Selasa, 27 Mac 2012

Saintis temui dua planet baru saiz seperti Bumi

Beberapa saintis di Amerika Syarikat (AS) menemui dua buah planet yang mempunyai saiz seperti Bumi mengelilingi sebutir bintang di luar sistem suria.

Menurut seorang saintis di Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian, Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat, Francois Fressin (gambar), planet tersebut memang wujud dan ia boleh dikesan dengan menggunakan kapal angkasa Jupiter.

Dia berkata, para saintis berusaha mencari planet yang mempunyai saiz seperti Bumi sebagai potensi untuk kehidupan di angkasa lepas.

Planet itu kelihatan berbatu tetapi ia terlalu panas untuk menampung kehidupan dengan suhu kira-kira 760 darjah Celcius dan 425 darjah Celcius.

-AP, Kosmo!

Jumaat, 23 Mac 2012

Empati manusia pada haiwan

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Duke, North Carolina dan Universiti Princeton, New Jersey, Amerika Syarikat menemui bahawa manusia lebih mudah merasa empati terhadap haiwan berbanding orang gelandangan atau penagih dadah.

Penemuan tersebut mendedahkan bahawa manusia mudah hilang sifat perikemanusiaan terhadap mereka yang kita anggap lebih hina sehingga terlupa mereka juga mempunyai perasaan.

Penemuan ini dijangka memberi sebab diktator seperti Hitler, Pol Pot dan Stalin boleh menyeksa mangsa sehingga mampu melakukan genosid.

Keputusan kajian diterbitkan dalam jurnal psikologi mendedahkan beberapa bahagian otak yang terlibat dalam interaksi sosial gagal bertindak balas terhadap imej tidak diingini seperti orang gelandangan, penagih dadah, imigran dan orang miskin.

Menurut penulis kajian itu, Prof. Lasana Harris, kadangkala kita gagal untuk melihat seseorang itu sebagai manusia.

-Kosmo!

Khamis, 22 Mac 2012

Kain tidak perlu dicuci


Pada masa hadapan, orang ramai terutama yang masih bujang tidak perlu lagi risau mengenai timbunan pakaian kotor kerana saintis dari Universiti Shanghai Jiao Tong, China sedang dalam kajian membangunkan kain kapas yang mampu bersih secara sendiri.

Pakaian tersebut disalut dengan bahan khas, titanium oksida yang bertindak memecahkan kesan kotor apabila didedahkan pada cahaya matahari.

Dengan penambahan nitrogen, perak dan iodin pada salutan itu, ia akan mempercepat proses pembersihan secara efektif.

Kompaun tersebut telah pun digunakan dalam produk seperti tingkap bersih sendiri, jubin dapur dan bilik air serta stoking bebas bau.

Menurut jurnal American Chemical Society, Applied Material and Interfaces, kekotoran berwarna jingga yang terdapat pada fabrik kapas bersalut itu akan hilang selepas didedahkan pada cahaya selama dua jam.

Tambah jurnal itu, kesan kotor tersebut pasti akan kekal melekat pada kain kapas biasa jika didedahkan pada cahaya.

-Kosmo!

Isnin, 5 Mac 2012

Komputer guna fikiran manusia


IBM meramalkan bahawa komputer yang mampu dikawal oleh pemikiran manusia akan berada di pasaran dalam tempoh lima tahun lagi.

Syarikat tersebut kini sedang dalam penyelidikan terhadap komputer dan telefon pintar yang hanya perlu memanggil nama untuk membuat panggilan.

Tekaan tersebut adalah sebahagian daripada laporan Five to Five IBM. Pada tahun 2016 juga, mereka meramalkan bahawa penggunaan kata kunci akan berakhir diganti dengan pembacaan biometrik.

Teknologi tersebut sudah pun digunakan oleh barang permainan keluaran Mattel, Mindflex (gambar) yang memerlukan seseorang memakai cekak rambut.

Ia berfungsi membaca pemikiran pemakai untuk menaikkan bola yang diapung oleh jet udara. Sistem tersebut berfungsi dengan cara tindakbalas terhadap getaran otak.

sumber: Kosmo!