Isnin, 30 April 2012

Strategi pintar rumah botol


Idea mengutip botol-botol plastik yang mengotorkan parit-parit, jalan-jalan dan terusan di Nigeria untuk dijadikan kediaman manusia memang agak aneh.

Bagaimanapun, sekumpulan aktivis-aktivis mendapat ilham membina sebuah rumah menggunakan susunan botol plastik tersebut sebagai strategi persekitaran pintar. 

Ia bertujuan membendung masalah kekurangan kawasan perumahan di Afrika yang mempunyhai kepadatan penduduk begitu tinggi.

Dengan pembinaan prototaip rumah botol plastik tersebut yang terletak di bandar raya Kaduna di utara Nigeria, kumpulan itu ingin mengembangkan usaha murni mereka dalam membina lebih banyak rumah seperti ini.

Tidak meyakinkan? Para penyokong projek berkenaan mengatakan mereka yang belum melihat struktur rumah botol plastik berkenaan di perkampungan terpencil Sarbon Yelwa boleh membaling batu ke arah rumah tersebut.

"Ini merupakan rumah pertama di Afrika yang diperbuat daripada botol-botol plastik yang boleh menyelesaikan permintaan perumahan yang tinggi dan membersihkan persekitaran yang tercemar teruk," kata pencetus projek, Christopher Vasiliu ketika membuat lawatan ke tapak projek berkenaan.

Projek tersebut telah dimulakan oleh Persekutuan Pembangunan Tenaga Diperbaharui (DARE) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Kaduna dengan bantuan pakar bukan pertubuhan kerajaan (NGO) asing dari London, Amanah Komuniti Afrika.

Berdiri kukuh seluas 624 kaki persegi, banglo yang mempunyai dua bilik tidur itu kelihatan seperti rumah biasa tetapi ia berlainan dari pelbagai sudut.

Apabila ia siap sepenuhnya, rumah yang dibangunkan pada bulan Jun 2011 itu akan digunakan untuk melatih tukang batu dalam sektor pembinaan.

Kalis api

Rumah tersebut dibina menggunakan botol plastik yang diisi pasir dengan masing-masing mempunyai berat tiga kilogram (kg) dan keluli tertutup.

Botol-botol berkenaan disusun menjadi lapisan yang diikat rapi dengan lumpur dan simen. Rangkaian tali-temali menguatkan lagi ikatan struktur bangunan rumah tersebut.

Dalam pada itu, pelbagai warna penutup botol menjulur dari celah-celah dinding plaster menjadikan rumah berkenaan kelihatan lebih unik. Mereka yang bertanggungjawab terhadap projek itu mendakwa botol-botol yang diisi pasir lebih kuat berbanding blok biasa.

"Struktur rumah berkenaan mempunyai kelebihan apabila ia kalis api, peluru dan tahan gempa bumi malah suhu dalaman akan kekal 18 darjah Celcius. Ia amat sesuai bagi iklim Tropika.

"Dengan penyelarasan yang sesuai dilakukan terhadap tiang sokongan bangunan, ia boleh mencecah sehingga tiga tingkat. Bagaimanapun, bangunan berkenaan tidak boleh melebihi tiga tingkat disebabkan botol-botol diisi pasir ini berat," kata koordinator projek, Yahya Ahmad.

Terletak di tengah-tengah ladang pengairan yang membangun pesat, bangunan tersebut menempatkan ruang tamu berbentuk bulat dengan bumbung berkubah yang dihubungkan pada ruang dalaman melalui sebuah koridor pendek.

Selain itu, rumah berkapasiti dua bilik itu turut mempunyai bilik air dan pintu tepi utama berhadapan laman dan dapur.

Ia dibina untuk memastikan sifar pengeluaran karbon apabila ia akan dijana oleh panel solar sepenuhnya dan gas metana dikitar semula daripada bahan buangan manusia serta haiwan.

"Nigeria mempunyai masalah serius berhubung bahan buangan dan tenaga. Projek ini merupakan langkah kecil dalam perubahan positif.

"Botol plastik mengambil masa beratus tahun untuk dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal," kata aktivis alam sekitar Britain, Katrin Macmillan yang terlibat dalam projek berkenaan.

Pembinaan yang telah mencapai 70 peratus itu dijangka menggunakan sehingga 14,000 botol.

