Selasa, 28 September 2010
Ketagihan Facebook
Laman sosial, permainan komputer tumpulkan minda
HIDUP tidak lengkap tanpa internet, khususnya laman web sosial seperti Facebook. Tidak hairanlah jika ditanya, pasti ramai baik yang bergelar pelajar, pekerja serta suri rumah pasti mengakui ‘melekat’ di komputer melayari laman web itu saban hari.
Lebih parah lagi apabila obsesi laman web itu dipadankan dengan ketagihan bermain permainan komputer.
Namun, seperti mana masalah lainnya - ketagihan yang keterlaluan pasti ada padahnya.
Inilah amaran dibuat beberapa pakar perubatan termasuk pakar otak terkemuka Britain yang juga pensyarah Universiti Oxford, Susan Greenfield.
Menurutnya, obsesi melampau melayari laman web sosial dan permainan komputer boleh menjejaskan fungsi otak.
“Ketagihan internet boleh merubah otak dengan menjejaskan tumpuan dan mengurangkan aspek kepantasan reaksi atau rasa empati. Individu boleh menjadi seorang yang dingin, tidak peka atau sensitif dengan perasaan orang lain kerana fungsi otak mereka yang diubah kerana terlalu asyik dengan komputer.
“Ringkasnya, tabiat mereka itu menyebabkan minda mereka menjadi tumpul. Bagi saya, fakta ini sudah cukup membimbangkan dan sewajarnya diberi perhatian sama seperti tumpuan kepada isu perubahan cuaca.
“Ia mungkin lebih serius kerana membabitkan keupayaan seseorang itu berfikir dengan baik dan bagaimana otak itu berfungsi. Kita juga bimbang, andai ketagihan ini berterusan, ia boleh mewujudkan generasi yang lemah mindanya,” kata Greenfield ketika berucap pada Festival Sains Britain, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Greenfield berkata, kebimbangannya itu berlandaskan rasional berikutan kesan atau impak internet terhadap otak penggunanya.
“Penggunaan laman web sosial mengurangkan interaksi secara bersemuka. Golongan muda tidak lagi suka berbicara secara berdepan dan menyebabkan mereka tidak sensitif dengan perasaan atau endah reaksi rakan atau orang lain.
“Selain itu, penggunaan enjin carian mencari fakta menjadi halangan individu untuk belajar atau mentelaah. Akibatnya ramai yang terlalu bergantung kepada enjin carian bagi mendapatkan maklumat diingini daripada berikhtiar atau bersusah payah mencari fakta menerusi buku atau sumber rujukan lainnya,” katanya.
Menurut Greenfield, tabiat suka bermain permainan komputer pula mengajar pelbagai aspek negatif yang memudaratkan seperti menganggap kesilapan sebagai perkara biasa dan tidak perlu dibimbangkan.
“Di Britain, ada kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih tujuh jam sehari di depan komputer. Mereka yang bermain permainan komputer ini hidup dengan dunia mereka sendiri. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan sebelum mencapai misi itu sebaliknya mendidik mereka menjadi insan yang cuai atau lalai ketika melakukan kegiatan seharian,” katanya.
Itu, katanya, tidak termasuk aspek kesihatan yang disebabkan ketagihan laman web sosial dan permainan komputer seperti obesiti. Ini disebabkan pengguna tidak lagi suka begerak atau bersenam sebaliknya sanggup makan di depan komputer. Lebih memburukkan keadaan, waktu makan juga tidak diendahkan.
Kebimbangan Greenfield turut diakui pakar atau saintis saraf kognitif Universiti Tufts di Massachusetts, Amerika Syarikat, Maryanne Wolf.
“Saraf dalam otak yang selama ini digerakkan aktiviti membaca serta menganalisis kandungan bahan bacaan itu boleh terjejas apabila lebih ramai yang memilih untuk melayari internet. Kita tidak lagi berminat untuk menganalisis fakta yang diterima bulat-bulat menerusi enjin carian.
“Berikutan itu, kita tidak lagi mengajar otak untuk berfikir secara mendalam yang boleh menjejaskan fungsi otak apabila keadaan berlarutan.
“Saya bimbang, jika itulah yang dilakukan dari peringkat awal kehidupan iaitu kanak-kanak, bagaimana keadaannya apabila mereka dewasa kelak. Ia tidak hanya menjejaskan kehidupan seharian tetapi bagaimana mereka dapat menjadi pekerja yang cekap dan berdaya saing?” katanya.
Dipetik dari akhbar Berita Minggu
Langgan:
Catatan (Atom)