, payudara, usus dan prostat yang membunuh lebih 43,000 rakyat Britain setiap tahun.

"Menerusi eksperimen, kita dapat mengatasi pertumbuhan tumor kanser dengan antiviral yang dapat membuka ruang kepada pendekatan terapeutik di masa akan datang," jelas Profesor Cecilia Soderberg-Naucler (gambar).

-Kosmo!