Kelihatan lambakan botol plastik terbuang di tapak pembinaan yang diperoleh daripada sumbangan kedutaan, hotel-hotel dan restoran.

Pakar alam sekitar berkata, Nigeria merupakan negara yang dihuni 160 juta penduduk dan mereka membuang kira-kira tiga juta botol plastik setiap hari.

Murah

Menurut Vasiliu yang merupakan warganegara Greece yang bekerja sebagai jurutera gerudi air di Nigeria hampir tiga dekad berkata, pembinaan rumah plastik lebih murah kerana ia hanya menelan suku daripada kos rumah konvensional.

Projek berkenaan kata beliau menelan belanja sebanyak AS$12,700 (RM40,000).

Projek kedua melibatkan botol plastik dijangka akan dimulakan pada bulan Januari tahun hadapan di sekolah rendah yang memerlukan bilik darjah di pekan Suleja berdekatan ibu negara Nigeria, Abuja.

"Projek berkenaan bakal menggunakan 200,000 botol yang didatangkan dari tapak pelupusan sisa pepejal untuk digunakan dalam pendidikan," kata Macmillan lagi.

-Kosmo!, AFP

Jumaat, 27 April 2012

Baka anak rusa guna kaedah tabung uji

Sekumpulan pakar veterinar daripada Pertubuhan Taman Zoologi Thailand mengumumkan kejayaan membiakkan anak rusa spesies Eld menerusi kaedah tabung uji.

Menurut mereka, ia merupakan anak rusa Eld pertama yang lahir ke dunia menggunakan kaedah berkenaan.

Spesies rusa Eld diisytiharkan pupus di rimba seluruh dunia dengan cuma 38 ekor mamalia itu berada di pusat-pusat pemuliharaan di seluruh dunia.

Anak rusa tabung uji itu dilahirkan di Zoo Terbuka Khao Kheow, wilayah Chonburi pada 17 Oktober 2011.

-Kosmo!, Reuters.

Khamis, 26 April 2012

Kereta telefon pintar Toyota


Presiden Syarikat Toyota Motor Corp. Akio Toyoda memperkenalkan kereta konsep futuristik yang memiliki bentuk menyerupai sebuah telefon pintar gergasi.

Dinamakan Fun-Vii, beliau menggelarkan kereta konsep tersebut sebagai 'sebuah telefon pintar bertayar empat'.

Kereta itu berfungsi seperti sebuah komputer peribadi dengan pemandunya boleh berhubung dengan orang lain dengan mengetuk panel pintu kereta tersebut.


Pintu kenderaan itu dilengkapi skrin besar dengan fungsi sentuh yang beroperasi seperti sebuah telefon pintar.

"Sebuah kereta perlu mempunyai daya tarikan," kata Toyoda.

Beliau turut memperkenalkan sebuah skuter yang boleh ditunggang sambil berdiri yang dinamakan Winglet.

-Kosmo!, AP.

Rabu, 25 April 2012

Robot berbadan lembut


Sekumpulan penyelidik Universiti Harvard di Amerika Syarikat berjaya membina sebuah robot prototaip yang boleh berubah bentuk.

Robot tersebut yang berbadan lembut dan fleksibel boleh merangkak dan bergerak seperti gelombang.

Tidak seperti robot lain, robot lembut boleh digunakan untuk memasuki runag sempit dan merentasi pelbagai halangan.

-Kosmo!, AP.

Selasa, 24 April 2012

Permainan video boleh cuci baju

Kini ibu bapa di luar sana akan lebih mudah melatih anak-anak mereka melakukan kerja rumah terutamanya membasuh pakaian.

Seorang penuntut, Lee Wei Chen, 28, dari Universiti Kingston, London telah mencipta sebuah mesin yang menggabungkan permainan video dan mesin basuh.

Fizikalnya seperti kabinet permainan video klasik yang terdapat di arked dengan bahagian atas adalah permainan memandu dengan menggunakan wang syiling, manakala di bawahnya pula mesin basuh muatan hadapan.

Perekanya, Chen telah menyambung litar kedua-dua mesin menjadikan putaran mesin basuh tersebut bergantung kepada kecekapan pemain.

