Isnin, 31 Januari 2011
China berjaya cipta pengganti uranium
BEIJING 3 Jan - Saintis China mengumumkan kejayaan dalam teknologi pemprosesan semula bahan api nuklear, sekali gus mampu mengakhiri kebimbangan bekalan uranium yang tidak mencukupi di negara ini.
China Central Television melaporkan, teknologi yang dibangunkan oleh China National Nuclear Corp itu membolehkan negara ini menggunakan semula bahan api nuklear yang telah melalui proses penyinaran.
"Sumber uranium China sebelum ini hanya boleh bertahan antara 50 hingga 70 tahun tetapi kini bekalannya boleh bertahan sehingga 3,000 tahun," jelas laporan tersebut.
Perkembangan itu merupakan satu langkah penting bagi rancangan China untuk meningkatkan bahagian sumber tenaga alternatif dalam tenaga campurannya untuk mengurangkan pencemaran dan mencapai keselamatan negara. - AFP, Utusan Malaysia.
Khamis, 27 Januari 2011
Saintis cipta tikus boleh berkicau seperti burung
TOKYO - Saintis-saintis Jepun mengumumkan mereka berjaya mencipta tikus yang boleh berkicau seperti burung dalam evolusi kejuruteraan genetik yang diharap dapat membantu merungkai asal-usul bahasa manusia suatu hari nanti.
Sekumpulan penyelidik di Universiti Osaka menghasilkan haiwan tersebut menerusi kajian yang dinamakan 'Projek Evolusi Tikus' yang mana mereka menggunakan tikus modifikasi genetik yang cenderung bermutasi.
"Mutasi adalah pencetus evolusi. Kami telah membuat kacukan ke atas tikus modifikasi genetik selama beberapa generasi untuk melihat apa yang akan berlaku," kata ketua penyelidik berkenaan, Arikuni Uchimura.
"Kami memeriksa setiap anak tikus yang baru lahir dan pada suatu hari, kami mendapati seekor anak tikus tersebut boleh berkicau seperti burung," katanya.
Menurutnya, kelahiran tikus berkicau itu berlaku kerana hukum alam tetapi ciri-ciri berkenaan akan diwarisi oleh generasi akan datang.
Makmal tempat penyelidikan itu dibuat dikendalikan oleh Profesor Takeshi Yagi dari Sekolah Graduan Penerokaan Biosains Universiti Osaka, barat Jepun yang kini memiliki lebih 100 tikus berkicau untuk kajian lanjut.
Pasukan saintis itu berharap penemuan tersebut dapat memberi petunjuk berhubung bagaimana evolusi bahasa manusia berlaku.
Sebelum ini, saintis-saintis mendapati burung-burung yang berkicau menggunakan bunyi berbeza-beza dan menyusunnya seperti perkataan dalam bahasa manusia serta mempunyai tatabahasa tersendiri. - AFP, Kosmo!
Doktor guna iPad untuk bantu rawat pesakit
BNEI BRAK, Israel - Doktor-doktor di Hospital Mayanei Hayeshua di sini diberikan komputer tablet iPad setiap seorang untuk membantu mereka mengetahui rekod kesihatan para pesakit.
Mereka menggunakan komputer itu untuk memeriksa rekod pesakit, imbasan sinar-x dan melihat keputusan ujian-ujian perubatan.
Komputer iPad itu yang menggunakan bahasa Ibrani juga boleh digunakan untuk mengakses maklumat dari luar hospital supaya doktor-doktor boleh memberi bimbingan kepada rakan sekerja mereka pada setiap masa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) hospital berkenaan, Dr. Yoran Liwer berkata, kualiti gambar yang menakjubkan pada skrin komputer iPad kini membantu para doktor untuk merevolusikan urusan penjagaan pesakit.
"iPad dikenali hari ini sebagai peralatan utama di bidang perubatan. Ia membawa banyak manfaat kepada pesakit dan staff hospital," katanya. - Agensi, Kosmo!
Santai TV
- Santai TV merupakan perkhidmatan televisyen mudah alih yang hanya boleh disaksikan di telefon bimbit.
- Santai TV telah dilancarkan di Berjaya Times Square pada 18 Disember 2010.
- Fine Mobile Network Sdn. Bhd. yang mengendalikan Santai TV merupakan syarikat subsidiari kumpulan Eurofine (M) Sdn. Bhd.
- Santai TV disasarkan kepada golongan muda berusia 16 hingga 30 tahun.
- Tagline Santai TV adalah Gaya Hidup Terkini.
Langgan:
Catatan (Atom)