Sabtu, 25 Disember 2010

Motosikal unik dijual RM172,452



MIAMI - Sebuah motosikal yang digerakkan program komputer seperti dalam filem sains fiksyen Tron: Legacy kini direalisasikan ke dunia nyata oleh pembuat motosikal Parker Brothers Choppers yang beribu pejabat di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Motosikal yang dikenali sebagai Light Cycle itu sepanjang 2.43 meter, lebar 58.4 sentimeter dan seberat 215 kilogram. Ia boleh mencecah kelajuan sehingga 193 kilometer sejam.

Syarikat Parker Brothers Choppers menyatakan pihaknya hanya menghasilkan lima buah Light Cycle yang ditawarkan pada harga AS$55,000 (RM172,452) seunit.

Pengurus Operasinya, Jeff Halverson memberitahu ia menggunakan enjin TL1000R.

"Empat unit sudah dijual dan hanya sebuah lagi yang tinggal", kata Halverson.

Terdapat sambungan komputer tablet iPad yang membolehkan statistik tunggangan dimuat turun daripada komputer yang ada pada motosikal itu.

Gambar motosikal itu boleh dilihat di laman YouTube. Populariti motosikal itu di laman tersebut telah menarik perhatian syarikat perfileman Disney dan penerbit filem Tron: Legacy yang mahu menggunakan Light Cycle dalam acara promosi filem berkenaan. -Agensi, Kosmo!

Ahad, 19 Disember 2010

Pantau CCTV menerusi Internet


LONDON - Para pengintip peribadi diupah untuk memantau ribuan kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah menerusi laman web Internet Eyes, lapor sebuah akhbar.

Tugas pengintip itu ialah untuk mengesan kelakuan jenayah yang berlaku di kedai dan jalan menerusi CCTV.

Laman mengintip itu Internet Eyes menyasarkan peniaga-peniaga yang tidak mampu mengubah pengawal untuk memantau CCTV selama 24 jam sehari.

Pengintip-pengintip itu akan menerima ganjaran sehingga £1,000 (RM4,922) apabila penjenayah yang melakukan kecurian ditangkap.

Firma-firma membayar £20 (RM98.43) seminggu untuk perkhidmatan itu.

Skim perkhidmatan itu telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Maklumat Britain.

Editor Pengurusan Internet Eyes Tony Morgan berkata, "Internet Eyes telah diwujudkan bagi mengurangkan kecurian dan jenayah jalanan di negara ini." - Agensi

Mini Cooper angkasa


Siapa sangka sebuah kenderaan ringan bakal menjengah planet yang jauh dari Bumi tetapi mempunyai teknologi yang hebat.

Sebuah kenderaan seperti land rover dari Makmal Sains Marikh dipamerkan oleh pereka konsep Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) baru-baru ini.

Saiznya adalah seperti sebuah kereta Mini Cooper dan dijadualkan berlepas ke Marikh pada akhir 2011. Kenderaan itu akan tiba di Marikh pada bulan Ogos 2012.

Sumber: Kosmo!

Tiram gemuk


Spesies tiram selalunya membesar mengikut musim tetapi ada sejenis tiram yang sentiasa gemuk hasil suntikan sains ke atas pembiakannya di Makmal Perikanan dan Hidupan Liar Louisiana di Grand Isle, Los Angeles.

Pengkajinya, Profesor John Supan dari Louisiana dilihat memegang cengkerang tiram yang mengandungi larva seperti titik hitam pada tempat penetasannya.

Tidak seperti tiram tradisional yang membiak dan menjadi kurus semasa musim panas, Supan berjaya menghasilkan tiram yang kekal gemuk, menjadikannya harapan terbaik kepada Louisiana untuk memulihkan industri tiram di Amerika Syarikat.

Sumber: Kosmo!

Kumpul semen lembu


Peningkatan permintaan daging lembu menyebabkan haiwan itu dibiakkan menggunakan kaedah sains dan teknologi.

Di Duggan, Argentina, ahli veterinar mengumpul semen daripada lembu-lembu jantan di makmal genetik. Ia juga adalah tradisi negara berkenaan bagi mencapai kehendak global yang semakin berkembang ke atas semen, embrio dan genetik.

Semen merujuk kepada cecair putih atau sperma daripada lembu jantan.

Selain itu, di negara tertentu seperti Brazil dan China permintaan daging lembu turut meningkat.

Sumber: Kosmo!

Robot pekerja

Di sesetengah negara tenaga kerja manusia terpaksa digantikan dengan robot apabila teknologi dan industri begitu pantas berkembang sedangkan tenaga manusia pula semakin berkurangan.

Industri Kwada dan Institut Nasional Industri Sains dan Teknologi mempamerkan robot terbaru yang dinamakan sebagai HRP-4 di samping model-model terdahulu iaitu HRP-2 dan HRP-3 semasa prebiu bersama wartawan di wilayah Ibaraki, Jepun.

Robot berketinggian 151 sentimeter dan berat 39 kilogram tersebut akan menjadi tenaga kerja di dalam negara yang semakin kekurangan tenaga kerja manusia itu.

Sumber: Kosmo!