"Saya menyedari bahawa skil yang dikuasai tidak memberi keuntungan dalam kehidupan biasa. Saya mahu ia menjadi berguna," kata Chen yang juga menghabiskan banyak masa bermain permainan video.

-Kosmo!

Isnin, 23 April 2012

Protein darah daripada beras


Sekumpulan saintis dari China telah mendakwa telah menemui kaedah untuk mengekstrak protein darah daripada beras dan ia bakal memberi manfaat kepada beribu-ribu pesakit yang menghidapi penyakit hati, lecur terbakar serta kecederaan akibat kemalangan.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh Akademi Sains Kebangsaan (2011) yang diterbitkan di Amerika Syarikat, protein yang diekstrak daripada beras menyamai fizikal dan ciri-ciri kimia dalam darah manusia dikenali sebagai human serum albumin (HSA).

Kajian dalam menghasilkan HSA itu dijalankan oleh saintis di Universiti Wuhan, China dengan kerjasama Majlis Penyelidikan Kebangsaan Kanada dan Pusat Fungsi Genom, Universiti Albany, New York.

Mereka berjaya mendapatkan protein seberat 2.75 gram daripada 1 kilogram beras selepas mengekstrak dan menulenkan beras. Protein beras itu seterusnya diuji ke atas tikus yang menghidap strosis hati. Tindak balas biasa yang dialami manusia turut ditemui pada rawatan menggunakan HSA.

-Kosmo!

Selasa, 17 April 2012

Alat keselamatan roket

Syarikat yang menjalankan pembanguna teknologi angkasa lepas, RUAG Holding sedang dalam pembinaan Mekanisme Pemanduan Tatasusun Solar (SADM) terbaharu untuk satelit.

Ia berfungsi dengan cara menyamaratakan bebanan bagi melindungi satelit ketika dilancarkan oleh roket sewaktu proses tujahan ke orbit.

Pembuatan SADM yang bakal digunakan pada pesawat roket Ariane dan Atlas sedang giat diusahakan di kawasan pengeluaran di Zurich.

RUAG Holding merupakan syarikat antarabangsa yang terlibat dalam bidang penerbangan, angkasa lepas, pertahanan, keselamatan dan produk senjata.

Antara pembangunan yang pernah dijalankan adalah kumpulan sistem navigasi satelit Eropah, Galileo.

SADM mampu memberikan penjajaran yang optimum pada panel solar.

Tahap kebolehpercayaan yang tinggi terhadap peralatan ketika pelepasan diperlukan terutamanya apabila melibatkan elemen teras iaitu sistem bekalan kuasa.

-Kosmo!

Isnin, 16 April 2012

Ubat turun tahap kolesterol dalam kajian





Syarikat farmaseutikal Regeneron Pharmaceuticals Inc. yang berpangkalan di Amerika Syarikat sedang membangunkan sejenis ubat baharu yang mampu mengurangkan tahap kolesterol sehingga hampir separuh bacaan apabila diambil setiap empat minggu.


Antibodi monoklonal yang terkandung di dalamnya meneyekat protein yang dipanggil PCSK9 seterusnya menghindarkan serangan jantung dan strok daripada berlaku.

Pihak Regeneron baru sahaja membangunkannya dalam peringkat permulaan.

Buat masa kini, ia dipanggil REGN 727 dan dihasilkan dengan kerjasama pembuat ubat-ubatan, Sanofi.

Bagaimanapun, menurut data yang dikeluarkan oleh pihak mesyuarat kesihatan jantung Chicago, kesan pengambilan REGN 727 dalam dos tinggi ketika dalam peringkat percubaan merupakan kaedah yang tidak boleh diterima.

"Kadar kolesterol menurun secara konsisten pada awal dua minggu, tetapi pada minggu keempat kamu akan lihat keberkesanan ubat mula berkurangan," ujar ketua penyelidik, James Mckenney.

Penyelidik yang berpusat di National Clinical Research, Virginia berspekulasi bahawa keputusan ujian peringkat terakhir REGN 727 untuk dos dua minggu dapat dihasilkan.

Menurut James, ubat yang diberikan setiap dua minggu itu dapat menurunkan tahap bacaan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) sehingga 72 peratus.

Tiada kesan sampingan ubat tersebut sepanjang ujian dijalankan.

-Kosmo!