Isnin, 17 Disember 2012

Tip keselamatan untuk Windows 8

Windows 8 telah memberikan beberapa tip untuk penggunanya bagi memastikan sistem yang digunakan berada dalam keadaan optimum dan selamat.
  1. Lancarkan aplikasi keselamatan antara muka (interface) untuk Windows 8.  Kebanyakan aplikasi telah dinaiktaraf dan ia akan beroperasi sedikit berbeza berbanding versi lama.
  2. Guna versi antara pengguna gaya Windows 8 untuk Internet Explorer.  Plugin tidak akan diaktifkan dan mengelakkan sebarang serangan Blackhole.
  3. Pastikan perkakas komputer mempunyai logo Designed for Windows 8.
  4. Jadikan aplikasi kawalan sebagai keutamaan.
  5. Layan peranti yang menggunakan Windows RT sama seperti gajet-gajet lain.
  6. Windows kini mempunyai NFC dalam sistem operasinya.  Halang (block) atau tutup sebarang ciri-ciri yang tidak digunakan bagi mengelakkan sebarang kebocoran maklumat.
  7. Matikan pilihan hibernasi dalam polisi berkumpulan pada Windows 8, ia tidak selalunya berfungsi dengan baik apabila penghantaran maklumat.

Bagaimanapun, langkah-langkah lama masih lagi diperlukan untuk beroperasi bersama-sama dengan yang baharu.

-Kosmo!

Khamis, 6 Disember 2012

Sistem televisyen terawal

John Logie Baird mencipta sistem televisyen pertamanya
Televisyen telah wujud sejak 1925. Pada waktu itu John Logie Baird telah memperkenalkan sistem televisyen pertama kepada orang awam. Sistemnya berupa satu peranti mekanikal yang menggunakan cakera berputar yang mencipta imej yang bergerak. Ia telah digunakan untuk siaran awam pertama oleh British Broadcasting Company (BBC) di London pada tahun 1929.

Vladimir Zworkyin
Merentasi Lautan Atlantik, Philo Farnsworth juga mengusahakan suatu sistem yang sama, begitu juga dengan Vladimir Zworkyin. Farnsworth menjalankan demonstrasi pertamanya pada tahun 1927 tetapi dua tahun kemudian dia telah menyingkirkan bahagian yang bergerak dan Farnsworth telah dikreditkan sebagai orang pertama yang menghasilkan sistem televisyen menggunakan elektronik sepenuhnya (beberapa sumber mengatakan bahawa Zworkyin melakukan perkara yang sama sekitar 1928 untuk Radio Corporation of America [RCA] di New York, Zworkyin di pantai timur manakala Farnswoth di pantai barat, dan kedua-duanya melakukan eksperimen untuk perkakasan elektronik daripada televisyen mekanikal).

Pada pertengahan 1930-an, BBC telah menggantikan sistem Baird dengan satu versi elektronik sepenuhnya. Baird dan Farnsworth telah bekerjasama untuk memperkenalkan sistem baharu mereka tetapi BBC hanya memilih satu sistem kompetitif. Siaran pertama BBC telah ke udara dengan program biasa pada tahun 1936 dengan lagu pengenalannya Magic Rays of Light.

Phileo Farnswoth
Di Amerika Syarikat, siaran televisyen pertama bermula pada tahun 1939 dengan pelancarannya di New York World's Fair. Pada pelancaran tersebut, National Broadcasting Company (NBC) yang telah ditubuhkan oleh RCA telah memperkenalkan rangkaian televisyennya WNBT-TV.

Kelewatan sistem televisyen di Amerika Syarikat adalah disebabkan oleh kerja-kerja pembangunan tambahan oleh Farnsworth tetapi faktor utamanya adalah untuk memperolehi hakcipta bagi paten-paten sistem tersebut.

Sistem Televisyen Amerika bukanlah benar-benar dilancarkan dalam keadaan tersedia dan popular sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua, di mana beberapa stesen-stesen televisyen di bandar-bandar utama Amerika telah ditubuhkan.

-wikipedia

Rabu, 21 November 2012

Curiosity

Kejayaan kenderaan robotik Curiosity mendarat di Marikh pada 6 Ogos 2012 membuka lembaran baharu dalam sejarah penerokaan angkasa lepas oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Pesawat angkasa yang membawa robotik yang dijana dengan kuasa nuklear itu telah mengharungi perjalanan sejauh 227.9 juta kilometer dan mengambil masa lapan bulan sebelum tiba di planet merah tersebut.

