Kejayaan kenderaan robotik Curiosity mendarat di Marikh pada 6 Ogos 2012 membuka lembaran baharu dalam sejarah penerokaan angkasa lepas oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Pesawat angkasa yang membawa robotik yang dijana dengan kuasa nuklear itu telah mengharungi perjalanan sejauh 227.9 juta kilometer dan mengambil masa lapan bulan sebelum tiba di planet merah tersebut.
Ironinya ia merupakan pendaratan ketujuh yang berjaya dilakukan NASA sejak mengendalikan misi sulung ke Marikh pada tahun 1964 menerusi dua pesawat Mariner 3 dan Mariner 4. Kedua-duanya berlepas dari Bumi pada tarikh 5 dan 28 November tahun itu.
Ia diikuti pendaratan kenderaan bernama Mars 3 di permukaan planet itu pada Disember 1971 namun, peralatannya berhenti berfungsi selepas 20 saat disebabkan kerosakan teknikal.
Kemudian pada Julai dan Ogos 1976, NASA sekali lagi berjaya mendaratkan dua kenderaan Viking 1 dan 2 sekali gus memperoleh imej dan melakukan analisis kimia terhadap tanah di Marikh.
Pada September 1997, pesawat Mars Pathfinder pula mencatat sejarah mendaratkan robot kecil di permukaan planet yang berdebu itu diikuti kenderaan angkasa NASA Spirit dan Opportunity pada Januari 2004.
Akhir sekali NASA Mars Phoenix berjaya melakukan penjelajahan di kawasan Artik Marikh selama 155 hari bermula Mei 2008.
"Kami berjaya menamatkan satu fasa daripada misi ini. Tetapi, bahagian lain baru saja bermula," kata pentadbir NASA, Charles Bolden.
Misi selama dua tahun itu bertujuan untuk Curiosity mencari sebarang tanda kewujudan hidupan selain mempelajari bentuk muka bumi dan geologi di Marikh. Robot pengesan itu akan menggali permukaan planet tersebut dan melakukan beberapa kajian penting yang mungkin membolehkan manusia dapat hidup di Marikh suatu hari nanti.
Pengurus misi dari Makmal Pendorongan Jet NASA di Pasadena, California, Arthur Amador berkata, rover Curiosity telah melakukan pemanduan pertama merentasi permukaan Marikh bagi menjalankan tugas-tugas saintifik.
"Rover ini bakal memulakan perjalanan ke arah destinasi utama di Glenelg, iaitu lokasi terletaknya tiga jenis kawasan rupa bumi bersilang. Kami berharap ia dapat menyediakan sasaran batuan pertama untuk digali dan dianalisis," ujar beliau.
Kos projek misi Curiosity Marikh yang dikendalikan NASA menelan belanja sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).
-Kosmo!, Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan