Jumaat, 13 Julai 2012

Google Translate

Google Translate telah diperkenalkan pada tahun 2006.

Bermula dengan tiga bahasa sahaja iaitu Arab, Rusia dan China dan kini menawarkan 64 bahasa kepada pengguna.

Google Translate menggunakan kaedah terjemahan mesin statistik berasaskan kajian oleh Franz-Josef Och yang memenangi pengiktirafan daripada Agensi Projek-Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Amerika Syarikat (DARPA) pada tahun 2003.

-Kosmo!

Rabu, 11 Julai 2012

Bagaimana telefon berfungsi

Meskipun penggunaan telefon bimbit telah menjadi seperti suatu kemestian pada zaman sekarang, namun masih ada lagi yang menggunakan telefon talian tetap di rumah.

Tidak kira apa jenis telefon yang anda gunakan, ia mesti dilengkapi dengan mikrofon yang membolehkan anda untuk bercakap dengan mereka yang berada di hujung talian. Mikrofon tersebut menukarkan suara anda menjadi arus elektrik dan menghantarnya kepada telafon yang anda hubungi.

Arus elektrik tersebut mengalir melalui wayar sehingga sampai ke telefon yang anda hubungi. Alat pembesar suara pada telefon yang anda hubungi akan menukarkan kembali arus elektrik tersebut kepada bunyi dan orang yang anda hubungi akan mendengar suara anda.

Sekiranya telefon talian tetap menggunakan wayar untuk menghantar bunyi, telefon bimbit pula menggunakan gelombang radio untuk menghantar isyarat.

Sedikit masa dahulu talian telefon disambungkan pada wayar yang diikat pada tiang telefon namun pada zaman sekarang wayar atau kabel telefon tidak lagi diikat pada tiang sebaliknya ditanam di bawah tanah.

New Straits Times, whyzz.com

Khamis, 5 Julai 2012

Sejarah telekomunikasi di Malaysia

Mesin telegraf yang pertama

Sejarah awal telekomunikasi di Malaysia bermula di negeri Perak apabila sistem rangkaian telegraf pertama yang digunakan untuk menghubungkan pejabat Residen British di Kuala Kangsar dengan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke pejabat Majistret di Matang, Perak pada 16 April 1876.

Ini diikuti pada tahun 1886 apabila perkhidmatan telegraf yang mengubungkan Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura diperkenalkan.

Perkhidmatan telefon mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1891 dan pada tahun 1895 telah terdapat 21 buah telefon di Kuala Lumpur yang disokong oleh kira-kira 400 batu talian telefon dan telegraf.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 bidang telekomunikasi terus diperkembangkan dan selepas tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963 sistem rangkaian jauh di Sabah dan Sarawak mula dilaksanakan dengan menggunakan gelombang mikro untuk membawa trafik telefon dan televisyen dari Kudat ke Kuching.

Komunikasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia diwujudkan melalui litar kabel dalam laut Perhubungan Kawat Komanwel SEACOM.

SEACOM yang menghubungkan Kuala Lumpur - Singapura - Kota Kinabalu dilancarkan pada 15 Januari 1965 oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.


Stesen Satelit Bumi Kuantan

Pada awal tahun 1970 sebuah stesen satelit bumi telah dibina di Kuantan, Pahang. Stesen ini telah dirasmikan pada 6 April 1970 oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra.

Dengan adanya stesen satelit ini ia dapat menghubungkan Malaysia dengan dunia luar. Stesen satelit ini dihubungkan dengan satelit di ruang angkasa Lautan Hindi, INTELSAT 3 (Konsortium Satelit Telekomunikasi Antarabangsa) yang merentasi Malaysia dengan India, Indonesia, United Kingdom, Jepun dan Australia.

Pada tahun 1983, komunikasi data pertama diperkenalkan dengan pengenalan perkhidmatan Datel di mana syarikat boleh menyewa litar talian suwa (lease line) peribadi yang menggunakan rangkaian telefon biasa untuk komunikasi data melalui komputer.

Komunikasi tanpa wayar yang menggunakan radio selular mula diperkenalkan pada tahun 1985 apabila perkhidmatan ATUR disediakan oleh Jabatan Telekom Malaysia (JTM). Selepas penswastaan JTM pada tahun 1987, pembangunan telekomunikasi menjadi semakin rancak di bawah Syarkat Telekom Malaysia Berhad (STM) iaitu badan baru yang beroperasi sebagai sebuah syarikat telekomunikasi korporat. STM kini dikenali sebagai Telekom Malaysia (TM).

Pada tahun 1988, Celcom Sdn Bhd telah ditubuhkan di bawah STM Cellular Communication Sdn Bhd yang pada awalnya dimiliki oleh STM atau Telekom Malaysia yang diberi lesen mengendalilkan sistem komunikasi selular.

Celcom kemudiannya dimiliki oleh Technology Resources Industries (TRI) pada 1992 yang terkenal dengan talian 019 dan Celcom kemudiannya kembali berada di bawah naungan Telekom Malaysia.

Pada 28 September 2007, Telekom Malaysia mengumumkan rombakan semula unit komunikasi mudah alihnya termasuk Celcom di mana Celcom dikumpulkan di bawah TM International yang menempatkan beberapa unit mudah alih milik TM yang lain di luar negara lalu menjadikannya entiti perniagaan berasingan. TM International dinamakan semula sebagai Axiata sebagai sebuah konsortium telekomunikasi di Asia Tenggara.

Teknologi telekomunikasi terus berkembang dan berevolusi dengan memasuki era telekomunikasi bertalian dan tanpa wayar dengan kemunculan pelbagai syarikat baru seperti Time, Maxis, Digi dan P1 yang menjadi saingan kepada Celcom dan Telekom Malaysia.

Industri telekomunikasi di Malaysia terus berkembang dengan pengenalan Inisiatif Jalur Lebar Nasional oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 24 Mac 2010.

Industri yang didokongi oleh Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan suatu pelan 'Strategi bagi Pengimplementasian Jalur Lebar Nasional' yang mana asas perlaksanaannya adalah untuk membawa jalur lebar ke serata pelusuk tempat di Malaysia.

Dengan adanya Jalur Lebar Nasional (NBI), kadar penembusan jalur lebar isi rumah meningkat 50% pada akhir 2010. Selain itu, sumbangan 1% kepada KDNK negara dengan mewujudkan 135,000 pekerjaan baharu. Pada Mac 2010, kadar langganan jalur lebar isi rumah di Malaysia adalah 33.2%

Pada masa kini industri telekomunikasi di Malaysia boleh dikatakan antara yang terpesat di rantau Asia Tenggara dan setanding dengan perkembangan telekomunikasi di Singapura, Indonesia dan Thailand.


sumber: Arkib Negara Malaysia, Nor Faizah binti Md Sayuti(Evolusi Telekomunikasi di Malaysia,Buletin JKE Jan-Jun 2011), www.lindaamri.com, exlive3.blogspot.com, wikipedia