Ironinya ia merupakan pendaratan ketujuh yang berjaya dilakukan NASA sejak mengendalikan misi sulung ke Marikh pada tahun 1964 menerusi dua pesawat Mariner 3 dan Mariner 4. Kedua-duanya berlepas dari Bumi pada tarikh 5 dan 28 November tahun itu.

Ia diikuti pendaratan kenderaan bernama Mars 3 di permukaan planet itu pada Disember 1971 namun, peralatannya berhenti berfungsi selepas 20 saat disebabkan kerosakan teknikal.

Kemudian pada Julai dan Ogos 1976, NASA sekali lagi berjaya mendaratkan dua kenderaan Viking 1 dan 2 sekali gus memperoleh imej dan melakukan analisis kimia terhadap tanah di Marikh.

Pada September 1997, pesawat Mars Pathfinder pula mencatat sejarah mendaratkan robot kecil di permukaan planet yang berdebu itu diikuti kenderaan angkasa NASA Spirit dan Opportunity pada Januari 2004.

Akhir sekali NASA Mars Phoenix berjaya melakukan penjelajahan di kawasan Artik Marikh selama 155 hari bermula Mei 2008.

"Kami berjaya menamatkan satu fasa daripada misi ini. Tetapi, bahagian lain baru saja bermula," kata pentadbir NASA, Charles Bolden.

Misi selama dua tahun itu bertujuan untuk Curiosity mencari sebarang tanda kewujudan hidupan selain mempelajari bentuk muka bumi dan geologi di Marikh. Robot pengesan itu akan menggali permukaan planet tersebut dan melakukan beberapa kajian penting yang mungkin membolehkan manusia dapat hidup di Marikh suatu hari nanti.

Pengurus misi dari Makmal Pendorongan Jet NASA di Pasadena, California, Arthur Amador berkata, rover Curiosity telah melakukan pemanduan pertama merentasi permukaan Marikh bagi menjalankan tugas-tugas saintifik.

"Rover ini bakal memulakan perjalanan ke arah destinasi utama di Glenelg, iaitu lokasi terletaknya tiga jenis kawasan rupa bumi bersilang. Kami berharap ia dapat menyediakan sasaran batuan pertama untuk digali dan dianalisis," ujar beliau.

Kos projek misi Curiosity Marikh yang dikendalikan NASA menelan belanja sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).

-Kosmo!, Agensi

Khamis, 1 November 2012

Apa itu satelit?

Satelit adalah objek buatan manusia yang ditempatkan di ruang angkasa dan beredar mengelilingi bumi.

Ia dibangunkan untuk pelbagai fungsi seperti pengimejan muka bumi, komunikasi, astronomi, navigasi cuaca, ketenteraan dan instrumen ujian dan penyelidikan.

Komponen-komponen satelit:
  • Elektrikal
  • Elektronik
  • Mekanikal
  • Komputer, wayarles, kawalan kuasa dan lain-lain.

Kesemua komponen ini akan berfungsi secara berintegrasi bagi menjalankan misinya dan boleh bertahan dalam persekitaran ruang angkasa yang teruk seperti radiasi, partikel dan plasma.

Pelbagai faktor perlu diambil kira dalam pembangunan satelit bagi menentukan keperluan dan spesifikasi bagi setiap misi yang unik seperti orbit yang akan dikelilingi, ketinggian dari muka bumi, sistem satelit dan muatan misi (pay load) yang diperlukan, pemilihan pelancar dan stesen bumi.

-Utusan Malaysia.

Rabu, 31 Oktober 2012

Televisyen pintar

Televisyen tiga dimensi tidak semestinya TV pintar sungguhpun kebanyakannya didatangkan dengan ciri TV pintar.

Aplikasi TV pintar bergantung kepada kedudukan geografi. Dengan kata lain, tidak semua aplikasi yang ditawarkan di luar negara terdapat di Malaysia. Periksa dengan pihak pengedar televisyen yang ingin anda beli sama ada aplikasi yang ingin disokong di negara kita.

Tidak semua pelayar web TV pintar menyokong plug-in seperti Flash dan Java.

Memiliki TV pintar tanpa capaian internet jalur lebar ibarat memiliki sebuah kereta dengan enjin berkapasiti tinggi tetapi tanpa sebuah lebuh raya. Pastikan anda mempunyai akses jalur lebar bagi membolehkan aplikasi yang memerlukan internet berkelajuan tinggi seperti video streaming digunakan tanpa gangguan.

Elakkan menggunakan akses internet yang mempunyai had kerana anda tentunya tidak mahu kelajuan melayari internet diturunkan gara-gara telah melangkaui had penggunaan.

Pastikan sistem rangkaian anda telah dilindungi dengan kata laluan dan protokol keselamatan seperti WPA2-PSK bagi mengelakkan ancaman penggodam.

-Kosmo!

Isnin, 24 September 2012

Jalur lebar kurangkan pengeluaran karbon

Dalam laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Kumpulan Suruhanjaya Jalur Lebar Terhadap Perubahan Iklim, teknologi tersebut dapat membantu ke arah sektor ekonomi yang mengurangkan pengeluaran karbon.

"Mengutamakan perubahan iklim tertakluk sepenuhnya dengan menukar gaya hidup kita, cara bekerja dan melakukan perjalanan.

"Selain itu, ia menukar model pembangunan kepada yang lebih tepat dan mapan bagi memastikan kelangsungan hidup," ujar Ketua Setiausaha Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Dr. Hamadoun Toure.

Antara potensi yang boleh didapati dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah:
  1. Penurunan sebanyak 15 peratus pencemaran global pada tahun 2020 dengan menggunakan penyelesaian secara ICT.
  2. Sebanyak 87 peratus ruang pengeluaran asap dapat dirapatkan seperti yang dicatat dalam laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) Emission Gap.
  3. Di China, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 2.5 peratus bagi setiap 10 peratus penembusan jalur lebar di negara itu.
  4. Di Jerman, sebanyak 25 peratus pengeluaran pencemaran dapat dikurangkan dengan penggunaan ICT.
  5. Sebanyak 2.8 tan karbon dioksida dapat diselamatkan bagi setiap pekerja di TeliaSonera (syarikat telekomunikasi Sweden) sehingga tahun 2007 apabila inisiatif Kerja Pintar (Smart Work) dijalankan.
  6. Sebanyak AS$12.3 bilion (RM37 bilion) dapat dijimatkan setahun oleh syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dalam bentuk penjimatan tenaga apabila menggunakan pengkomputeran awam.
  7. Pencemaran karbon dioksida sebanyak 450 juta tan dapat dikurangkan setahun di India dengan menggunakan penyelesaian ICT pada tahun 2030.

"Memahami manfaat jalur lebar boleh beri banyak manfaat. Ia membantu meningkatkan KDNK, Membolehkan Sasaran Pembangunan Millennium (MDG) dan mengimbangi kesan perubahan iklim," kata Pengerusi Kumpulan Suruhanjaya Jalur Lebar Terhadap Perubahan Iklim, Hans Vestberg.

Kata Hans, dalam keadaan ekonomi sekarang, masyarakat harus membangunkan penyelesaian menggunakan pendekatan ke arah perubahan iklim.

Beliau yakin bahawa orang ramai boleh mewujudkan pengembangan perniagaan secara mesra alam sekali gus menyokong pembangunan iklim global yang mapan.

Kosmo! 13 Jun 2012

Selasa, 7 Ogos 2012

Saintis Jepun cipta sut robot

Seorang saintis Jepun telah mencipta sut robot yang boleh membantu pemakainya mengangkat beban berat.

Sut robot berkenaan yang dikenali sebagai Tangan Bantuan Hibrid (HAL) dihasilkan oleh seorang saintis Universiti Tsukuba, Profesor Yoshiyuki Sankai yang juga presiden syarikat Cyberdyne.

Keupayaan sut HAL terbukti apabila seorang pekerja Cyberdyne dapat mengangkat beg jerami yang mengandungi beras seberat 65 kilogram dengan mudah pada satu sesi demonstrasi.

Sut berkenaan yang bercantum dengan tangan robot akan diuji di beberapa buah hospital dan rumah orang tua.

-AFP, Kosmo!